logo header en

Majlis Perasmian Akademi Rakyat Balik Pulau

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN AKADEMI RAKYAT BALIK PULAU

                                                              PADA 3 NOVEMBER 2012


YB Yusmadi bin Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau selaku tuan rumah

Datuk Low Tak Fatt, Pengarah KL Metro Sdn Bhd

Rakan- rakan media

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Dalam kita mendepani arus globalisasi, pendidikan amat penting dalam menterjemahkan kejayaan yang tiada tolok bandingnya. Pendidikan diibaratkan seperti obor yang akan menerangi dan mengubah kehidupan manusia sejagat. Peribahasa yang berbunyi “ilmu pelita hidup” merupakan kata-kata keramat untuk menunjukkan betapa pentingnya pendidikan.

Oleh itu idea pembinaan Akademi Rakyat ini sekaligus menterjemahkan aspirasi Pakatan Rakyat dalam menaikkan taraf bidang pendidikan kepada rakyat khususnya kepada masyarakat Balik Pulau.

Pembinaan ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mahu menjadikan Balik Pulau sebagai Hub – Pendidikan. Oleh itu masyarakat di Balik Pulau haruslah menggunakan kesempatan ini untuk memenuhi ilmu didada agar tidak tidak tenggelam ditelan arus kemodenan dewasa ini.

Hadirin – hadirat,

Akademi Rakyat adalah cetusan ilham YB Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau dalam usahanya untuk membantu masyarakat setempat. Akademi Rakyat diinsipirasikan daripada kejayaan Yayasan Anda, sebuah institut pendidikan untuk golongan yang kurang berkemampuan yang pernah dipelopori oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada suatu ketika dahulu.

Saya difahamkan Akademi Rakyat ini dizahirkan atas prinsip pendidikan untuk golongan yang kurang berkemampuan yang tiada tempat untuk belajar dan tempat untuk mendapat maklumat. Ia terbuka untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengambil kira batasan umur, bangsa dan politik.

Akademi Rakyat ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan pendidikan terkini seperti internet percuma, buku-buku rujukan dan tempat pembelajaran yang selesa. Saya difahamkan juga Akademi Rakyat ini juga menyediakan ruang dewan untuk masyarakat mengadakan seminar, latihan dan sebagainya. Oleh itu masyarakat di Balik Pulau haruslah menggunakan semua kemudahan ini dengan sebaik mungkin untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya berasa bangga dengan usaha yang dijalankan oleh YB Yusmadi dan mereka yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan dan mengasaskan Akademi Rakyat ini.

Hadirin sekalian,

Sekali lagi saya amat berharap Akademi Rakyat akan menjadi penanda aras untuk masyarakat Balik Pulau melakukan anjakan paradigma terutamanya golongan muda meningkatkan ilmu pengetahuan, memajukan diri dan tidak merugikan masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Saya amat berharap agar Akademi Rakyat ini akan menjadi wacana untuk memberikan pendidikan yang seluas-luasnya kepada masyarakat setempat amnya Balik Pulau.Akhir sekali saya dengan ini merasmikan Pusat Akademi Rakyat Balik Pulau.

Sekian, terima kasih.

  • Do you segregate your waste at your premises?

POLL