logo header ms

Info Penang

Sejarah

Nama Asal Pulau Pinang

Pulau Pinang pada awalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu. Seorang pelayar yang bernama Ragam menamakan sedemikian kerana inilah satu-satunya pulau besar yang terasing yang ditemui beliau sewaktu berulang-alik berdagang dari Lingga ke Kedah. Nama Pulau Ka Satu terus digunakan sehinggalah kedatangan British pada tahun 1786. Apabila pokok pinang mula ditanam di pulau ini selepas kedatangan British, nama pulau ini ditukar kepada Pulau Pinang.

Sebelum nama Pulau Pinang menjadi popular, penduduk di Seberang Perai lebih mengenali Pulau Pinang dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis. Dipecayai nama ini atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran-geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan sehingga tahun 1800. Malah, sehingga kini nama Tanjong begitu serasi dengan penduduk Pulau Pinang dan Seberang Perai apabila merujuk kepada Bandar Georgetown.

Sejarah Awal Pulau Pinang dan Seberang Perai

Antara pedagang berbangsa Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure milik pedagang tersebut adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau yang terletak kea rah selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tifak berpenghuni.

Bukti arkeologi pula menunjukkan Pulau Pinang dan Seberang Perai telahpun dihuni sejak zaman pra sejarah lagi. Bukti pertama pra sejarah negara ditemui di Guar Kepah, Seberang Perai pada tahun 1860. Berdasarkan timbunan cengkerang kepah dan kerang yang di dalamnya ditemui rangka manusia dengan alat batu, manik, pecahan tembikar dan sisa makanan, dijangkakan tapak di Guar Kepah ini berusia sekurang-kurangnya sekitar 3,000 hingga 4,000 tahun. Manakala penemuan alat batu beliung di beberapa tempat di Pulau Pinang merupakan merupakan bukti Neolitik iaitu bukti dari era pertanian yang awal yang dijangkakan berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun yang lalu.

Dari segi sejarahnya, Pulau Pinang dan Seberang Perai pada asalnya adalah milik kesultanan Kedah. Lama sebelum diambilalih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris kedua-dua kawasan ini telahpun mempunyai penghuni. Berkenaan petempatan awal, satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Seberang Perai pula, sewaktu diambilalih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.

Pengambilan Seberang Perai oleh British

Pada tahun 1800, Seberang Perai yang kemudiannya dikenali sebagai “Province Wellesley” Berjaya diperoleh oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris melalui satu perjanjian dengan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II (mm. 1798-1804). Fasal pertama perjanjian itu menyebut:

Kampeni Inggeris mahu bayar pada tiap-tiap tahun kepada Duli Raja Muda Perlis dan Kedah sapuloh ribu rial sa-lama Inggeris ada pegang dan dudok di-dalam Pulau Pinang dan Negeri yang di-seberang kemudian ada tersebut.

Perjanjian ini dengan sendirinya membatalkan perjanjian terdahulu yang dibuat pada tahun 1791 antara Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan Francis Light. Perjanjian Perdamaian dan Persahabatan 1791 itu merupakan satu tekanan yang dikenakan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris terhadap Sultan Abdullah yang cuba melancarkan serangan untuk merampas semula Pulau Pinang.

 Sumber daripada : Lembaga Muzium Pulau Pinang

  • Adakah anda mengasingkan sisa pepejal di premis anda?

UNDIAN