logo header ms

TYT

Biografi

tyt

T.Y.T. TUN DATO’ SERI UTAMA

(DR.) HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS, 

D.M.K., S.M.N., D.U.P.N., S.P.D.K., D.P., D.M.P.N., D.J.N.,

TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dilahirkan pada subuh hari Jumaat 15 April 1938 di Permatang Rambai, Kepala Batas, daripada pasangan Haji Abbas bin Haji Abdul Rahman dengan Hajjah Jamilah binti Ubaid.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Sintok, Kepala Batas mulai 1946 sehingga 1953.  Tuan Yang Terutama memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dari tahun 1955 hingga 1958.  Seterusnya dari tahun 1960 hingga 1962, mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur.  Tuan Yang Terutama telah memulakan kerjaya sebagai pendidik mulai 1958 sehingga ke tahun 1977, di Bukit Mertajam High School dan Sekolah Menengah Seri Muda Penaga. Tuan Yang Terutama berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dari tahun 1970 hingga 1973 selama 3 tahun. Setelah menamatkan pengajian dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian, meneruskan kerjaya sebagai pendidik di samping melibatkan diri dalam bidang politik.  Jawatan terakhir Tuan Yang Terutama dalam bidang pendidikan adalah sebagai Penolong Kanan  di Sekolah Menengah Seri Muda Penaga

Karier politik Tuan Yang Terutama bermula pada 16 Jun 1977, apabila terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bertam, berikutan kembali ke rahmatullah Allahyarham Y.B. Dato’ Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah.  Selanjutnya pada 8 Julai 1978, dalam pilihanraya umum yang diadakan, Tuan Yang Terutama telah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kawasan Bertam, diikuti dengan tiga penggal pilihanraya umum berikutnya iaitu pilihanraya tahun 1982, 1986 dan 1990.

Kegemerlapan bintang kerjayanya meluruhkan beberapa gelaran dan jawatan   ke pangkuan beliau. Tuan Yang Terutama telah diberi kepercayaan menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang penglibatan beliau dalam bidang politik iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan akhirnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan sebelum dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dari 3 Disember 1990 hingga 5 April 1995.              

Semasa menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Tuan Yang Terutama pernah sebanyak tiga kali diberi kepercayaan bagi memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu mulai 10 September 1982 hingga 31 Oktober 1982, 24 Oktober 1983 hingga 12 November 1983 dan mulai 29 September 1984 hingga 18 Oktober 1984.

Antara jawatan-jawatan penting dalam parti politik yang pernah disandang oleh Tuan Yang Terutama termasuklah sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang (1974 – 1988), Ahli EXCO Pergerakan Pemuda UMNO (1975 – 1979) dan Bendahari UMNO Bahagian Kepala Batas (1995 – 29 April 2001).  

Tuan Yang Terutama telah mendirikan rumahtangga dengan YABhg. Toh Puan Datin Seri Hajah Majimor binti Shariff dan telah dikurniakan dengan empat orang cahayamata, seorang putera dan tiga orang puteri.  Antara minat Tuan Yang Terutama adalah jogging, sukan golf dan membaca. Tidak ramai yang sedar bahawa Tuan Yang Terutama dalam tahun-tahun 60’an begitu aktif dalam bidang penulisan kreatif dengan nama pena Norman Abbas.

Sebagai mengenang jasa-jasa serta bakti yang telah dicurahkan kepada masyarakat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menganugerahkan beberapa darjah kebesaran pada TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, iaitu Darjah Johan Negeri (DJN) pada tahun 1979, Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) pada tahun 1982 dan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) sempena perlantikan Tuan Yang Terutama sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei 2001.  Pada 9 Julai 2001, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.).  Pada 26 Jun 2002 Kelab Lions Tanjung Pulau Pinang telah menganugerahkan Lions Club International Melvin Jones Fellow Award kepada Tuan Yang Terutama sebagai menghargai jasa-jasa Tuan Yang Terutama kepada masyarakat dan negara. Pada 22 Julai 2002, T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Sabah telah mengurniakan Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.). Pada 21 Disember 2002 Tuan Yang Terutama telah dianugerahkan Doktor Kehormat dalam Pendidikan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ketua Pengakap Negara telah menganugerahkan Anugerah Semangat Padi (Emas) kepada Tuan Yang Terutama pada 21 September 2003.

Tuan Yang Terutama telah dianugerahkan Lifelong Highest Honorary Senatorship Award oleh Junior Chamber International (JCI) pada 23 Mei 2004.  Pada 19 Januari 2005, Tuan Yang Terutama dilantik sebagai Canselor Universiti Tenaga Nasional untuk tempoh masa tiga tahun. Tuan Yang Terutama telah dilantik   semula   sebagai   Canselor   Universiti   Tenaga   Nasional  mulai  19  Januari  2008

untuk tempoh masa tiga tahun. TYT Yang di-Pertua Negeri telah dilantik buat kali ketiga sebagai Canselor Universiti Tenaga Nasional mulai 19 Januari 2011 untuk tempoh masa 2 tahun. TYT Yang di-Pertua Negeri telah dilantik buat kali keempat sebagai Canselor Universiti Tenaga Nasional mulai 19 Januari 2013 untuk tempoh masa 2 tahun. TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah menganugerahkan  Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak (D.P.) kepada TYT Yang  di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 26 Mei 2005

Pada 16 Ogos 2006, Tuan Yang Terutama telah dianugerahkan Doktor Kehormat dalam Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia. T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri telah dikurniakan Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat DiHormati (D.M.K.) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Darul Aman pada 21 Januari 2007

Berpuluh tahun jasa dan bakti ditabur kepada masyarakat secara jujur dan ikhlas, jawatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dianugerahkan Allah pada 1 Mei 2001 sebagai tunggak perpaduan dan lambang kemakmuran negeri Pulau Pinang, Pulau Mutiara.  Pada 1 Mei 2005, Tuan Yang Terutama telah dilantik semula bagi kali kedua sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang untuk tempoh masa empat tahun.  Pada 1 Mei 2009, Tuan Yang Terutama telah dilantik semula bagi kali ketiga sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang untuk tempoh masa dua tahun. Bagi kali keempat Tuan Yang Terutama Tun telah dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei 2011 untuk tempoh dua tahun. Tuan Yang Terutama Tun telah dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bagi kali kelima pada 1 Mei 2013 untuk tempoh dua tahun. Pada 1 Mei 2015 Tuan Yang Terutama Tun telah dilantik semula sebagai Yang  di-Pertua Negeri Pulau Pinang bagi kali yang keenam untuk tempoh dua tahun. Bagi kali ketujuh Tuan Yang Terutama Tun telah dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang mulai 1 Mei 2017 untuk tempoh empat tahun.

Tarikh dikemaskini : 5 Mei 2017

  • Adakah anda mengasingkan sisa pepejal di premis anda?

UNDIAN