logo header en

Majlis Penyampaian Cek Bantuan Kewangan Kepada Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang Tahun 2015

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN CEK PERUNTUKAN BANTUAN KEWANGAN

KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2015

PADA 20 MAC 2015

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para hadirin yang sudi hadir untuk Majlis Penyampaian Cek ini. Majlis Penyampaian Cek ini adalah majlis yang ketujuh yang telah kami mulakan sejak 2009. Saya berjanji di sini bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan saya akan terus membantu pendidikan dan sekolah-sekolah Tamil di negeri ini selagi kami mentadbir negeri ini.

Saya dapati bahawa peruntukan yang diagihkan dalam enam tahun ini telah digunakan dengan cermat oleh PIBG dan guru-guru besar untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikkan kemudahan infrastruktur di sekolah-sekolah Tamil dan dengan itu telah berjaya mewujudkan suasana kondusif untuk pembelajaran dan pengajaran.

Pembinaan Bilik-Bilik Darjah:
1) Dua (2) buah bilik darjah di SJKT Ramakrishna
2) Tiga (3) buah bilik darjah di SJKT Ladang Changkat
3) Empat (4) bilik darjah di SJKT di Permatang Tinggi
4) Dua (2) bilik darjah di SJKT di Ladang Transkrian
5) Dua buah bilik darjah di SJKT Ladang Krian

Pembinaan Dewan Sekolah
1) Dewan serbaguna tertutup di SJKT Jalan Sungai
2) Dewan serbaguna tertutup di SJKT Tasik Permai
3) Dewan terbuka di SJKT Sungai Ara
4) Dewan terbuka di SJKT Ladang Mayfield
5) Dewan Terbuka di SJKT Ladang Juru
6) Dewan Terbuka di SJKT Nibong Tebal
7) Dewan Terbuka di SJKT Bukit Mertajam
8) Dewan Terbuka di SJKT Mak Mandin

Penubuhan Makmal Komputer
1. SJKT ladang Sungai Bakap
2. SJKT Ladang Changkat
3. SJKT Ladang Byram
4. SJKT Ladang Jawi
5. SJKT Ladang Krian
6. SJKT Ladang Sempah
7. SJKT Ladang Malakoff
8. SJKT Transkrian
9. SJKT Sungai Ara

Selain itu, pondok bacaan, pondok menunggu dan setor alat sukan juga telah dibina di beberapa buah sekolah lagi. Kerja-kerja untuk menaiktaraf tandas, lantai, longkang, bilik darjah, kantin, padang permainan, pejabat guru dan guru besar dan memperbaiki bumbung yang bocor juga telah dilakukan di kebanyakan sekolah.

Pendek kata, pihak kami telah membantu memperbaiki infrastruktur di sekolah-sekolah Tamil Pulau Pinang sehinggakan sekolah-sekolah ini dikatakan sebagai yang terbaik dari segi kemudahan fizikal di seluruh negara. Sebagai balasan sumbangan ini, kami berharap para guru dan guru-guru besar akan berusaha untuk menjadikan sekolah Tamil di Pulau Pinang sebagai sekolah yang paling baik di seluruh negara dalam pencapaian akademik.

Selain itu, pada tahun ini pelajar-pelajar lepasan sekolah Tamil telah mendaftar pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM sehinggakan pelajar terbaik dalam SPM dan STPM tahun ini merupakan pelajar-pelajar yang telah memulakan pengajian rendah mereka di sekolah Tamil. Saya berasa bangga kerana ramai pelajar dari sekolah Tamil di Pulau Pinang juga telah mencapai gred tinggi dalam SPM dan STPM pada tahun ini.

Saya berasa pihak yang mendesak supaya sekolah Tamil ditutup adalah golongan yang tidak bertanggungjawab. Harus diingat bahawa hak untuk mengadakan sekolah Tamil dan sekolah Cina termaktub dalam Perlembagaan Negara kita. Oleh yang demikian hal ini tidak harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Apa yang menarik di sini ialah golongan yang menuntut supaya sekolah Tamil ditutup tidak pernah menghulurkan sebarang bantuan kepada kemajuan sekolah-sekolah Tamil. Hujah-hujah mereka terhadap penutupan sekolah Tamil juga tidak berasas kerana mereka tidak pernah menjalankan sebarang kajian untuk memahami masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil di negara ini.

Para hadirin sekalian, satu lagi aspek untuk meningkatkan bilangan murid ke sekolah Tamil ialah dengan mewujudkan peluang untuk melanjutkan pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi. Malangnya, pendidikan Tamil di negara ini berakhir dengan sekolah rendah Tamil. Mereka yang menamatkan darjah enam di sekolah Tamil langsung tidak mempunyai peluang untuk meneruskan pendidikan menengah dalam aliran Tamil selepas itu.

Saya telah menulis surat kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muyiddin Yasin, menawarkan tanah kerajaan negeri Pulau Pinang diberikan sebagai ganti untuk kebenaran mendirikan sekolah menengah Tamil di Pulau Pinang. Malangnya, permintaan saya tidak diberi pertimbangan yang wajar oleh Menteri Pendidikan. Kementerian Pendidikan bersembunyi di sebalik Akta Pendidikan Negara untuk menolak permintaan saya. Alasan bahawa Akta Pendidikan Negara tidak membenarkan sekolah menengah dalam aliran Tamil itu tidak berasas kerana sekolah antarabangsa yang gunakan bahasa pengantar selain daripada Bahasa Malaysia juga dibenarkan.

Untuk makluman para hadirin, pada tahun ini pun Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperuntukkan sebanyak RM1.75 juta. Sama seperti tahun-tahun lepas peruntukan ini telah diagihkan berlandaskan keperluan setiap sekolah. Disebabkan ini bantuan yang diperuntukkan kepada setiap sekolah adalah berlainan. Ada yang mendapat lebih daripada RM100 ribu dan ada juga yang mendapat kurang. Saya yakin, sama seperti tahun-tahun lepas para guru besar dan PIBG akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil di bawah YB timbalan Ketua Menteri 2 dalam menguruskan peruntukan ini dengan sebaik-baik yang mungkin.

Malah, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk memperuntukkan RM100 ribu sebagai bantuan khas kepada tadika-tadika di sekolah Tamil di negeri ini. Peruntukan khas ini ialah untuk menguruskan tadika dengan lebih baik dan meningkatkan kualiti kemudahan di tadika.

Di samping itu, dalam dua buah sekolah lagi tadika akan dibuka dalam masa tiga tahun ini.

Sebelum mengakhiri ucapan saya biar saya merakamkan terima kasih kepada ahli Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Dato’ Dr. Anba, Dato’ Rajoo, Puan Mangaleswary dan En. Anil kerana sumbangan mereka kepada sekolah-sekolah Tamil di negeri ini dalam tujuh tahun ini melalui Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil. Saya berharap mereka akan terus membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencapai impiannya untuk meningkatkan taraf akademik sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

  • Do you segregate your waste at your premises?

POLL