logo header ms

Majlis Pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PELAN INDUK PENGANGKUTAN NEGERI

PADA 25 MAC 2013

DI AUDITORIUM A TINGKAT 5 KOMTAR


Terima kasih saudari pengerusi majlis,

Yang Berhormat Dato' Mansor Bin Othman, Timbalan Ketua Menteri 1

Yang Berhormat Profesor Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri 2

Yang Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Pengerusi Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas

Yang Berhormat- yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri

Ketua-ketua jabatan

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam Bersih.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis Pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang pada hari ini. Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas, YB Chow Kon Yeow, YB Dato' Setiausaha Kerajaan dan semua jabatan serta agensi kerajaan di atas kejayaan menyempurnakan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang ditunggu-tunggu selama ini.

Adalah menjadi visi dan misi Kerajaan Negeri sejak mula memerintah negeri Pulau Pinang pada tahun 2008 bagi mewujudkan satu sistem pengangkutan awam dan jalan raya yang berintegrasi dan menyeluruh di seluruh negeri Pulau Pinang termasuk di Seberang Perai. Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan Seberang Perai kerana kawasan ini juga sebahagian negeri kita. Penduduk Seberang Perai juga berhak menikmati segala kemudahan yang disediakan seperti penduduk disebelah bahagian pulau. Pelbagai usaha yang gigih telah digerakkan terutama oleh kedua-dua PBT bagi menyelesaikan isu pengangkutan dan juga kesesakan jalan raya yang merungsingkan semua rakyat Pulau Pinang setiap hari.

Justeru itu, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa sudah sampai masanya sebuah kajian yang holistik dibuat bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Dengan adanya Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang ini, proses pelaksanaan akan ditumpukan agar semua kesulitan rakyat Pulau Pinang terutama di dalam aspek pengangkutan dan pengurusan lalu lintas dapat diselesaikan secara berintegriti dan berhemah.

Hadirin sekalian,

Tempoh masa pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Negeri dibahagi kepada 3 komponen utama iaitu jangka pendek dari tahun 2013 – 2015, jangka sederhana bermula tahun 2015-2020 dan jangka panjang bermula pada tahun 2020-2030. Laporan-laporan keseluruhan pelan induk tersebut adalah:

i) Highway Improvement Plan ( Pelan Tindakan Lebuhraya)

Laporan ini memberi fokus terhadap kesemua rangkaian jalan raya di Pulau Pinang dan memberi cadangan penyelesaian bagi mengatasi masalah kesesakan terutama dikawasan di hotspot dan semua rangkaian jalan di Pulau Pinang. Selain itu, cadangan serta merta seperti pelebaran jalan, meletakkan lampu isyarat dipersimpangan utama dan beberapa cadangan lain ada diberikan oleh pihak perunding. Projek-projek lebuhraya yang dicadangkan oleh perunding ialah:

a)North Coast Pair Road (2019)

b) Air Hitam Bypass (2017)

c)Third Tunnel Link (2025-2030)

d) George Town Inner Ring Road (2020)

ii) Public Transport Improvement Plan (Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Awam)

Di dalam laporan ini diperincikan mengenai satu sistem yang menyeluruh terhadap rangkaian sistem pengangkutan awam di seluruh negeri Pulau Pinang. Kawasan-kawasan bandar akan dijadikan kawasan utama pengangkutan awam dimana akan dibina jaluran TRAM atau BRT mengikut kesesuainya nanti. Kesinambungan kawasan bandar ini akan disokong oleh rangkaian sistem bas yang meliputi seluruh kawasan penempatan agar semua rakyat dapat menggunakannya dengan mudah. Kekerapan bas juga akan dipertingkatkan dan beberapa program Park n Ride akan diperkenalkan bagi menjadikan sistem pengangkutan awam lebih efisyen dan menjadi mod pilihan pengangkutan. Sistem feri dan KTM komuter juga akan diperkemaskan agar keselesaan penumpang adalah terjamin.

iii) Accessibility Improvement Plan (Pelan Tindakan Kebolehcapaian)

Laporan ini tertumpu kepada kebolehcapaian pejalan kaki terutama golongan OKU di kawasan-kawasan utama di sekitar Pulau Pinang. Garis panduan Universal Design akan digunakan pakai di dalam pelaksanaan laporan ini. Penekanan juga diberikan kepada sistem pengangkutan awam di mana akan meliputi kawasan-kawasan pendalaman yang sebelum ini tidak mempunyai satu sistem pengangkutan awam yang menyeluruh.

iv) Institutional Plan ( Pelan Tindakan Institusi)

Di dalam Pelan ini, satu Institusi yang merangkumi semua stakeholders yang terlibat secara langsung dan tidak langsung berkaitan sistem lalu lintas ini akan diwujudkan. Tujuan utama adalah untuk membawa kajian ini mencapai segala objektif yang hendak dicapai. Modal insan yang berkualiti amatlah diperlukan di dalam institusi ini. Institusi ini merupakan yang pertama di Malaysia apabila telah ditubuhkan kelak.

v) Water Transport Study ( Kajian Pengangkutan Air)

Kajian ini meliputi perkhidmatan feri yang sedia ada di Pulau Pinang. Bagaimana kaedah untuk menaiktaraf dan cadangan untuk mewujudkan lagi beberapa terminal dan stesen feri bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam. Cadangan stesen feri yang baru seperti di QueensBay, Weld Quay dan Gurney akan menjadi tarikan bagi negeri Pulau Pinang.

Cadangan pembinaan link ketiga atau terowong bawah laut adalah tepat pada masanya kerana ia dapat menyuraikan kesesakan di bahagian utara Pulau Pinang. Terowong ini akan bertindak sebagai by pass untuk mereka yang menghala ke utara Pulau Pinang. Kenderaan dari utara bahagian pulau tidak perlu melalui sepanjang jalan ke Jambatan Pulau Pinang ataupun Jambatan Kedua untuk keluar ke tanah besar. Dengan ini, tekanan lalulintas di kawasan bandaraya, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua akan dikurangkan terutama diwaktu sesak. Terowong ini juga dapat menyelesaikan masalah di antara jalan tempatan dan juga Lebuhraya PLUS pada masa kini. Ini kerana isipadu kenderaan yang datang dari selatan tanah air akan bertemu di Seberang Perai bercampur dengan isipadu daripada Jambatan sedia ada sekarang ini mengakibatkan kesesakan yang teruk terutama pada waktu puncak dan musim perayaan/cuti sekolah. Selain itu, terowong ini akan menjadi ikon baru kepada Pulau Pinang dan menjadi terowong bawah laut pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara.

Kerajaan Negeri bertegas menolak cadangan mengenakan bayaran masuk kenderaan ke Pulau Pinang yang disyorkan oleh pihak yang menentang pembinaan 3 lebuhraya dan terowong. Perlu ditekankan bahawa Kerajaan Negeri telah berusaha gigih selama 5 tahun untuk mewujudkan suatu sistem pengangkutan awam yang berkesan. Malangnya Kerajaan Persekutuan yang memiliki kuasa mutlak ke atas pengangkutan awam enggan bekerjasama. Contohnya adalah tawaran Kerajaan Negeri membayar RM10 juta setahun untuk perkhidmatan bas percuma pada waktu puncak ditolak oleh Rapid Penang serta cadangan kepada Kerajaan Persekutuan membeli bas sendiri oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk memberikan perkhidmatan percuma tidak dilayan langsung. Tambahan pula Kerajaan Pusat enggan menunaikan janji membina monorel seperti yang dicadangkan sejak tahun 2007.

Dari sudut pelaburan pula, sistem pengangkutan dan pengurusan trafik yang baik menjadi salah satu faktor menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesuatu bandar. Infrastruktur yang sempurna juga menjadi kayu pengukur kepada para pelabur. Ini secara langsung dapat membantu daerah Seberang Perai Utara menjadi lebih maju dan dapat menjana ekonomi yang lebih baik di masa akan datang.

Hadirin sekalian,

Laporan ini mencadangkan laluan-laluan baru akan diperkenalkan agar liputan pengangkutan awam akan menjadi lebih luas dan berhampiran dengan pengguna. Kawasan kampung-kampung dan perumahan yang sebelum ini tiada perkhidmatan bas yang melalui kawasan mereka, akan disokong dengan perkhidmatan bas feeder yang akan membawa mereka ke laluan utama perkhidmatan bas. Masa menunggu bas juga akan dipendekkan daripada sekarang ini dengan pertambahan bas mengikut jadual dari semasa ke semasa. Ini penting bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang yang masa visi mencapai 40% penggunaan pengangkutan awam pada tahun 2030.

Diharapkan segala pelan perancangan kajian ini dapat dilaksanakan secara bersama oleh semua pihak berwajib dan mendapat kerjasama penuh daripada Kerajaan Persekutuan terutama di dalam dana peruntukan sistem pengangkutan awam di negeri ini. Pulau Pinang mampu menjadi ikon kepada dunia luar dan menjadi bandar contoh di mata dunia.

Sekian, terima kasih.


  • Adakah anda mengasingkan sisa pepejal di premis anda?

UNDIAN