logo penang 2030

A A  Arial | PT Sans | Century
faq hubungi maklumbalas peta

suk penang logo

Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT)

 

TUAN YANG TERUTAMA
TUN DATO’ SERI UTAMA AHMAD FUZI BIN HAJI ABDUL RAZAK
S.M.N., P.S.M., D.U.P.N., S.P.D.K., D.S.L.J. (Brunei), D.M.P.N., D.S.P.N., J.S.M., A.M.N.
YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG



          Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak dilahirkan pada 8 Januari 1949 di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Beliau adalah anak sulung kepada Tuan Hj Abdul Razak Yahya, seorang guru agama madrasah yang kemudiannya bertugas di Jabatan Penerangan dan Puan Siti Aminah Abdullah.

            Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan King Edward VII di Taiping, Perak dan Sekolah Kebangsaan Stowell di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau meneruskan pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di Ipoh, Perak dan menyambung pengajian beliau di University Malaya, dan tamat pada tahun 1972 dengan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian). Beliau juga mengikuti UK Foreign Service Programme di Universiti Oxford di mana beliau memperolehi Sijil Diplomasi pada tahun 1974.

            Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi menyertai Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan bermula sebagai Penolong Setiausaha, Konsular; Ketua Penolong Setiausaha Undang-Undang Laut; Setiausaha Bahagian, Eropah dan Asia Tenggara; Timbalan Ketua Setiausaha, Politik dan Ketua Setiausaha. Beliau juga bertugas dalam misi Malaysia di luar negara sebagai Setiausaha Kedua di Moscow, Rusia, Kaunselor di The Hague, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di Canberra, Australia, Timbalan Ketua Perwakilan di Washington, U.S. dan Pesuruhjaya Tinggi di Dhaka, Bangladesh.

            Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi telah berkhidmat selama 37 tahun dari 1972 hingga 2009 di Wisma Putra, termasuk sebagai Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Duta Tugas-tugas Khas sebagai wakil Malaysia ke Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi Piagam ASEAN mengenai Penggubalan Piagam ASEAN dan Panel Peringkat Tertinggi mengenai Penggubalan Terma Rujukan Badan Hak Asasi Manusia ASEAN.

            Sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri dari tahun 2001 dan 2006, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bertanggungjawab dalam penggubalan dan pengendalian dasar luar negeri dan hubungan diplomatik Malaysia, termasuk menyelia dan mengawasi seluruh Duta/Pesuruhjaya Tinggi, pegawai dan kakitangan di Kementerian dan misi Malaysia di luar negara. Pada tahun 2003, beliau terlibat dalam penganjuran Sidang Kemuncak NAM dan juga Sidang Kemuncak Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan pada tahun 2005, Sidang Kemuncak ASEAN, Asia Timur dan sidang kemuncak berkaitan di Kuala Lumpur.

            Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi adalah wakil Malaysia dalam rundingan dua hala mengenai Penetapan Sempadan Maritim antara Malaysia dan Brunei, dan juga wakil untuk Tribunal Antarabangsa untuk Undang-Undang Laut (ITLOS) berhubung Penambakan Tanah oleh Singapura di Johor dan sekitarnya di antara Malaysia dan Singapura. Beliau juga menyaksikan penyelesaian kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Kedaulatan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan antara Malaysia dan Indonesia, serta kes antara Malaysia dan Singapura mengenai Kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

            Dalam perhubungan dua hala, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi terlibat dalam penyelesaian beberapa isu antara Malaysia dan Singapura, pengukuhan hubungan melalui perudingan tahunan dan lawatan dua hala antara Malaysia dan negara-negara besar seperti Australia, Brunei, China, Indonesia, Jepun, Republik Korea, India, New Zealand, Vietnam, Laos dan pelbagai negara lain di Asia Tenggara, Timur Tengah, Eropah, Afrika dan Amerika Latin.

            Di peringkat serantau, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi mengetuai Delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) yang diadakan di negara-negara ASEAN sebagai persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN, Asia Timur dan Sidang Kemuncak berkaitan.

            Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi terlibat dengan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) sejak penubuhannya sebagai Forum Perniagaan OIC pada tahun 2003. Ini termasuk menjadi Pengerusi Bersama/Panel Penasihat Antarabangsa, Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan seterusnya, Setiausaha Agung Yayasan WIEF dari tahun 2007 hingga 2021. Sebagai platform global untuk kerjasama perdagangan dan perniagaan, 13 WIEF telah berjaya diadakan di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching di Malaysia dan ibu kota-ibu kota lain iaitu, Islamabad, Kuwait, Jakarta, Astana (kini Nur-Sultan), Dubai dan London.

            Memanfaatkan pengalaman luas beliau dalam bidang diplomatik dan pentadbiran, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi memasuki dunia korporat setelah bersara dengan menjawat jawatan sebagai Pengerusi beberapa syarikat tersenarai awam iaitu, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd, Amanahraya REIT Bhd, Seremban Engineering Berhad, Success Transformer Corporation Bhd dan Apex Equity Holding Bhd serta memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Maybank Islamic (MIB) Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah PROTON Berhad, BERNAMA dan Connect County Holdings Bhd.

            Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi, merangkap Pengarah beberapa syarikat swasta seperti ACE Group, ACE Investment Bank, ACE Money Exchange Sdn Bhd, Ranhill Energy Resources Sdn Bhd, PKT Logistics Sdn Bhd, Maybank Islamic Asset Management Sdn Bhd, Theatre Management Associates Sdn Bhd dan the Asia Development & Investment Bank (ADIB) yang berpusat di Labuan.

            Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi terlibat secara aktif dengan pelbagai kumpulan pemikir dan yayasan. Beliau adalah Felo Kehormat, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR); Pengerusi, IMAN Research & Consultancy; Timbalan Pengerusi, Ahli Jawatankuasa dari Malaysia ke Majlis Kerjasama Keselamatan di Asia Pasifik (CSCAP Malaysia); Ahli, Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS); Ahli Lembaga Pengarah, Institut Maritim Malaysia (MIMA); Ahli Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJA); Lembaga Pemegang Amanah, MERCY Malaysia; Perdana Global Peace Foundation (PGPF); Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) dan Yayasan Lejadi.

            Beliau juga adalah Penaung, Persatuan Kebudayaan Malaysia-China; Presiden, Persatuan Bekas Duta Besar Malaysia; Penasihat, Asia Pacific Enterprise Award (APEA); Malaysia-Myanmar Chamber of Commerce dan High School Bukit Mertajam Alumni Malaysia. Beliau menganggotai Lembaga Gabenor Universiti Meritus, Malaysia dan Lembaga Management Development Institute of Singapore (MDIS) di Johor. 

            Pada tanggal 30 April 2021, detik bersejarah apabila Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak telah menerima Watikah Pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8 oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara.  Pada 01 Julai 2021, beliau dilantik sebagai Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk tempoh masa tiga tahun. Beliau juga adalah Penaung Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Penaung Hospital Kanser Mount Miriam, Penaung Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang, Penaung ACE Foundation, Penaung Kelab Renang Pulau Pinang, Penaung Pertubuhan Kesedaran Jenayah & Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang dan Penaung Kelab Pulau Pinang.

            Sebagai penghargaan ke atas jasa beliau kepada negara, beliau telah dianugerahkan Ahli Mangku Negara (A.M.N.) pada 1979, Johan Setia Mahkota (J.S.M.) pada 1999, Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) pada 1999, Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) pada 2002, Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada 2003 dan Dato Seri Laila Jasa (D.S.L.J.) daripada Sultan Brunei pada 2014. Beliau turut menerima anugerah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) pada 30 April 2021 dan Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) bersempena Majlis Angkat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8.  Pada 17 Disember 2021, beliau dianugerahkan Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.).

            Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, gemar membaca dan merancang demi Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.

 

 

Kemaskini pada 28 Disember 2021

 

 

 

 

Negaraku

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta

Untuk Negeri Kita

Selamat Tuhan kurniakan 
Selamat Pulau Pinang 
Negeriku yang mulia 
Kutaat dan setia 
Aman dan bahagia

Majulah jayalah 
Negeriku yang kucinta 
Bersatu dan bersama 
Untuk negeri kita

   

PngItem 342899Muat Turun :
Lagu Untuk Negeri Kita (Versi TYT)
(Klik untuk Muat Turun)

 

Tingkat 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel:+604-6505100
Faks : +604-2634940
Talian Aduan : +604-2634002
Emel : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my

1193323
Capaian Bulan Ini:: 14,690
Capaian Keseluruhan: 1,193,323
  • Dikemaskini pada: 20 February 2024.

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6, Google Chrome, Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024 x 768