logo penang 2030

A A  Arial | PT Sans | Century
faq hubungi maklumbalas peta

sukpenang ms 2022

  tytpg

TEKS UCAPAN

 TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA

NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT

DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEEMPAT BELAS

NEGERI PULAU PINANG

PADA 30 OGOS 2021 (ISNIN) JAM 9.30 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera

Bismillahirahmanirrahim

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YAB Tuan Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang

YB Dato’ Insinior Haji Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

 YB Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Muhamad Yusoff bin Mohd Noor

Ketua Pembangkang

YB Dato’ Dr. Amar Pritpal bin Abdullah

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Ketua-Ketua Jabatan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

  1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, saya diberikan kesempatan untuk menghadiri dan menyampaikan ucapan perasmian, bagi Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keempat Belas pada pagi yang mulia dan barakah ini.
  1. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YABhg Tun Dato Seri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman bin Hj. Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-7 (tujuh) dan isteri, YABhg Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff. YABhg Tun dan isteri banyak menabur bakti dan jasa yang tidak terhingga kepada Negeri Pulau Pinang.
  1. Saya juga mengucapkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan YAB Ketua Menteri kerana telah mentadbir Negeri Pulau Pinang dengan baik di saat negeri dan negara kita yang tercinta ini dilanda pandemik COVID-19. Negeri Pulau Pinang kini berada dalam Fasa Dua (2) Pelan Pemulihan Negara. Saya percaya YAB Ketua Menteri dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta jentera pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa. Sesungguhnya, pandemik COVID-19 ini amat menguji barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang mana ianya belum pernah dialami sebelum ini.
  1. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah, kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 (sembilan). Semoga perkembangan ini akan membolehkan tumpuan diberikan untuk menangani krisis pandemik COVID-19 dan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi bagi membela kesejahteraan rakyat.
KEDUDUKAN SEMASA EKONOMI NEGERI
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Hasil Negeri Pulau Pinang yang berjaya dikutip bagi tahun 2020 adalah sebanyak Ringgit Malaysia empat ratus enam puluh tujuh perpuluhan lima enam juta (RM467.56 juta) iaitu 90.06% daripada Anggaran Hasil Tahun 2020 sebanyak Ringgit Malaysia lima ratus sembilan belas perpuluhan satu enam juta (RM519.16 juta). Bagi tahun 2021 pula setakat 30 Jun 2021, hasil yang berjaya dikutip adalah sebanyak Ringgit Malaysia tiga ratus lapan puluh enam perpuluhan sembilan kosong juta (RM386.90 juta), iaitu 76.46% daripada Anggaran Hasil Tahun 2021 sebanyak Ringgit Malaysia lima ratus enam perpuluhan kosong dua juta (RM506.02 juta). Saya dimaklumkan bahawa hasil sedia ada tidak dapat dikutip sepenuhnya, disebabkan pengecualian kutipan hasil yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri, ekoran situasi pandemik COVID-19. Antara pengecualian terbesar yang diberikan adalah cukai hiburan, di mana pengecualian sepenuhnya diberikan sehingga 31 Disember 2021.Selain daripada itu, hasil sewaan/pajakan juga diberikan pengecualian dari semasa ke semasa, bagi membantu meringankan beban golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.  Kerajaan Negeri hendaklah mengorak langkah, untuk mendapatkan hasil baharu sejajar dengan kelangsungan pembangunan negeri.
  1. Berdasarkan kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, semua negeri mencatatkan penyusutan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun 2020. Pulau Pinang merekodkan penyusutan negatif 2.1 peratus pada tahun 2020, berbanding pertumbuhan 3.8 peratus pada tahun sebelumnya. Penurunan di Pulau Pinang pada tahun 2020 adalah dipengaruhi oleh sektor Perkhidmatan, yang menguncup 5.7% dari 5.5% bagi tahun 2019, didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit, penginapan dan makanan serta minuman. Selain itu, penurunan dalam subsektor pengangkutan & penyimpanan, hartanah serta perkhidmatan perniagaaan turut mempengaruhi prestasi sektor ini. Walau bagaimanapun, pertumbuhan lebih baik dalam produk elektrik, elektronik & optikal pada tahun 2020 menyokong prestasi sektor Pembuatan untuk meningkat 2.8% daripada 2.7% pada tahun 2019.  Pertumbuhan positif di sektor Pembuatan, sedikit sebanyak telah mengurangkan kesan kemerosotan ekonomi di Pulau Pinang.
  1. Alhamdulillah, setakat ini prestasi pelaburan Pulau Pinang masih lagi menunjukkan data yang memberangsangkan. Pada tahun 2020, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan sebanyak Ringgit Malaysia empat belas perpuluhan satu bilion (RM14.1 bilion).  Ini merangkumi 166 projek yang dijangka menghasilkan 13,268 peluang pekerjaan baru kepada negeri, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Pelaburan langsung asing menyumbang 75% atau sebanyak (Ringgit Malaysia sepuluh perpuluhan enam bilion) RM10.6 bilion, manakala pelaburan langsung domestik melonjak 92% tahun ke tahun kepada Ringgit Malaysia tiga perpuluhan lima bilion (RM3.5 bilion).  Walaupun terdapat banyak ketidakpastian global, pencapaian pelaburan tahun 2020 adalah yang kedua tertinggi dalam sejarah Pulau Pinang [ tertinggi adalah tahun 2019 yang mencatat sebanyak Ringgit Malaysia enam belas perpuluhan sembilan bilion (RM16.9 billion) ].
  1. Pada suku tahun pertama 2021, Pulau Pinang telah mencatatkan nilai pelaburan sebanyak Ringgit Malaysia satu perpuluhan satu bilion (RM1.1billion) bagi sektor pembuatan. Nilai pelaburan ini diperolehi daripada 40 buah projek dan dianggarkan akan mewujudkan sebanyak 2,328 peluang pekerjaan baru. Sebanyak 52% nilai pelaburan berasal daripada pelaburan langsung domestik dan 48% daripada pelaburan langsung asing.
  1. Rekod Pulau Pinang untuk menarik pelaburan terbukti di mana baru-baru ini, syarikat semikonduktor Korea Selatan, Simmtech Holdings Inc. telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi yang strategik untuk membangunkan kilang ‘printed circuit board (PCB) and packaging substrate’ dengan jumlah pelaburan sebanyak Ringgit Malaysia lima ratus lapan juta (RM508 juta) di Batu Kawan. Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan pelaburan dari dalam dan luar negara serta yakin pelaburan ini akan dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang.
PERDAGANGAN, INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Penubuhan Majlis Penasihat Industri Pembuatan Pulau Pinang, pada bulan April 2021 merupakan usaha untuk menjalinkan usahasama yang lebih berkesan dengan sektor industri. Majlis ini dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang dan disertai oleh InvestPenang (merangkap urus setia), Persatuan Syarikat Zon Perindustrian Bebas Pulau Pinang (FREPENCA), Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI).  Perkongsian awam-swasta (public-private partnership) yang kukuh adalah penting untuk memastikan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri untuk terus membantu industri dalam menangani wabak dan tetap relevan pada era pasca pandemik.  
  1. Selain dari memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran dan ‘Research & Development’ (R&D) dan ‘Embedded Software’, Pulau Pinang juga komited untuk menerajui industri ekonomi digital, sebagai pemacu baharu ekonomi negeri. Antaranya ialah memberi tumpuan kepada teknologi generasi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan ‘Artificial Intelligence’ (AI), ‘big data’, ‘Internet of Things’ (IoT), ‘Integrated Circuit (IC) Design’ dan sebagainya. Industri ekonomi digital termasuk perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran, dengan pelaburan baru dan sedia ada daripada syarikat-syarikat seperti AMD Global Services, Clarivate, Citigroup, Jabil, Teleperformance, Synapse, Starfive, UST Global dan banyak lagi, dianggarkan telah mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan di Negeri Pulau Pinang setakat ini.
  1. Bagi menyokong perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Penang Halal International (PHI) turut bekerjasama dengan pihak Shopee, platform e-dagang yang mempunyai lebih 27 juta pengunjung setiap bulan dengan melancarkan platform Penang E-Mall @ Shopee. Kerjasama ini menyediakan saluran baharu kepada komuniti perniagaan yang selama ini hanya bergantung kepada kaedah perniagaan secara tradisional dengan memanfaatkan platform perniagaan digital secara atas talian. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia lima ratus ribu (RM500,000) dalam bentuk baucar diskaun yang diberi kepada para pelanggan untuk berbelanja di platform Penang E-Mall @ Shopee. Penang E-Mall telah membantu lebih dari 15,000 penjual di sekitar Pulau Pinang dalam proses pendigitalan perniagaan mereka. Daripada jumlah ini, lebih dari 10,000 adalah penjual e-dagang baharu dan lebih dari 700 penjual daripadanya menjual produk halal.
PANDEMIK COVID-19
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi Negeri Pulau Pinang telah dilancarkan pada 28 Februari lalu sebagai langkah untuk keluar dari kemelut pandemik COVID-19. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pembekalan vaksin COVID-19 untuk rakyat Pulau Pinang. Sehingga 26 Ogos 2021, seramai lebih satu perpuluhan satu kosong satu juta (1.101 juta) penduduk Pulau Pinang telah menerima sekurang-kurang satu (1) dos vaksin iaitu bersamaan dengan 62.1% populasi penduduk. Daripada jumlah tersebut, seramai lebih 711,454 telah melengkapkan dua (2) dos vaksin iaitu bersamaan dengan 40.1% populasi penduduk. Kerajaan Negeri mensasarkan bahawa 100% populasi penduduk yang berumur 18 tahun ke atas akan menerima sekurang-kurangnya satu (1) dos vaksin pada awal bulan September 2021. Oleh itu, bekalan vaksin yang mencukupi adalah amat penting untuk memastikan kejayaan program vaksinasi di negeri ini.

  2. Bagi mengawal perebakan virus COVID-19 dengan lebih berkesan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewujudkan program saringan massa dalam komuniti secara bersasar yang dikenali sebagai Penang Saring COVID-19 (PSC-19). Program saringan ini telah bermula pada 5 Julai 2021 dengan menggunakan strategi 3T (testing, tracing, treatment) bertujuan mengenal pasti, mengasingkan serta merawat individu pembawa COVID-19, seterusnya memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti. Ujian saringan secara percuma ini disasarkan kepada individu yang tinggal di kawasan ‘hotspot’, ketua keluarga, golongan perkhidmatan penghantaran & pengangkutan, penjaja dan peniaga, pengusaha keperluan harian serta golongan berisiko.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Kerajaan Negeri telah mengutamakan kebajikan rakyat melalui pemberian Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19) yang telah dilaksanakan melalui tiga (3) fasa bagi mengurangkan beban golongan paling terkesan serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19. Pakej ini telah diberikan sejurus selepas pelaksanaan PKP yang pertama iaitu mulai bulan Mac 2020. Pakej bantuan ini masih diberikan sehingga kini.Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan berjumlah Ringgit Malaysia satu ratus tujuh puluh enam perpuluhan empat lima juta (RM176.45 juta) di mana sehingga 17 Ogos 2021, sejumlah Ringgit Malaysia satu ratus empat puluh sembilan perpuluhan enam satu juta (RM149.61 juta) telah disalurkan kepada penerima yang berkelayakan.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), para pemain industri utama serta golongan profesional di negeri ini telah berkolaborasi membentuk PgCare Alliance atau Gabungan PgCare bertujuan memberi sokongan dan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Gabungan PgCare juga akan menyediakan platform yang neutral, inklusif serta saksama kepada semua golongan yang terkesan dan memerlukan bantuan akibat krisis kesihatan semasa. Platform digital ini akan diwujudkan di setiap Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dan NGO berkaitan untuk berinteraksi secara terus dengan kelompok sasar di peringkat akar umbi. Bantuan akan diberikan dari segi bantuan makanan dan perlindungan, bantuan pekerjaan, sokongan kesihatan mental serta kewangan.
  1. Sebagai langkah perancangan pemulihan ekonomi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menubuhkan Jawatankuasa Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC) bagi membincangkan tindakan-tindakan yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 serta mengaktifkan kembali sektor ekonomi negeri yang terjejas akibat penularan pandemik tersebut. Jawatankuasa khas ini dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang serta dianggotai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan berkaitan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) serta wakil-wakil daripada industri berkaitan.
  1. Enam (6) Jawatankuasa Kerja di bawah PSERCC telah ditubuhkan untuk mengkaji dengan lebih terperinci berkenaan sektor-sektor yang terjejas.
    i) Di bawah sektor industri/SMI/SME/peruncitan, sesi engagement giat dilaksanakan dengan wakil industri di samping menggalakkan pengusaha tempatan untuk beralih ke arah pendigitalan.

    ii)Di bawah sektor pasaran tenaga kerja, Penang CAT Centre akan diperkasakan untuk menyediakan job bank di samping program-program peningkatan kemahiran pekerja yang telah dikenal pasti.
    iii)Di bawah sektor perumahan pula, lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) akan disediakan selain memberi insentif kepada pemaju perumahan dalam usaha mengurangkan kos kepada pembeli.
    iv) Di bawah sektor infrastruktur, kerja-kerja penaiktarafan capaian internet fiber optik dilaksanakan berdasarkan Penang Connectivity Master Plan (PCMP) untuk menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi.
    v)Bagi sektor pelancongan, matlamat utama pada masa ini adalah berfokuskan kepada penyediaan kawasan selamat untuk pelancong di samping merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
    vi)Di bawah sektor industri makanan pula, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan untuk memastikan bekalan makanan adalah mencukupi dengan harga berpatutan selain memastikan premis pengusaha mempunyai tahap kebersihan tinggi.
  1. Besarlah harapan saya agar semua pihak iaitu dari pimpinan kerajaan negeri, penjawat awam, pemain-pemain industri dan seluruh rakyat berganding bahu dalam satu pasukan untuk kita bangkit bersama bagi membolehkan aktiviti kehidupan rakyat Pulau Pinang dan ekonomi negeri dapat kembali seperti sedia kala.
PROJEK TAMBAKAN PULAU PINANG SELATAN (PENANG SOUTH RECLAMATION)

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Sebagai langkah untuk mengembangkan dan menjana ekonomi Pulau Pinang pada masa hadapan, Kerajaan Negeri telah merangka pelaksanaan projek tambakan Penang South Reclamation (PSR) yang melibatkan kawasan kira-kira 4,500 ekar pulau buatan. Pelaksanaan projek ini masih lagi tertakluk kepada kelulusan Environmental Management Plan (EMP) yang telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang pada 31 Mei 2021. Di samping itu, sebagai persediaan untuk memulakan kerja setelah EMP diluluskan, perunding akitek antarabangsa telah dilantik iaitu Bjarke Ingels Group (BIG) dengan dibantu perunding perancang bandar tempatan AJC Planning Consultants Sdn. Bhd. dalam merancang cadangan pembangunan fizikal bagi ketiga-tiga pulau ini kelak. Bagi tujuan perancangan ini aspek alam sekitar, mobiliti, pengunaan pengangkutan awam dan lain-lain telah diberi penekanan. Selain daripada itu, perancangan juga telah dimulakan bagi mereka bentuk infrastruktur utama jalan yang akan menghubungkan pulau-pulau buatan tersebut.
  1. Saya juga berharap agar perbincangan susulan dengan nelayan yang terlibat dengan projek ini dilakukan secara berterusan walaupun terdapat sebahagian daripada nelayan yang telah menyatakan hasrat mereka untuk hanya berbincang dengan Kerajaan Negeri setelah bantahan mereka terhadap kelulusan Environmental Impact Assessment  (EIA) oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar diputuskan oleh Panel Lembaga Rayuan Alam Sekitar. Rayuan ini pada awalnya ditetapkan untuk pendengaran pada 12 hingga 14 Julai 2021 tetapi telah ditunda kepada  6 sehingga 9 September 2021.
  1. Kerajaan Negeri tetap kekal dan komited dengan mekanisma pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek PSR melalui pakej tawaran yang telah diumumkan yang antara lain termasuk bayaran saguhati tunai, pemberian bot dan enjin serta lain-lain kemudahan bagi memastikan nelayan yang terlibat dapat kekal sebagai nelayan setelah projek ini dilaksanakan. Kebajikan dan masa depan nelayan yang terjejas oleh PSR akan terus diberi perhatian dalam Jawatankuasa Taskforce Nelayan yang dipengerusikan oleh YB Timbalan Ketua Menteri 1. Di bawah pakej SIMP juga terdapat perancangan untuk para nelayan seperti peluang pekerjaan, perniagaan dan lain-lain selaras dengan kemajuan projek ini kelak. Program ini sedang diselaraskan oleh sebuah jawatankuasa dan dijenamakan sebagai Program Penglibatan Komuniti (PELITAKU).                     
HAL EHWAL AGAMA ISLAM DAN PEMERKASAAN KOMUNITI 
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Dalam menjayakan wawasan untuk umat Islam khususnya dan rakyat Pulau Pinang amnya, Kerajaan Negeri telah melancarkan Gagasan Khaira Ummah 2030 pada 19 Ogos 2020 bersamaan 1 Muharram 1442 Hijrah di Masjid Albukhary Bandar Sri Pinang. Pelan ini merupakan misi pembangunan yang akan merangkumi lima teras utama iaitu Hikmah, Ekonomi, Baiti Jannati, Anak Muda dan Tarbiyah.
  1. Demi menyampaikan hasrat dan kesungguhan pentadbiran Islam negeri ini kepada umat Islam, sejumlah 70 program telah dikenal pasti di bawah Khaira Ummah 2030 dalam sesi induksi yang telah diadakan pada September 2020 dan lapan (8) sesi jelajah penerangan telah diadakan di masjid-masjid Pulau Pinang. Program Pasar Koperasi Ummah telah diadakan pada 10 April 2021 dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Pulau Pinang sebagai salah satu (1) program di bawah Khaira Ummah 2030. Program tersebut telah menyediakan ruang niaga kepada usahawan muslim untuk menjual produk keluaran syarikat Islam. Peranan dan sumbangan anak muda akan diiktiraf sebagai tunjang Khaira Ummah dan martabat masjid akan diangkat sebagai pusat pembangunan ummah menjelang tahun 2030 nanti melalui pelaksanaan Khaira Ummah 2030 ini. Pelaksanaan program ini sedikit sebanyak terjejas dengan pandemik COVID-19 pada tahun lepas dan tahun ini. Insya Allah program ini akan diteruskan dan dipertingkatkan apabila keadaan mengizinkan kelak.
  1. Saya juga berbesar hati melihat komitmen Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan pembangunan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi pelaksanaan projek pembangunan di Pusat Falak Sheikh Tahir, seluruh masjid dan surau, Sekolah Agama Rakyat (SAR), Pejabat Agama Daerah, Kompleks Darul Hidayah bagi saudara baru Islam dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) untuk kemudahan para pelajar dan kakitangan. Komitmen ini ditingkatkan dengan kelulusan peruntukan pembangunan tahun 2021 sebanyak Ringgit Malaysia lapan belas perpuluhan enam satu juta (RM18.61 juta) iaitu peningkatan sebanyak Ringgit Malaysia tujuh perpuluhan lima satu lapan juta (RM7.518 juta) dari tahun lepas.
  1. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan telah membina banyak masjid baharu serta menaiktaraf masjid di Negeri Pulau Pinang. Projek masjid yang telah siap pada tahun 2020 ialah Masjid Jamek Kampung Rawa di Daerah Timur Laut dan Masjid Albukhary (dana individu). Masjid Qaryah Bandar Tasek Mutiara di Simpang Ampat, SPS telah siap pada April 2021 dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Turut diluluskan oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) adalah cadangan pihak JHEAIPP untuk menjadikan Masjid Terapung Tanjung Bungah sebagai Masjid Daerah bagi Daerah Timur Laut dan kini sedang dalam proses penambahbaikan prasarananya oleh pihak JHEAIPP.
  1. Pada masa ini, enam (6) buah masjid-masjid baharu sedang dalam pembinaan iaitu Masjid Sungai Nibong Besar di Bayan Baru, Masjid Permatang Bogak di Kepala Batas, Masjid al-Qahhar di Permatang Damar Laut, Masjid Perai, Masjid Taman Pelangi di Perai dan Masjid Jamek Sungai Puyu di Butterworth. Manakala tiga (3) lagi projek masjid akan dimulakan dalam tempoh terdekat iaitu Masjid Papan di Kampung Pertama, SPT, Masjid Sungai Lokan di Tasek Gelugor, SPU dan Masjid Bandar Cassia di Batu Kawan, SPS yang dicadangkan sebagai Masjid Bandaraya Negeri Pulau Pinang.
  1. Kerajaan Negeri terus prihatin dengan perkembangan pendidikan di Sekolah-sekolah Islam yang merangkumi Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas KAFA, Maahad Tahfiz, Pusat Tahfiz, Sekolah Rendah dan Menengah Tahfiz, pondok-pondok pengajian tradisional serta Sekolah Rendah dan Menengah Agama Rakyat yang kini berjumlah 331 buah di Negeri Pulau Pinang. Pembinaan baharu institusi pendidikan Islam juga tidak diabaikan oleh Kerajaan Negeri melalui pembinaan:
    i)Sekolah KAFA Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas yang telah siap dibina pada awal tahun 2020;

    ii)Sekolah Agama Rakyat Tuan Guru di Tanjong Tokong pada tahun 2019 dan dijangka siap pada tahun ini;
    iii)Sekolah Agama Rakyat Bertam Putra, Kepala Batas yang dijangka siap pada 2022;
    iv)Sekolah Agama Madrasah Al-Ittihadiyah Al-Wataniyah di Cherok Tok Kun, SPT telah dimulakan pada 2021 dan dijangka siap pada 2023; dan
    v)Sekolah KAFA Masjid Daerah Seberang Perai Utara di Telok Air Tawar telah dimulakan pada 2021 dan dijangka siap pada 2023.
  1. Kerajaan Negeri juga telah memberikan bantuan khas kewangan di bawah Pakej Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19) dengan jumlah Ringgit Malaysia satu perpuluhan kosong sembilan lima juta (RM1.095 juta) sebagai bantuan langsung kepada 600 buah surau, 935 orang guru-guru Sekolah Agama Rakyat dan 55 orang Pemegang Tauliah Mengajar yang berdaftar dan diperakukan oleh JHEAIPP.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN 
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk menerapkan budaya ‘Revolusi Industri 4.0’ dalam bidang pendidikan seiring dengan visi Penang2030. Melalui Pusat Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) Kerajaan Negeri iaitu Tech Dome Penang, Penang Science Cluster, Penang Digital Library dan Penang Skills Development Centre, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program STEM untuk pelajar sekolah melalui inisiatif seperti MakerLab, Coding-For-All, Penang International Science Fair dan banyak lagi yang telah memanfaatkan lebih daripada 280,000 orang pelajar. Inisiatif-inisiatif ini menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi bagi menyokong kepelbagaian ekonomi negeri dan mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai “Silicon Valley of Asia”. Sememangnya modal insan merupakan faktor yang utama dalam menentukan kemajuan sesebuah negeri.
  1. Perpustakaan Digital Butterworth (BDL) telah dilancarkan pada 17 Oktober 2020 yang memperlihatkan perkhidmatan Penang Digital Library dimanfaatkan kepada penduduk di bahagian Seberang Perai. Sebuah bangunan Dewan Ria tiga (3) tingkat dengan keluasan 20,000 kaki persegi telah dibangunkan sebagai BDL yang menjadi tumpuan ramai orang di Seberang Perai. Kerajaan Negeri telah membangunkan BDL dengan kos berjumlah Ringgit Malaysia enam perpuluhan enam juta (RM6.6 juta) dengan usahasama pihak MBSP dan Think City Bhd.
  1. Selain itu, melalui InvestPenang, Kerajaan Negeri telah menawarkan Skim Insentif “Penang i4.0 Seed Fund” untuk membantu para usahawan tempatan berasaskan teknologi (technology start-ups) bagi membina, menarik dan mengekalkan usahawan-usahawan di Pulau Pinang. Sejak penubuhannya, Penang i4.0 Seed Fund telah membantu 27 start-ups. Di bawah skim ini, setiap start-ups menerima dana antara Ringgit Malaysia lima puluh ribu (RM50,000.00) sehingga   Ringgit Malaysia dua ratus lima puluh ribu (RM250,000.00) untuk membangunkan perniagaan berasaskan teknologi dalam bidang seperti Analisis Data Raya (“Big Data Analytics”), “e-commerce”, “IoT”, “Advance Manufacturing”, platform pemantauan kesihatan dan sebagainya. Success stories yang telah tercipta melalui skim ini adalah seperti Good Foodie Media, Food Market Hub, Telebot Technologies dan Safetruck.
  1. Selain itu, keupayaan Pulau Pinang dalam bidang Sains dan Teknologi juga terbukti apabila menerima pengiktirafan oleh organisasi antarabangsa melalui pemilihan negeri Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi penganjuran Kongres Dunia Teknologi Maklumat (World Congress On Information Technology), iaitu Sukan Olimpik untuk industri teknologi maklumat.
PEMBANGUNAN SOSIAL DAN HAL EHWAL BUKAN ISLAM

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Dalam usaha memastikan setiap lapisan masyarakat tidak tercicir dalam pembangunan negeri, Kerajaan Negeri telah menggubal Dasar Keterangkuman Gender pada tahun 2019. Konsep keterangkuman gender telah diguna pakai dalam pelaksanaan inisiatif di bawah Kerajaan Negeri antaranya Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB). Kerajaan Negeri juga mengambil perhatian serius berkenaan peningkatan kes keganasan rumah tangga khususnya dalam tempoh pandemik. Maka, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Dasar Keluarga Selamat pada Julai 2020 bertujuan untuk menubuhkan sistem sokongan oleh agensi kerajaan, pertubuhan komuniti dan pertubuhan agama untuk mangsa-mangsa keganasan rumah tangga. 29 pusat khidmat ADUN dan lapan (8) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah dilantik sebagai “First Support Points” untuk memberi bantuan segera kepada mangsa-mangsa keganasan rumah tangga serta membuat rujukan kes.
  1. Saya juga bangga dengan pencapaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memacu pembangunan wanita dalam aspek kepimpinan dan ekonomi. Sidang Wanita yang pertama di Malaysia iaitu satu (1) simulasi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah diadakan pada Julai 2020 untuk merapatkan jurang gender di dalam bidang politik. Seramai 40 peserta yang terpilih menghadiri persidangan Sidang Wanita mencerminkan bakat dan kebolehan para wanita dalam memainkan peranan wakil rakyat membahas isu-isu semasa. Pada tahun ini, Sidang Wanita 2021 akan diteruskan pelaksanaannya menerusi persidangan secara atas talian. Selain itu juga, Pulau Pinang sedang berusaha dan dalam peringkat penelitian untuk memperkenalkan inisiatif Top-Up Women-Only Additional Seats (TWOAS) atau Kerusi Tambahan Untuk Wanita bagi memastikan 30% perwakilan wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa prihatin dalam mengekalkan keharmonian beragama di kalangan penduduk dan menawarkan perkhidmatan serta kemudahan yang asas dalam membantu penduduk mengamalkan hal ehwal keagamaan tersebut tanpa sebarang halangan. Salah satu (1) kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam perkara ini adalah, memperuntukkan tanah seluas 22 ekar di Daerah Seberang Perai Utara yang bernilai Ringgit Malaysia tujuh belas perpuluhan enam lima empat juta (RM17.654 juta) dengan infrastruktur asas yang bernilai Ringgit Malaysia sembilan perpuluhan dua juta (RM9.2 juta). Sebanyak 35 Persatuan Keagamaan yang terdiri daripada Taoisme, Buddhisme, Hinduisme, Kristianiti dan lain-lain telah dipertimbangkan untuk ditawarkan tanah di atas tapak tersebut. Dijangka dalam tempoh dua (2) tahun beberapa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) akan dibangunkan dan mula beroperasi untuk orang awam di atas tapak tersebut. Penawaran tanah kepada 35 persatuan keagamaan selain Islam yang berbilang kaum ini mampu mengekalkan keharmonian beragama di Negeri Pulau Pinang selaras dengan hasrat wawasan Penang2030.
PERUMAHAN

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Negeri Pulau Pinang dalam langkah menjayakan agenda bertemakan Penang2030: A Family-Focused Green and Smart State that Inspires the Nation di bawah teras mendayakan kehidupan dan peningkatan kualiti telah berjaya melepasi komitmen menyediakan perumahan yang selesa dan mencukupi bagi setiap kategori kemampuan golongan B40 dan M40. Kerajaan Negeri Pulau Pinang semenjak 2008 hingga kini telah berjaya memastikan sebanyak 38,190 Rumah Mampu Milik A, B dan C siap dibina manakala 19,640 unit pula sedang dalam pelbagai fasa pembinaan dan 61,286 unit pula berada di peringkat perancangan. Jika dihitung kesemuanya berjumlah 119,116 unit dan telah melepasi jumlah komitmen 75,362 unit seperti dinyatakan di dalam Manifesto 100 Hari Perumahan Untuk Semua. Usaha ini akan digandakan lagi mengambil kira sasaran ditetapkan didalam Visi Penang2030  iaitu penyediaan 220,000 Rumah Mampu Milik merangkumi pelbagai jenis rumah termasuk rumah sewa dan PPR. Sebanyak 10 peratus atau 22,000 unit dari rumah mampu milik yang bakal dibina ini pula disasarkan untuk dilaksanakan secara sewa beli bagi membantu kelompok yang sukar mendapatkan pembiayaan. Sehingga kini sebanyak 2,510 unit kediaman sedia dan dalam perancangan untuk ditawarkan dibawah inisiatif ini. Mengambil kira ada golongan yang tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri, pembinaan unit-unit sewa pada kadar sewa yang rendah amatlah diperlukan. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah mencadangkan lima (5) lokasi cadangan pembinaan PPR di setiap daerah kepada Kerajaan Persekutuan.
  1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri sejak 2014 merancang pembinaan 19 projek perumahan mampu milik yang bakal menyediakan sekurangnya 22,028 unit perumahan mampu milik melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan penswastaan di bawah Perbadanan Ketua Menteri. Bermula 2021, selari dengan penubuhan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), usaha penyediaan Rumah Mampu Milik ini di pusatkan di mana sebanyak 10 lokasi tapak telah dikenal pasti bagi tujuan pembangunan rumah mampu milik yang bakal menyediakan sekitar 20,912 unit kediaman.
  1. Kerajaan Negeri turut membelanjakan purata Ringgit Malaysia lapan belas perpuluhan kosong juta (RM18.0 juta) setahun dalam menyelenggara Rancangan Perumahan Awam di kelima-lima daerah dimana sejak 2008 hingga 2021 sebanyak Ringgit Malaysia dua ratus dua perpuluhan sembilan juta (RM202.9 juta) telah dibelanjakan termasuk khusus bagi tahun 2021 sebanyak Ringgit Malaysia dua puluh satu perpuluhan enam tujuh juta (RM21.67 juta). Sebanyak Ringgit Malaysia dua puluh lapan perpuluhan dua tujuh juta (RM28.27 juta) pula peruntukan penyelenggaran di skim-skim perumahan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Selain itu Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada penyelenggaraan Skim Perumahan Kos Rendah/Sederhana Rendah swasta melalui inisiatif Tabung Penyelenggaran Maksima 80 Peratus (TPM80) bernilai Ringgit Malaysia empat puluh lima perpuluhan dua empat juta (RM45.24 juta) telah diluluskan sejak tahun 2013.Keseluruhan peruntukan terkumpul Kerajaan Negeri ini bagi penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak mencecah Ringgit Malaysia dua ratus tujuh puluh enam perpuluhan empat juta (RM276.4 juta) membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam menyediakan perumahan yang selesa dan selamat.
  1. Penang2030 telah menetapkan sasaran penyediaan kawasan hijau untuk tujuan rekreasi dan riadah bagi penduduk Negeri Pulau Pinang. Lanjutan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk melaksanakan Projek Gurney Wharf melibatkan kawasan seluas 96.46 ekar di kawasan projek tambakan laut Seri Tanjung Pinang Fasa Dua (2) (STP 2) berhampiran Gurney Drive, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Fasa satu (1) projek ini dijangka siap pada hujung tahun 2022 yang melibatkan skop kerja-kerja landskap, penyediaan kawasan promenade, skate park, kiosks, tandas awam kedai serbaneka, viewing deck, kemudahan permainan kanak-kanak, sistem saliran bawah tanah, kawasan wetlands, laluan pejalan kaki dan tempat meletak kenderaan. Fasa dua (2) dan penambakan dua (2) water bodies dijangka siap pada hujung tahun 2023. Kos projek dianggarkan berjumlah Ringgit Malaysia dua ratus juta (RM200 juta).
ALAM SEKITAR

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Kerajaan Negeri komited untuk mengimbangi pemeliharaan dan perlindungan hutan serta meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri ini. Pada 26 Mac 2020, Kerajaan Negeri telah mewartakan seluas 285.84 hektar kawasan Pulau Jerejak sebagai Hutan Simpanan Kekal (No. Warta 322). Kawasan yang telah diwartakan sememangnya mempunyai ciri-ciri kepentingan biologi dan juga nilai warisan sejarah bagi Negeri Pulau Pinang. Usaha pewartaan ini secara tidak langsung menyaksikan pertambahan litupan hutan di Negeri ini iaitu sebanyak 4.3% atau seluas 6,568.77 hektar yang telah diwartakan di bawah perundangan untuk melindungi sumber khazanah hutan.
  1. Sebagai langkah untuk menjamin bekalan air negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan untuk mewartakan seluas 6,288.295 hektar Kawasan Tadahan Air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) 1998, Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan) tahun 2004, iaitu pada 2 Disember 2004. Pewartaan kawasan tadahan ini meliputi seluas 3,565 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK). Ini bermakna 70% Hutan Simpanan Kekal di Negeri Pulau Pinang telah dikhususkan untuk tujuan perlindungan kawasan Hutan Tadahan Air sejak tahun 2004. Pada 2 Disember 2020, Kerajaan Negeri telah bersetuju meluluskan seluas 3,790.54 hektar Hutan Simpanan Kekal untuk diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air di bawah seksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara 1984. Kerja-kerja pewartaan ini sedang dalam proses akhir dan bakal menyaksikan jumlah keluasan HSK untuk tujuan pewartaan bertambah sebanyak 5%.
  1. Pewartaan kawasan Hutan Simpanan Kekal ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam pemantapan amalan pengurusan khazanah hutan secara lestari di negeri ini mencakupi aspek konservasi kepelbagaian biologi, pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi. Sasaran outcome menerusi kejayaan pewartaan ini dapat memberi jaminan kawasan hutan simpanan kekal akan terus kekal kewujudannya (security of tenure) di samping menambah kemampuan penyerapan karbon bagi kestabilan iklim di negeri ini.
KEBAJIKAN

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dengan kebajikan rakyat Negeri Pulau Pinang. Program i-Sejahtera berperanan sebagai satu (1) sumbangan penghargaan kepada rakyat Pulau Pinang yang menyumbang kepada pembangunan negeri sama ada secara langsung mahupun tidak langsung antaranya kepada golongan warga emas, ibu tunggal, OKU, ibu emas dan anak emas. Pada tahun 2020, seramai 250,166 orang penerima manfaat di bawah Program i-Sejahtera dengan perbelanjaan sebanyak Ringgit Malaysia tiga puluh empat perpuluhan lapan tujuh juta (RM34.87 juta).  Pada tahun 2021, jumlah penerima bagi Fasa Satu (1) adalah seramai 222,526 orang dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak Ringgit Malaysia tiga puluh perpuluhan lapan empat juta  (RM30.84 juta).

  2. Kejayaan Mutiara Foodbank sememangnya memberikan satu (1) impak positif kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Hal ini dibuktikan apabila program ini menjadi model contoh kepada Kerajaan Persekutuan semasa menubuhkan Yayasan Foodbank Malaysia. Sejak bermula penubuhan Mutiara Foodbank pada tahun 2017 sehingga kini, 1,082 tan makanan telah berjaya diselamatkan yang memberi manfaat kepada 63,238 orang penerima. Selain itu, Unit Mutiara Foodbank juga telah menerima barangan kering daripada pelbagai pihak sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada Mac 2020 sehingga kini berjumlah Ringgit Malaysia dua ratus lima puluh tiga ribu enam ratus dua puluh lapan (RM253,628.00) yang memberi manfaat kepada 14,890 orang penerima yang memerlukan.  Penyaluran bantuan ini sudah semestinya meringankan beban kos sara hidup penerima manfaat lebih-lebih lagi ketika rakyat negeri ini sedang menghadapi kesan buruk penularan pandemik COVID-19.
  1. Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan pek bekalan makanan. Pada tahun 2020, sejumlah Ringgit Malaysia satu juta (RM 1 juta) telah diperuntukkan bagi membiayai 20,000 pek bekalan makanan tambahan kepada kumpulan sasar yang merangkumi penerima bantuan JKM, AES, penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lain-lain golongan yang terkesan. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak Ringgit Malaysia lima ratus empat puluh ribu (RM540,000.00) bagi tujuan pembelian pek bantuan makanan yang memberi manfaat kepada 10,800 orang penerima yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
  1. Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri turut memberi bantuan khas kewangan sebanyak Ringgit Malaysia lima ratus (RM500.00) secara one-off kepada 18,087 orang penerima yang layak dengan jumlah perbelanjaan sebanyak Ringgit Malaysia sembilan juta empat puluh tiga ribu lima ratus (RM9,043,500.00) bagi memastikan kelangsungan hidup penerima-penerima bantuan.  Pada penghujung tahun 2020, 18,946 orang penerima Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk OKU dan Penerima Skim Agenda Ekonomi Saksama telah mendapat bantuan RM100 daripada Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak Ringgit Malaysia satu juta lapan ratus sembilan puluh empat ribu enam ratus (RM1,894,600.00).  Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri memberikan bantuan khas kewangan sebanyak Ringgit Malaysia lima ribu (RM5,000.00) secara one-off kepada sejumlah 94 pusat jagaan  kanak-kanak/warga emas/OKU/perlindungan wanita di Pulau Pinang dengan jumlah perbelanjaan sebanyak Ringgit Malaysia empat ratus tujuh puluh ribu (RM470,000.00).
  1. Pusat Transit Gelandangan dibangunkan sebagai salah satu (1) inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang menjalani kehidupan bergelandangan di sekitar pusat bandar George Town. Kerja-kerja pembinaan bagi Pusat Transit Gelandangan di Jalan C.Y. Choy telah bermula sejak 17 Februari 2020. Sehingga kini, kemajuan pembinaan projek telah mencapai 64% dan dijangka mula beroperasi pada   Januari 2022. Pusat ini akan mempunyai kemudahan penginapan transit untuk gelandangan yang diasingkan mengikut jantina lelaki dan perempuan serta Orang Kurang Upaya (OKU) dengan anggaran kapasiti seramai 88 orang penghuni.
PROJEK TEBATAN BANJIR

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Saya amat yakin Kerajaan Negeri dapat mengurangkan kejadian banjir dengan memberi tumpuan dalam usaha menjalankan projek tebatan banjir, pembinaan rumah pam, ban, pintu air, pengukuhan tebing sungai, mendalam dan melebar sungai, pencegahan hakisan pantai dan juga menaiktaraf struktur-struktur utama.
  1. Pada tahun 2021, dua (2) projek High Impact iaitu, Projek Tebatan Banjir Parit Empat (4) dan Projek Tebatan Banjir Parit Lima (5) di Seberang Perai Tengah telah berjaya disiapkan pada Mei 2021 yang lepas, manakala Projek Tebatan Banjir Mak Mandin, Projek Tebatan Banjir Bayan Baru dan Projek Tebatan Banjir Sungai Nipah dijangka akan disiapkan sebelum penghujung tahun 2021. Selain daripada itu, Projek Tebatan Banjir Membina Kolam Takungan Banjir di Alma sedang dalam pembinaan yang dijangka siap pada 1 November 2022. JPS Pulau Pinang juga akan melaksanakan baki satu (1) projek High Impact baru iaitu Projek Tebatan Banjir Menaiktaraf Sistem Saliran Sungai Nipah (Kampung Naran) di Belakang Lapangan Terbang, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang dengan kos projek sebanyak Ringgit Malaysia sembilan perpuluhan lima juta (RM9.5 juta) yang dijangka akan bermula pada penghujung Ogos 2021.
  1. Selain daripada projek-projek di atas, JPS Pulau Pinang juga sedang dalam proses penyediaan tender untuk Projek Tebatan Banjir di Solok Van Praagh, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang yang akan menggunakan Peruntukan Kerajaan Negeri dan projek dijangka akan dimulakan pada Oktober 2021.
PELANCONGAN

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Sektor pelancongan merupakan antara sektor yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19 berikutan kawalan pergerakan yang dilaksanakan dan penutupan sektor ekonomi yang berkenaan. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021-2030 pada 3 Mei 2021 yang bertujuan untuk mendorong pertumbuhan sektor pelancongan negeri sehingga tahun 2030. Pelan ini dihasilkan berdasarkan input dan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan termasuk agensi/jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, pengusaha sektor pelancongan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pendidik, pelajar dan pemimpin masyarakat. Pelan induk ini menetapkan matlamat dalam membangunkan sektor pelancongan yang lestari di  Pulau Pinang serta mengukuhkan kedudukan kompetitif Pulau Pinang sebagai salah satu (1) destinasi utama.
  1. Walaupun Negeri Pulau Pinang adalah dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Dua (2) di mana aktiviti pelancongan tidak dibenarkan, Kerajaan Negeri masih memberikan perhatian kepada aktiviti promosi pelancongan untuk mengekalkan minat pelancong. Promosi-promosi dengan slogan ‘Experience Penang Year’, kempen melalui radio dan media sosial serta promosi-promosi lain secara atas talian giat dilaksanakan. Strategi ini adalah bagi mengekalkan penjenamaan Pulau Pinang di pasaran tempatan dan luar negara dan seterusnya dapat memulihkan sektor pelancongan apabila dibenarkan beroperasi kelak. Bagi meningkatkan keyakinan para pelancong, Kerajaan Negeri juga mempromosikan garis panduan serta langkah-langkah yang telah diambil dalam mewujudkan kawasan selamat daripada pandemik COVID-19.
BELIA DAN SUKAN

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Pembangunan sukan pada masa ini menghadapi cabaran yang tinggi susulan pandemik COVID-19. Pelbagai program latihan dan penganjuran kejohanan-kejohanan terpaksa ditunda kesan daripada penularan wabak ini. Berikutan itu, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah mengkaji dan melaksanakan penstrukturan semula fokus hala tuju dan pewujudan tonggak pembangunan sukan bagi memastikan program latihan dan penyediaan atlet berprestasi tinggi pasca COVID-19 sebagai persiapan atlet Negeri Pulau Pinang diberikan keutamaan dan diteruskan untuk menghadapi SUKMA Johor 2022 nanti. Sebagai tambahan, pelantikan saya sebagai Penaung kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang yang berkuatkuasa pada 25 Ogos 2021 sebagai penasihat aktif dalam pentadbiran MSNPP juga diharap dapat membantu pentadbiran MSNPP untuk terus gemilang dalam merencana pertumbuhan sukan Negeri Pulau Pinang.
  1. Selain daripada itu, “Penang Athlete Career Education” (PACE) telah ditubuhkan pada 1 Ogos 2020 untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi dalam sukan dan juga pendidikan serta membina laluan kerjaya kepada atlet Negeri Pulau Pinang untuk memberikan tumpuan dan bantuan dalam aspek-aspek kebajikan atlet negeri dengan mewujudkan satu (1) tabung kebajikan Negeri Pulau Pinang dalam bidang pendidikan dan kerjaya. Sejak penubuhan PACE, seramai 80 orang atlet Negeri Pulau Pinang telah menerima manfaat dan bantuan daripada Tabung Sukan Negeri Pulau Pinang.
  1. Selaras dengan kelulusan cadangan pengambil alihan Penang FC Sdn. Bhd. (PFC SB) pada 3 Februari 2021, Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya PFC SB diletakkan sebagai anak syarikat (GLC) di bawah Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dalam usaha membangunkan sukan bola sepak Negeri Pulau Pinang. Antara kejayaan PFC dalam kejohanan Liga Super Malaysia Musim 2021 adalah di mana PFC kini menduduki tempat keempat (4) dengan 34 mata setakat 27 Ogos 2021.
  1. Kerajaan Negeri melalui MMK Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang bersama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dalam sudut pembangunan belia telah merancang untuk mewujudkan 40 Pusat Belia di Negeri Pulau Pinang di mana satu (1) Pusat Belia akan diwujudkan di setiap KADUN Negeri Pulau Pinang bagi merangsang penglibatan belia dalam program-program dan aktiviti-aktiviti komuniti, menyediakan ruang aktiviti untuk para belia berinteraksi dan berkongsi idea-idea kreatif serta, menggalakkan penganjuran program belia di komuniti masing-masing. Pusat belia pertama iaitu Pusat Belia Penaga telah dirasmikan pada 11 April 2021. Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut berbesar hati dengan kelulusan penggubalan undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2021 bagi Penurunan Had Umur calon ADUN daripada 21 tahun ke 18 tahun pada 11 Ogos 2021 di mana rang   undang-undang ini memperuntukkan kelayakan umur bagi menjadi anggota Dewan Undangan Negeri hendaklah lapan belas (18) tahun atau lebih. Rang undang-undang ini akan dibentangkan dalam Sidang DUN ini.
  1. Bagi sudut pembangunan kerjaya belia, “We Want You” yang dilancarkan pada 2020 merupakan portal carian kerjaya yang menyediakan platform kepada golongan belia untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian di Negeri Pulau Pinang di mana syarikat dan majikan tempatan dapat mengiklankan peluang pekerjaan secara percuma. Setakat data pada 23 Ogos 2021, seramai 83 majikan telah mendaftar dalam pameran kerjaya ini dan jumlah pekerjaan yang ditawarkan adalah sebanyak 7,000 dan seramai 1,167 pemohon telah berdaftar.
  1. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Sijil Jurulatih Cemerlang dan Sijil Jurulatih Terpuji untuk memberikan pengiktirafan dan penganugerahan kepada jurulatih-jurulatih negeri yang telah menunjukkan perkhidmatan sebagai seorang jurulatih bertanggungjawab, komited, berdedikasi dan beramanah. Sijil Jurulatih Cemerlang tahun 2020 telah dianugerahkan kepada Cik Shamani a/p Ganesen bagi Sukan Memanah dan Encik Nasir bin Mohd Noor bagi Sukan Petanque, manakala 14 orang jurulatih lagi telah dianugerahkan Sijil Jurulatih Terpuji 2020.
  1. Negeri Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai negeri yang telah melahirkan atlet sukan Tenpin Boling bertaraf antarabangsa. Dalam usaha untuk mendorong pembangunan sukan Tenpin Boling, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan pengecualian lesen hiburan dan duti hiburan ke atas aktiviti Tenpin Boling di Negeri Pulau Pinang berkuatkuasa 1 Januari 2021 tertakluk kepada Garis Panduan Pengecualian Lesen dan Duti Hiburan. Kerajaan Negeri berhasrat ianya dapat membantu sukan Tenpin Boling dibangunkan dengan lebih pesat lagi dengan usahasama antara pengusaha-pengusaha Pusat Tenpin Boling, Persatuan Tenpin Boling Negeri Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk menjadikan sukan Tenpin Boling sebagai satu sukan utama berprestasi tinggi di Negeri Pulau Pinang.
AGROTEKNOLOGI DAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Ahli-Ahli Yang Berhormat,
  1. Kerajaan Negeri komited untuk meningkat hasil pengeluaran dan kualiti produk melalui program-program pengembangan dan projek pembangunan pertanian. Bagi mengukuhkan rantaian nilai bekalan makanan sedia ada, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dalam perancangan menambah kawasan tumpuan pengeluaran tanaman makanan seperti mana yang telah dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Ara Kuda dan Mayfield, dan di Taman Pertanian Permatang Pauh dan Batu Kawan. Taman Agroteknologi Pertanian Ara Kuda merupakan perancangan jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dengan kerjasama pihak PERDA untuk membangunkan kawasan projek pertanian moden dengan menggunakan pelbagai aplikasi teknologi agromakanan, seiring dengan perkembangan Revolusi Industri (IR4.0) di kawasan yang dikenalpasti sebagai TKPM 2 Ara Kuda, seluas 147 ekar. Perkembangan IR4.0 menggalakkan pengoperasian secara automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan tenaga manusia dan ini juga membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan kerana aktiviti pertanian tidak memerlukan ramai pekerja melaksanakan satu-satu pekerjaan.

  2. Kerajaan Negeri telah memulakan Projek Pembangunan Permatang Pauh Agro Park pada tahun 2017 di Seberang Perai Tengah untuk menarik lebih ramai golongan petani muda terutamanya dari Pulau Pinang untuk menceburi bidang pertanian. Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan projek ini dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang. Pelbagai tanaman diusahakan oleh para peserta Permatang Pauh Agro Park seperti halia, sayur-sayuran serta tanaman unik seperti vanila yang diusahakan oleh Kairos Agriculture. Berikutan permintaan pasaran dan nilai komersialnya yang tinggi, tanaman vanila kini makin mendapat tempat dalam kalangan petani moden. Malaysia First Vanilla Smart Farm di Permatang Pauh Agro Park yang telah dirasmikan pada 15 Ogos 2020 telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada The Malaysia Book of Records. Saya berharap agar usaha seperti ini dapat menjadi contoh kepada agropreneur muda terutama di Pulau Pinang untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian yang terbukti penting untuk menjana ekonomi setempat.
  1. Penternakan moden merupakan hala tuju Kerajaan Negeri bagi memastikan industri penternakan di negeri ini dapat berkembang maju dan mapan dalam pelaksanaannya. Ianya dimulakan dengan pewartaan Enakmen Perladangan Babi pada tahun 2016. Sehingga kini, sebanyak 147 ladang ternakan babi telah dilesenkan mengikut kriteria dan syarat yang telah ditetapkan dalam pelesenan. Seterusnya, semua ladang babi perlu mengamalkan penternakan secara kandang tertutup sepenuhnya mulai tahun 2022.
  1. Pewartaan Enakmen Perladangan Unggas Negeri Pulau Pinang 2020 menjadi kesinambungan daripada Enakmen Peladangan Babi sebelumnya untuk memastikan ladang-ladang ternakan beroperasi mengikut keperluan dan mematuhi kehendak asas regulatori veterinar. Peraturan-Peraturan Enakmen Perladangan Unggas buat masa ini dalam proses semakan undang-undang sebelum ianya diimplementasi dan dilaksanakan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

  1. Sebagai rumusan, adalah menjadi harapan saya untuk melihat Ahli-Ahli Yang Berhormat bersama-sama semua warga kerja perkhidmatan awam, swasta dan rakyat negeri ini menggembleng tenaga serta daya fikir untuk menyumbang ke arah pembangunan negeri. Dalam hal ini, saya memohon agar semua Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berbahas dengan bijaksana, menyampaikan pandangan dan cadangan yang bernas dan positif dalam membantu Kerajaan mengambil inisiatif dan menyediakan pelan serta langkah-langkah berkesan untuk mengembalikan  kehidupan rakyat yang lebih baik, negeri yang aman dan makmur demi masa depan yang lebih cerah dan gemilang. 
  1. Walaupun negara sedang menghadapi tempoh pandemik, saya amat berharap agar projek-projek untuk kemudahan rakyat yang disusun dan dirancangkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat disiapkan mengikut jadual. Perkara ini penting bagi penyampaian perkhidmatan Kerajaan terhadap rakyat di samping memacu ekonomi negara secara dalaman. Harapan saya supaya semua Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak mengira parti, Kerajaan atau pembangkang, dapat memberi fokus dan iltizam untuk membantu rakyat yang dalam kesusahan dan kegelisahan untuk meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.

  2. Kemajuan pembangunan Negeri Pulau Pinang pada masa ini serta peningkatan permintaan dan keperluan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, tidak dapat dinafikan. Justeru, saya amat berharap supaya Kerajaan Negeri dapat meneruskan idea yang telah dibangkitkan di dalam Dewan Yang Mulia ini pada tahun 2015 dan juga tahun 2019 yang lalu untuk mendirikan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang baru. Ini ialah bagi keselesaan sidang dan bagi  menampung jumlah Ahli-Ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai bertugas dan para media serta menambahbaikan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan.  Semoga dengan wujudnya bangunan yang baru, fungsi dan keberkesanan Dewan Undangan Negeri serta jawatankuasa-jawatankuasa dibawahnya dapat dipertingkatkan.  Adalah menjadi harapan saya juga agar bangunan baru tersebut akan menjadi mercu tanda kemegahan rakyat dan negeri ini dalam mendokong sistem demokrasi berparlimen dan  Raja Berpelembagaan di negara kita.  Justeru, saya berharap YAB Ketua Menteri dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat  Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan berkenaan mengambil tindakan susulan sewajarnya bagi merealisasikan hasrat bersama kita ini.   
  1. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan usaha daripada seluruh anggota Perkhidmatan Awam yang terlibat dalam menyumbang ke arah pembangunan, keamanan dan kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para semua frontliners yang telah bekerja keras dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.
  1. Harapan saya adalah agar Negeri Pulau Pinang dapat beralih ke Fasa Tiga (3) Pelan Pemulihan Negara dalam masa terdekat di mana lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dapat dibuka. Saya juga berharap rakyat dapat kembali menjalani kehidupan normal dan menikmati kegemaran biasa yang tidak dapat diperolehi dalam tempoh PKP. Perlu diingat, pematuhan kepada SOP hendaklah sentiasa diamalkan dan diutamakan dalam kehidupan norma baru ini.
  1. Saya juga menyeru kepada semua rakyat Negeri Pulau Pinang, tidak kira agama, bangsa dan budaya agar mengutamakan kesejahteraan hidup bersama secara aman dan damai. Adalah penting bagi kita menghayati semangat kenegaraan yang membantu kita mencapai kemerdekaan demi kepentingan bersama dan masa depan negara. Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2021 ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang Ke-64.
  1. Akhir kata, saya mendoakan agar Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua serta melindungi negeri yang tercinta ini dari sebarang unsur negatif supaya kita terus maju, makmur dan mendapat perlindungan dari Yang Maha Esa.
  1. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Keempat Belas. Selamat Bersidang di Dewan Yang Mulia ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Recommended Post

Paras 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel : +604-2621957 
Complaints Line : +604-2642020
Fax : +604-2634940
Email : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my  

Paras 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel : +604-2621957 
Complaints Line : +604-2642020
Fax : +604-2634940
Email : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my  

Monthly Hits: 1614899

  • Last Updated: 21 November 2022.

Copyright © 2022 Kerajaan Negeri Pulau Pinang