logo header ms

Bajet Tahun 2017 Negeri Pulau Pinang

UCAPAN BAJET TAHUN 2017

oleh

YAB TUAN LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG

KETIKA MEMBENTANGKAN
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN
DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2017
DI DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 15 NOVEMBER 2016 (SELASA)

Ke Arah Negeri Keusahawanan dan Kebajikan

 

YB Dato’ Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2017 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca kali kedua.

PENDAHULUAN

YB Dato’ Yang di-Pertua,

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana telah membolehkan saya dan semua kepimpinan Negeri bagi menggalas tanggungjawab dalam menyampaikan ucapan Bajet Negeri Pulau Pinang tahun 2017 di Dewan yang mulia ini.

SENARIO EKONOMI DUNIA 'ALA- TRUMP'

2. Ekonomi negara menghadapi cabaran mencapai pertumbuhan 4.5% tahun ini selepas berkembang dengan 5% pada tahun 2015. Pulau Pinang telah berkembang sebanyak 5.5% pada tahun 2015 dan dijangka berkembang sebanyak 5% pada tahun ini. Sebagai sebuah negeri yang bergantung kepada perdagangan dunia, kami dipengaruhi oleh pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) dunia yang diunjurkan sebanyak 3.1% pada tahun 2016. Akan tetapi segala ini adalah sebelum peristiwa mengejutkan apa yang digelarkan sebagai 'black swan event' iaitu pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru.

3. Sekiranya Donald Trump mengistiharkan perang dagang dengan Negara China, Mexico dan mengenakan tarif ke atas produk syarikat Amerika Syarikat yang mendirikan kilang di luar negara, ia akan menjejaskan malah menidakkan semua ramalan dan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia. Memang kami kini dalam zaman tidak menentu yang mungkin mendekati ambang krisis ekonomi dunia.

4. Demi menangani 'black swan event' ini, Kerajaan Negeri memilih model negeri keusahawanan dan negeri kebajikan untuk menghadapi ancaman krisis ekonomi global 'ala-Trump' yang mungkin melanda pantai Pulau Pinang pada 2017 serta membina satu landasan untuk keesokan hari agar semua rakyat Pulau Pinang yang rajin dan tekun masih memiliki peluang yang sama rata untuk mencapai impian mereka untuk berjaya.

CABARAN EKONOMI

5. Negara Malaysia dan Pulau Pinang menghadapi krisis ekonomi dalaman ekoran pendedahan skandal 1MDB sebanyak RM52 billion, penurunan nilai mata wang ringgit secara mendadak, kenaikan harga barangan daripada minyak masak ke minyak petrol, pelaksanaan GST dan "siasatan rakus" audit cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kesemua faktor ini telah mengurangkan aliran dana dalam pasaran kewangan dan ekonomi yang menyebabkan perniagaan menurun dan kekangan wang belanja bagi para pekerja.

6. Suasana dijangka menjadi lebih teruk lagi pada tahun 2017. Berbanding dengan negeri-negeri lain, Pulau Pinang dapat mengurangkan impak negatif dengan bergantung kepada sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing menyumbang 50% dan 45% kepada KDNK Pulau Pinang pada tahun 2015.

7. Untuk Negeri Pulau Pinang, kami juga menghadapi tiga cabaran utama yakni memperbanyakkan stok rumah awam dan rumah mampu milik, masalah kesesakan trafik dan banjir. Kerajaan Negeri tidak dapat mencari penyelesaian di peringkat kebangsaan tetapi mengesyorkan tema "Ke Arah Negeri Keusahawanan dan Kebajikan" sebagai formula penyelesaian kepada masalah tiga cabaran utama yang dihadapi oleh Negeri Pulau Pinang.

8. Negeri keusahawanan berpaksikan kerjasama dengan rakan kongsi daripada sektor awam, swasta dan rakyat agar penglibatan mereka dalam sesuatu inisiatif atau projek dapat memaksimakan pulangan kewangan dan memberikan impak sosial yang tinggi. Apa yang disebutkan sebagai Public, Private & People (PPP) Partnership memerlukan pelaburan wang dan komitmen masa daripada semua pihak tetapi usahasama ini mesti dipimpin oleh sektor swasta dan rakyat. Sektor kerajaan mesti bersedia mengurangkan peranan yang dimainkan. Ini membolehkan pakar-pakar yang bukan kerajaan untuk memandu sesuatu projek sehingga mencapai kejayaan.

NEGERI KEUSAHAWANAN

9. Walaupun Pulau Pinang tidak mempunyai sumber semulajadi, Pulau Pinang dapat mengecapi pembangunan ke arah negeri keusahawanan menerusi tiga teras utama :
1) Tatakelola kerajaan yang baik dan bersih
2) Membina infrastruktur dan kemudahan asas
3) Membina modal insan

10. Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan tatakelola kerajaan yang baik dan bersih menerusi pentadbiran cekap, akauntable dan telus (CAT). Urus tadbir CAT menampakkan banyak kejayaan. Antaranya :

-Pulau Pinang mencatat bajet lebihan dengan jumlah lebihan sebanyak RM574 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008-2015, lebih daripada jumlah lebihan di bawah BN sepanjang 50 tahun pentadbiran dari 1957-2007, iaitu RM373 juta. Dalam erti kata lain, kita mengambil masa hanya 8 tahun untuk mengatasi prestasi 50 tahun sebelum ini!

-Aset Pulau Pinang hampir digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion, sekali lagi mencatat prestasi hebat dalam 8 tahun berbanding 50 tahun sebelum ini.

-Jika tempoh 8 tahun iaitu 2008-2015 dibandingkan dengan 2000-2007, pelaburan pembuatan di Pulau Pinang telah meningkat 87% kepada RM54.9 bilion berbanding RM29.4 bilion, dengan kenaikan bilangan peluang pekerjaan sebanyak 20% kepada 128,317 berbanding 106,583. Kadar pengangguran di Pulau Pinang adalah di antara yang paling rendah di Malaysia yakni hanya 1.6% dan kini terdapat kekurangan pekerja seramai 20,000 di Pulau Pinang.

-Produktiviti penternakan ikan di laut juga meningkat secara mendadak, daripada hanya 2,714.60 tan metrik pada tahun 2007 kepada 28,964.95 tan metrik pada tahun 2015, iaitu peningkatan hampir 10 kali ganda.

-Pekala Gini (Gini coefficient) bagi mengukur tahap kesenjangan pendapatan telah berkurang daripada 0.419 pada tahun 2009 kepada 0.364 pada tahun 2014, iaitu satu penambahbaikan sebanyak 13% dalam tempoh masa 5 tahun, berbanding dengan purata kebangsaan 0.401. Sebagai bandingan, Perak mempunyai pekala Gini yang lebih rendah iaitu 0.419 pada tahun 2009, tetapi masih mencatat angka yang lebih tinggi berbanding Pulau Pinang, iaitu 0.366 pada tahun 2014.

-Hutang Negeri Pulau Pinang telah menurun 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM69 juta pada akhir 2015. Hutang RM69 juta ini sangat kecil berbanding jumlah hutang kesemua 13 negeri yang mencecah RM16.8 bilion, dengan hutang Pahang sebanyak RM2.9 bilion, diikuti oleh Sabah RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3 bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.

-Pada tahun 2007, Pulau Pinang mempunyai kadar peratusan pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tercorot. Pada tahun 2015, selepas 8 tahun, Pulau Pinang akhirnya berjaya merubahkan keadaan dan menjadi juara kebangsaan dengan kadar pertumbuhan KDNK per kapita yang paling tinggi. (Lihat lampiran).

-KDNK per kapita Pulau Pinang sebanyak RM44,847 pada tahun 2015 adalah lebih tinggi berbanding KDNK per kapita kebangsaan sebanyak RM37,104.

-Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang hebat ini boleh dilihat melalui transformasi negeri yang dahulunya diiktiraf sebagai negeri yang paling kotor di Malaysia kepada antara negeri paling bersih yang juga hijau, selamat dan sihat. Jalan-jalan baru telah dibina di Seberang Perai dan buat kali pertama dalam 20 tahun, dalam kawasan tengah bandar Pulau Pinang iaitu Jalan Ahmad Nor, serta Jalan Raja Uda di Butterworth dan Jalan Song Ban Keng di Bukit Mertajam.

-Kejayaan kita bukan sekadar statistik, tetapi adalah perkara zahir yang boleh dilihat dalam tempoh 8 tahun, seperti projek rumah terbiar yang kini dihidupkan kembali, tapak pelancongan yang kini dicergaskan kembali seperti bangunan Komtar, Bukit Bendera, George Town, Penang International Sports Arena(PISA) serta penubuhan dewan baru di Seberang Jaya (Seberang Perai Arena).

MEMBINA INFRASTRUKTUR

11. Dalam menghadapi masalah kesesakan lalulintas dan banjir, Kerajaan Negeri mengguna pakai rancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.
Projek Jalan Sebanyak RM57.57 juta

12. Dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur jalan dan pengangkutan awam bagi mengatasi masalah kesesakan trafik dan memperbaiki 'connectivity', Kerajaan Negeri menerima pakai pendekatan berikut :
A) Tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan yang menghalang trafik
B) Melebarkan jalan raya yang sesak seperti projek Bulatan Udini ke Jalan Masjid Negeri sebanyak RM20 juta oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ataupun membina jalan pintas seperti Jalan P.Patto di Butterworth sebanyak RM7 juta oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)
C) Projek jangka panjang seperti Pelan Induk Pengangkutan Awam sebanyak RM27 bilion yang merangkumi lebuhraya, LRT, kereta kabel, teksi air dan bas/teksi ; projek tiga lebuhraya berkembar di pulau dan terowong bawah dasar laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam yang bernilai RM6.3 bilion ; dan projek lebuh raya berkembar untuk Jalan Paya Terubong daripada Relau ke Farlim bernilai RM275 juta oleh MBPP.

13. Pada tahun 2017, di samping peruntukan sebanyak RM7.64 juta yang akan disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri dan RM2 juta untuk jalan kampung, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM47.93 juta untuk membiayai kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf jalan bagi memenuhi keperluan kepada sistem pengangkutan yang cekap dan selamat, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas.

14. Antara projek yang akan dilaksanakan ialah pelebaran Jalan Bukit Minyak-Alma, di Seberang Perai Tengah, melebarkan jalan dan menaiktaraf jalan dari satu lorong kepada dua lorong dari Jalan Perusahaan hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Kangar, Seberang Perai Tengah dan membina jambatan baru merentasi Sungai Kerian di atas laluan P169 Kampung Tanjung Berembang, Seberang Perai Selatan.

15. Pada tahun 2017, secara keseluruhannya Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM57.57 juta bagi tujuan terlibat.

PULAU PINANG BEBAS CATUAN AIR

16. Perubahan cuaca mengakibatkan musim kemarau yang panjang serta musim tengkujuh yang pendek. Hujan akan turun dengan lebat dalam masa yang singkat. Perubahan cuaca inilah yang menyebabkan beberapa negeri menghadapi masalah catuan air kerana empangan air turun ke tahap yang kritikal ataupun kering kontang sama sekali.

17. Pulau Pinang bernasib baik kerana tidak menghadapi masalah catuan air. Perancangan serampang tiga mata pihak PBA berkesan untuk menjaminkan bekalan air yang mencukupi sehingga 2030. Tolong bayangkan dengan kepadatan penduduk yang tinggi di mana lebih 50% penduduk tinggal di rumah pangsa, dan kilang-kilang pembuatan antarabangsa yang terbesar di Malaysia, sebarang krisis air atau catuan air akan memudaratkan ekonomi dan sengsarakan rakyat. Itulah sebabnya pihak Kerajaan Negeri mengambil langkah serampang tiga mata dan tegas untuk menjaminkan bekalan air dengan :-

1. Menjadi negeri pertama yang mewartakan kawasan tadahan air dengan tidak membenarkan sebarang pembangunan dalam kawasan tersebut. Empangan-empangan air di Pulau Pinang yang penuh dan tidak kering seperti di negeri lain menunjukkan bahawa kawasan tadahan air adalah sihat dan tidak ada pembangunan ataupun kawasan bukit ditarah seperti yang didakwa.

2. Memperbesarkan Empangan Mengkuang lebih tiga kali ganda dengan kos RM1.2 billion di mana ukur lilitnya sepanjang 11 kilometer.

3. Membina air paip, stesen pam, mencari sumber air alternatif dan memastikan non-revenue water (NRW) yang terendah di Malaysia bagi mengelakkan kebocoran air serta memberikan amaran kepada pihak pengurusan kanan PBAPP akan diambil tindakan sekiranya catuan air berlaku.

18. Langkah-langkah ini membolehkan Negeri Pulau Pinang mengatasi masalah perubahan cuaca yang menyebabkan musim kemarau yang panjang dengan rizab air yang mencukupi dan sumber bekalan air yang lain. Malah rizab air di Pulau Pinang adalah tertinggi di Malaysia sebanyak 31%. Sungguhpun Negeri Pulau Pinang adalah negeri yang digelarkan “water stressed state” tetapi ia merupakan negeri tunggal di Malaysia yang tidak pernah mengalami catuan air.

19. Masalah perubahan cuaca juga menyebabkan musim hujan yang lebih pendek tetapi hujan turun lebih lebat. Ini menyebabkan aliran permukaan air bergerak lebih cepat kerana tidak sempat diresapi ke dalam tanah. Hujan yang amat lebat ini menyebabkan banjir berlaku merata-rata termasuk dalam kawasan yang tiada pembangunan atau yang tidak pernah mengalami banjir.

Pengurusan Pencegahan Banjir Sebanyak RM220 Juta

20. Kerajaan Negeri amat prihatin dan peka kepada rakyat yang terlibat dengan banjir di negeri ini, sepertimana yang telah berlaku pada akhir Oktober dan awal November baru-baru ini. Lazimnya terdapat dua (2) jenis banjir yang akan berlaku di kebanyakan kawasan bandar iaitu banjir besar sungai sehingga melibatkan limpahan sungai yang ketara dan banjir kilat.

21. Banjir besar sungai atau limpahan sungai berlaku apabila sungai menerima jumlah air hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan dan mustahil untuk air dari longkang mengalir. Ini berlaku seperti di Sungai Pinang bila hujan lebat turun sepanjang 3 hari berturut-turut sebanyak 300mm menyebabkan banjir besar berlaku, termasuk ditempat yang tidak pernah banjir.

22. Oleh kerana banjir besar sungai ini, ia memerlukan Rancangan Tebatan Banjir berskala besar atau mega. Itulah sebabnya Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang memakan kos perbelanjaan sebanyak RM350 juta.

23. Sungguhpun Kerajaan Persekutuan hanya luluskan RM150 juta, Kerajaan Negeri mengalu-alukannya dan akan terus meminta baki RM200 juta untuk melengkapkan RTB Sungai Pinang. Kerajaan Negeri yakin sekiranya RTB Sungai Pinang dapat disempurnakan dengan lengkapnya, banjir yang berlaku dalam tempoh masa 3 hari mulai daripada Hari Deepavali tidak akan berulang lagi.

24. Banjir kilat berpunca daripada longkang, sungai atau perparitan tersumbat atau kejadian air pasang tinggi semasa hujan lebat turun dan ia berlaku di sesuatu lokaliti. Kerajaan Negeri hanya berkeupayaan membiayai projek tebatan banjir untuk menangani banjir kilat dan bukannya projek air berskala besar atau segera seperti RTB Sungai Pinang.

25. Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memperuntukkan wang yang paling besar sebanyak RM220 juta untuk pencegahan banjir kilat di seluruh Pulau Pinang.

26. Bagi mengatasi dan mengurangkan kejadian banjir kilat, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) telah diarah untuk menggiatkan lagi kerja-kerja pengurusan sungai, membaiki tebing-tebing sungai yang runtuh, menyelenggara infrastruktur saliran dan menyeleras projek-projek mitigasi banjir di seluruh negeri. Kami yakin di bawah Pengarah JPS yang bertenaga, kelemahan-kelemahan sebelum ini akan diatasi.

27. Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun 2017 kepada JPS seperti berikut :-
I. Sungai Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM12.6 juta;
II. Padang Lalang/ Kg. Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM19.1 juta;
III. Bukit Tengah, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM19 juta;
IV. Taman Mangga/ Jalan Juru, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM11.5 juta;
V. Alma, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM9.6 juta;
VI. Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara berjumlah RM40 juta;
VII. Sungai Relau, Bayan Baru berjumlah RM20.1 juta;
VIII. Taman Iping, Daerah Barat Daya berjumlah RM13.6 juta; dan
IX. Kampung Naran, Daerah Barat Daya berjumlah RM4.5 juta.

28. Kerajaan Negeri juga melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk projek pembinaan paip besar bagi mengalihkan air di Empangan Air Itam ke Empangan Teluk Bahang. Tanggapan orang ramai bahawa pelepasan air oleh PBAPP di Empangan Air Itam merupakan salah satu punca banjir adalah tidak benar sama sekali.

29. Demi mengikis persepsi negatif bahawa PBAPP ada melepaskan air daripada Empangan Air Itam, projek paip air besar akan dibina untuk mengalihkan air daripada Empangan Air Itam ke Empangan Teluk Bahang untuk memastikan kapasiti Empangan Air Itam tidak melebihi kapasiti 90 peratus. Langkah ini juga akan menjimatkan air dalam musim kemarau kerana air yang disalirkan daripada Empangan Air Itam dapat memenuhi Empangan Teluk Bahang.

30. Di samping itu, bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga memperuntukkan sejumlah RM11.61 juta untuk melaksana projek-projek tebatan banjir kilat di kawasan bandaraya. Antaranya, ialah menaiktaraf sistem saliran di Hilir Sungai Pinang, Sistem Saliran Bandar S10, Parit Lumba Kuda, lencongan Sungai Jelutong di Jalan Tengku serta Jalan Merican dan Lebuh McNair.

31. Di Seberang Perai pula, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mencadangkan projek-projek sebanyak RM9.45 juta untuk menangani isu banjir kilat, di mana RM7.5 juta adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan parit monsun dan kolam takungan, penyelenggaraan rumah pam sebanyak RM0.25 juta dan RM1.7 juta pula bagi projek penyelenggaraan di kawasan perindustrian.

32. Peruntukan berjumlah RM220 juta yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dan PBAPP untuk pembiayaan projek-projek mitigasi banjir adalah pembiayaan langsung Kerajaan Negeri, PBAPP, MBPP dan MPSP dan tidak mengambil kira peruntukan sebanyak RM150 juta yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyempurnakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang Fasa 3.

33. Kerajaan Negeri juga ingin mencadangkan untuk menubuhkan aplikasi penyaluran maklumat kecemasan baik untuk kesesakan lalulintas ataupun banjir kilat yang dinamakan 'Penang Alert' agar memberikan maklumat yang tepat dan cepat. Adalah diharapkan 'Penang Alert' dapat berfungsi pada tahun hadapan.

PELUASAN SEKTOR TELEKOMUNIKASI

34. Penggunaan rangkaian lingkungan 4G hanya berskala kecil dan tidak mampu ke arah mencapai 5G yang merupakan masa depan kepada Industri 4.0 yang merangkumi Big Data Analytic (BDA), Cloud Computing, e-commerce dan internet of things (IOT). Lantaran itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan ‟Inisiatif Telekomunikasi Menuju Ke Arah Pulau Pinang Sebagai Smart City”. Smart City memberi penekanan bukan sahaja kepada aplikasi pintar tetapi juga kepada pembelajaran berterusan, pewujudan memori (memory creation) dan experience retrieval bagi menambahbaik tadbir urus.

MENAMBAIK KEMUDAHAN AWAM

35. Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada peningkatan kualiti kemudahan awam bagi memastikan rakyat menikmati kualiti hidup yang tinggi. Kerajaan Negeri melalui MPSP akan diperuntukkan sebanyak RM11.32 juta pada tahun 2017 untuk pembayaran bil utiliti, khususnya lampu-lampu awam dan sebanyak RM1.45 juta untuk penyelenggaraan pasar-pasar awam dan kompleks makanan. Sebanyak RM0.5 juta juga diperuntukkan bagi pembinaan paun anjing bagi merealisasikan program anjing terbiar sifar menjelang tahun 2018, di samping memperuntukkan sejumlah RM1.07 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan kompleks sukan. Kerajaan Negeri bersama-sama MPSP juga akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menaik taraf Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi bagi memberi kemudahan kepada penduduk di Seberang Perai. Bagi pelaksanaan projek-projek kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak RM0.15 juta juga diperuntukkan.

36. Di bahagian Pulau pula, Kerajaan Negeri melalui MBPP telah merancang pelaksanaan pelbagai projek peningkatan kemudahan awam dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM280.01 juta. Di antaranya adalah projek menaiktaraf kemudahan penjaja, kompleks sukan, pasar dan balai rakyat. Bagi pelaksanaan projek-projek kemudahan OKU, MBPP juga memperuntukkan sebanyak RM0.15 juta pada tahun 2017.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN MELALUI PENDIDIKAN

37. Sektor pendidikan bukan tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun Kerajaan Negeri memberi tumpuan yang setimpal kepada bidang pendidikan demi mempergiatkan pembangunan modal insan. Program Bantuan Pendidikan dengan agihan RM8.5 juta untuk Sekolah-sekolah Cina/Persendirian/Mubaligh, RM1.75 juta untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan RM1.75 juta untuk Sekolah Tamil akan diteruskan pada tahun 2017. Bantuan tahunan RM1.75juta kepada SAR bukan terhenti kepada pemberian Program Bantuan Pendidikan. Sejak tahun 2009 sebanyak RM45 juta telah diberikan secara langsung melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang merupakan tambahan kepada RM1.75 juta setiap tahun. Lagipun ada peruntukan tahunan untuk pembayaran pemberian tambahan ex-gratia kepada seramai 1,550 guru KAFA, bantuan khas kewangan dan saguhati Hari Raya Aidilfitri kepada guru-guru agama, tahfiz, pondok dan TADIS yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM2.14 juta pada tahun 2017. Selain daripada itu, peruntukan Pembangunan sebanyak RM2.15 juta juga diperuntukkan pada tahun 2017 untuk tujuan membinan baru dan menaiktaraf SAR di Negeri Pulau Pinang.

38. Pembinaan kampus baharu Kolej Universiti KDU Pulau Pinang (KDUPP) di atas tanah seluas 43 ekar tanah di Batu Kawan yang bernilai RM220 juta dijangka siap pada tahun 2019. Pelaburan bidang pendidikan ke Pulau Pinang ini dianggarkan dapat menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.2 bilion. Pemajuan kampus ini yang dapat menampung kapasiti maksimum seramai 5,000 mahasiswa akan menjadi universiti metropolis pertama di Pulau Pinang.

Ekonomi Digital

39. Ekonomi Digital kini merangkumi 16% daripada KDNK Malaysia. Sekiranya kita ingin mencapai sasaran 20% KDNK menjelang 2020, maka kami harus menumpukan kepada pembelajaran STEM, iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Hasrat Pulau Pinang menjadi pusat kecemerlangan bagi sains dan teknologi dicerminkan dengan inisiatif berikut :
-Penang Science Cafe yang bernilai sebanyak RM20 juta untuk memberi kelas percuma kepada kanak-kanak dalam bidang sains amali dan robotik serta kelas 'coding'.
-Penganjuran acara tahunan Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang
-Pusat Pembelajaran Karpal Singh sebanyak RM6 juta untuk belajar STEM dan 'coding'
-Tech-Dome Pulau Pinang yang bernilai RM28 juta bagi menghidupkan kembali minat dalam sains dan teknologi
-Perpustakaan Digital sebanyak RM3 juta
-Skim Latihan Dwi-Vokasional Jerman sebanyak RM6 juta yang menawarkan kursus advanced diploma selama 42-bulan yang diiktiraf oleh Jerman, di mana pelajar dapat belajar sambil bekerja di kilang-kilang

MENJANA PERTUMBUHAN EKONOMI

YB Dato’ Yang di-Pertua,

40. Kerajaan Negeri akan terus memberikan tumpuan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang cergas dan mampan. Sektor pembuatan adalah dalam keadaan sihat dengan pelaburan untuk 8 bulan pertama pada tahun 2016 adalah sebanyak RM3.77 bilion, iaitu kedudukan ketiga di Malaysia di belakang Johor sebanyak RM17.99 bilion dan Selangor sebanyak RM3.82 bilion. Pulau Pinang masih menjadi pilihan pelabur-pelabur syarikat antarabangsa berjenama.

41. Kerajaan Negeri juga akan terus mempertingkatkan lagi bantuan dan sokongan kepada IKS di Pulau Pinang melalui tiga institusi yang sedia ada, iaitu Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS Pulau Pinang (Penang SME Market Advisory, Resource & Training - Penang SMART Centre), Pusat IKS Pulau Pinang (Penang SME Centre) berharga RM20 juta dan Perkampungan IKS Pulau Pinang (Penang SME Village). Penang SME Centre menyewakan ruang kilang dengan harga di bawah pasaran untuk membantu pengusaha baru.

42. Kerajaan Negeri juga telah membangunkan satu lagi projek IKS yang merangkumi 27 unit kilang di Taman Perindustrian Bukit Minyak. Pembangunan projek ini telah siap sepenuhnya dan dalam proses mendapatkan 'Certificate of Completion and Compliance' sehingga September 2016, sejumlah 21 unit kilang telah dijual.

43. Dalam industri halal, Pulau Pinang memantapkan lagi kedudukan sebagai Malaysia Best Halal Facility Provider. Selain daripada Taman Perindustrian Halal di Bukit Minyak, kapal-kapal persiaran pelancongan seperti Costa Victoria dan Star Cruise Libra yang mendapat persijilan halal telah berlabuh di Pelabuhan Swettenham pada tahun ini.

Pelancongan

44. Keadaan ekonomi yang gawat di Malaysia dikurangkan dengan pertumbuhan bilangan pelancong yang pesat. Ini boleh dilihat dengan pertumbuhan bilangan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebanyak hampir 6% pada tahun ini. Ini sudah mencecah 6.6 juta penumpang yang melebihi kapasiti 6.5 juta penumpang.

45. Pelancongan di Pulau Pinang mungkin menyelamatkan kita menghadapi sebarang krisis ekonomi 'ala-Trump' sekiranya Pulau Pinang memberikan tumpuan kepada produk baru, acara baru dan pengalaman yang unik untuk pelancong. Kerajaan Negeri telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menganjurkan Pesta Pulau Pinang, Butterworth Fringe Festival, Seberang Perai Fiesta, Penang Agrofest, Konsert Budaya Jepun, Festival George Town, Pesta Belon Panas Antarabangsa Pulau Pinang dan Pameran Jerman Buddy Bears tahun ini. Kerajaan Negeri akan menganjurkan acara baru pada tahun hadapan seperti Penang International Food Festival pada bulan April dan Master Games bersama dengan Kementerian Pelancongan pada tahun 2018.

46. Produk baru bertaraf antarabangsa yang akan menarik para pelancong adalah Taman Rama-Rama yang tercantik di dunia, Entopia yang berharga RM30 juta, pembukaan sub-terrenean Penang International Convention and Exhibition Centre (SPICE) yang berharga RM300 juta, Bukit Bendera dengan tarikan hijau yang berjaya menarik RM1.6 juta penumpang setahun, Projek "taman di atas laut" seluas 60 ekar dalam projek tambakan laut Gurney Wharf, pemulihan dan pembaharuan di KOMTAR (The Top) sebanyak RM200 juta dan akhirnya projek Taman Bertema di Pulau Jerejak.

47. Kini para pelancong boleh menikmati pengalaman unik di Pulau Pinang, termasuk industri pelayaran yang menarik 1.2 juta penumpang di Pelabuhan Swettenham pada tahun 2015. Pengalaman unik boleh dialami di Tapak Warisan Dunia UNESCO, Penang Design Village di Batu Kawan dan juga kawasan alam hijau di Empangan Air Mengkuang yang akan siap pada pertengahan tahun hadapan dengan ukur lilit sepanjang 11KM, serta industri penternakan ikan sangkar di atas laut yang terbesar di Malaysia.

48. Pulau Pinang merupakan lokasi pelancongan perubatan yang terunggul di Malaysia dengan 17 buah hospital swasta dan lebih 2000 katil. Pulau Pinang akan menambah sebuah lagi hospital tambahan dengan 700 katil yang akan diumumkan pada tahun hadapan. Pelaburan daripada luar negeri ini akan memperkasakan industri pelancongan perubatan di Pulau Pinang dan membantu usaha Pulau Pinang menjadi Bandaraya Perubatan atau 'Medical City'.

49. Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town adalah kebanggaan bukan sahaja bagi Negeri Pulau Pinang tetapi juga Malaysia. Selepas MOU ditandatangani dengan Aga Khan Trust For Culture dan Think City daripada Khazanah Malaysia, Kerajaan Negeri menerusi George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) telah memulakan beberapa projek penghijauan jalan dan taman serta pemulihan bangunan. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2.22 juta untuk projek penyelidikan dan dokumentasi. Di antara projek besar yang dirancangkan adalah pembinaan semula bahagian bangunan Muzium Negeri Pulau Pinang yang dihancurkan oleh pesawat Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

MENGKOMERSILKAN SEKTOR PERTANIAN DAN PENTERNAKAN

50. Sektor pertanian, veterinar dan perikanan terus mencatatkan pertumbuhan positif di Pulau Pinang. Bagi sektor akuakultur, jumlah hasil yang dicatatkan bagi tahun 2015 adalah sebanyak 58,682 tan metrik dengan nilai RM1.114 bilion. Manakala hasil penangkapan ikan yang dicatatkan bagi tahun 2015 adalah sebanyak 49,782 tan metrik bernilai RM484 juta, peningkatan yang ketara berbanding tahun 2014 yang mencatatkan tangkapan sebanyak 45,880 tan metrik bernilai RM463 juta.

51. Sektor penternakan walau bagaimanapun mengalami sedikit penurunan hasil daripada RM844.10 juta pada tahun 2014 kepada RM823.11 juta pada tahun 2015 terutama bagi komoditi utama iaitu ayam dan khinzir. Secara keseluruhannya, produktiviti komoditi ayam dan khinzir telah mencapai tahap sara diri (self sufficient) dan memberi sumbangan ekonomi terbesar, iaitu 94.05% daripada Nilai Hasil Ternakan (NHT) utama negeri pada tahun 2015 dan dijangka akan berterusan pada tahun 2017.

52. Pembangunan homeplot akan dilaksanakan bagi membantu penternak mendapat sumber makanan ternakan daripada penanaman rumput yang lebih murah dan mudah untuk diuruskan sebagai alternatif daripada kebergantungan kepada makanan rumusan (dedak).

53. Sektor pertanian pula pada tahun 2015 telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak RM48 juta kepada sejumlah RM477 juta berbanding RM429 juta pada tahun 2014.

54. Di samping itu, bantuan peralatan menangkap ikan kepada nelayan-nelayan pesisir pantai juga akan diteruskan pada tahun 2017. Program ini telah memasuki tahun ke-4 pelaksanaannya dan Kerajaan Negeri setakat ini telah membelanjakan sejumlah RM2.88 juta untuk membantu meringankan beban nelayan pesisir pantai dalam meningkatkan hasil tangkapan mereka.

Batu Kawan Agropark dan Permatang Pauh Agropark

55. Selepas kejayaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Juru, Kerajaan Negeri akan membangunkan sebidang tanah milik Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) di kawasan Ara Kuda, Penanti seluas 22 ekar sebagai Taman Agro Permatang Pauh (Permatang Pauh Agropark). Taman Agro baru ini akan memberi fokus kepada industri agroteknologi menggunakan sistem fertigasi dan mengkhususkan untuk tanaman komoditi berpotensi seperti cendawan, roselle dan herba.

56. Kerajaan Negeri juga akan terus menyumbangkan sebanyak RM250,000 kepada skim mikrokredit Tabung Usahawan Tani Muda bagi meneruskan komitmen kami untuk membantu warga tani terutamanya golongan muda untuk menjadi seorang usahawan tani yang berjaya dan berdaya saing. Sehingga tahun ini, seramai 49 orang usahawan tani muda telah mendapat manfaat daripada program mikrokredit ini yang mana setiap usahawan menerima pinjaman sebanyak RM5000 dan hanya perlu membayar dalam tempoh 2 tahun tanpa sebarang faedah. 

Seberang Perai Fiesta

57. Seberang Perai Fiesta yang berlangsung dari 14 September sehingga 18 September yang lalu telah berjaya menarik kehadiran lebih daripada 120,000 orang pengunjung ke acara Penang Food Mega Festival, Penang Agrofest dan Tanjung Art Fest. Acara yang menampilkan lebih 1000 jenis keunikan makanan yang disediakan oleh peniaga tempatan dan pameran pelbagai produk pertanian, veterinar dan perikanan ternyata telah berjaya mengumpul kutipan hasil melebihi RM 3 juta. 

58. Maka demi memastikan kesinambungan kejayaan Seberang Perai Fiesta, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM320,000 untuk maksud ini bagi memastikan kejayaan penganjuran Seberang Perai Fiesta 2017 yang dijangka bakal diadakan pada bulan Ogos tahun hadapan. 

Inisiatif Pulau Pinang Bebas Denggi

59. Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan Inisiatif Pulau Pinang Bebas Denggi atau Dengue Free Penang.

60. Peruntukan sebanyak RM100,000 akan disalurkan untuk tujuan program kesedaran dan memperkasa program COMBI (Communication for Behavioral Impact) di peringkat komuniti. 

61. Kerajaan Negeri juga, bercadang untuk melaksanakan strategi baru dalam mendepani penularan wabak denggi di negeri ini. Kami bercadang untuk membelanjakan RM400,000 untuk melaksanakan Sistem Pemantauan Dinamik Denggi / Zika menggunakan teknologi A.I atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Driven Dengue / Zika Dynamic Surveillance System. 

PERUMAHAN MAMPU MILIK

62. Bagi memenuhi permintaan rakyat terhadap keperluan perumahan, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Program Perumahan Awam dan Mampu Milik sebanyak 26,255 unit di semua daerah Pulau Pinang termasuk skim sewa-beli yang melibatkan 155 unit di Seberang Perai Selatan. Sebagai galakan, terutamanya kepada bumiputera untuk memiliki kediaman di tengah-tengah kawasan bandar pula, Kerajaan Negeri telah membuat pembelian sebanyak 320 unit Rumah Mampu Milik Jenis B (Kos Sederhana Rendah) di The Rise, S.P. Chelliah melalui Akaun Amanah Perumahan Bumiputera Pulau Pinang sebagai inisiatif untuk memberi keselesaan kepada rakyat bumiputera negeri ini. Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM44.6 juta daripada akaun tersebut. Harga sepatutnya bagi seunit rumah termasuk tempat letak kereta adalah RM100,000, merangkumi RM72,500 untuk rumah dan RM27,500 bagi satu tempat letak kereta. Namun, Kerajaan Negeri akan menjual pada harga RM72,500 sahaja dengan menyerap RM27,500 sebagai subsidi istimewa kepada pembeli bumiputera. Unit-unit yang dibeli oleh Kerajaan untuk pembeli bumiputera tidak akan dilepaskan sekiranya tidak dapat dijual, sebaliknya akan disimpan bagi pembeli bumiputera yang lain. Hasil jualan rumah ini akan diperakaunkan semula ke Akaun Amanah Perumahan Bumiputera sebagai satu tabungan tidar (revolving fund) supaya dapat dimanfaatkan oleh pembeli bumi projek perumahan yang lain.

63. Pada tahun ini Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Sewa Beli sebagai satu lagi inisiatif Kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan memiliki rumah. Syarat kelayakan untuk skim ini sama seperti syarat kelayakan unit-unit Rumah Mampu Milik Jenis A (RMM Jenis A - perumahan kos rendah).

64. Kerajaan Negeri melalui PDC juga akan membina 600 unit Rumah Mampu Milik Jenis A di Ujung Batu, Bagan Dalam dan 1200 unit Rumah Mampu Milik Jenis A di Prai. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat menunaikan janji untuk menambahkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dirancang dibina setakat 2013, di mana daripada 20,054 unit yang dibina di seluruh negara, hanya 70 unit dibina di Pulau Pinang bersamaan 0.3% sahaja!

65. Bagi menyedia kemudahan dan persekitaran tempat tinggal yang lebih selesa bagi penghuni yang mendiami Rancangan Perumahan Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri pada tahun 2016 telah memperuntukkan sebanyak RM12.56 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf dan menyenggara seperti penggantian kemudahan asas yang rosak dan usang, penggantian komponen paip dan tangki air, pencahayaan, kerja-kerja pendawaian dan sebagainya. Untuk meneruskan kerja-kerja naik taraf tersebut, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM12.49 juta pada tahun 2017.

PENGURUSAN ALAM SEKITAR YANG MAMPAN

YB Dato' Yang di-Pertua,

66. Kerajaan Negeri tidak pernah membenarkan pembalakan di hutan simpan kekal di Pulau Pinang malah tidak seinci pun boleh ditebang. Malah, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan untuk penanaman 271,000 batang pokok baharu di seluruh negeri sejak tahun 2008. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk melaksana antara lain program pengurusan sumber hutan, pemeliharaan dan perlindungan, publisiti dan pengembangan.

67. Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan “No Free Plastic Bag” setiap hari, kempen mengharamkan penggunaan polistirena dan kempen makan sampai habis bagi mengurangkan pembaziran dan jumlah sisa organik. Kejayaan dasar ini telah nampak impaknya kerana sisa organik atau sisa dapur terdiri daripada 40% sampah yang lupus di Pulau Burung.

68. Kita seharusnya berbangga apabila negeri Pulau Pinang mencatatkan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia, iaitu 32% berbanding kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 10.5% dan melebihi sasaran kebangsaan yang ditetapkan menjelang tahun 2020 sebanyak 22%.

69. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga melancarkan program perintis Mosquito Autocidal Trap atau MyMAT di tiga lokaliti hotspot yang dikenalpasti, iaitu Jalan Tuna di Seberang Perai Tengah, Taman Sri Damai di George Town dan Taman Sri Delima di Barat Daya. Sekiranya penggunaan MyMAT dalam tempoh enam (6) bulan ini terbukti keberkesannya dalam mengurangkan populasi nyamuk dan penurunan kes denggi, Kerajaan Negeri akan memperluaskan program ini ke seluruh Pulau Pinang.

NEGERI KEBAJIKAN

70. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan bebanan yang ditanggung rakyat berpendapatan rendah lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Pusat melaksanakan cukai GST sebanyak 6% bermula April 2015. Berikutan itu, sebagai sebuah Kerajaan yang berjiwa rakyat yang memahami penderitaan rakyat golongan kurang berpendapatan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan pengecualian cukai pintu bagi tahun 2016 kepada semua penghuni rumah kos rendah,rumah sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah.

71. Pengecualian ini akan diteruskan pada tahun 2017. Pengecualian cukai ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan yang dapat dimanfaatkan oleh pemilik rumah kos rendah, rumah sederhana rendah dan rumah kampung adalah sebanyak RM14,093,705.78, di mana cukai pintu yang dipungut pada tahun 2017 oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ialah RM8,058,628.78 dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebanyak RM6,035,077.00.

72. Selain daripada pengecualian cukai yang diberikan sebanyak RM14,093,705.78, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung bebanan GST yang dianggarkan sebanyak RM46.2 juta setahun. Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan MBPP dan MPSP untuk menanggung beban GST untuk tahun 2016 sebanyak RM19.36 juta yang tidak akan dibayar oleh rakyat tetapi ditanggung oleh MBPP dan MPSP. Ini juga akan diteruskan untuk tahun 2017. Ini bermakna rakyat Pulau Pinang akan mendapat penjimatan sebanyak RM19.36 juta daripada tidak perlu membuat pembayaran GST.

73. Dengan pengecualian cukai pintu untuk pemilik rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah sebanyak RM11.7 juta dan penjimatan daripada pembayaran GST bagi pihak rakyat sebanyak RM19.36 juta, MBPP dan MPSP akan menanggung kos sebanyak RM33.45 juta.

74. Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan potongan sebanyak 6% cukai pintu untuk semua hartanah lain termasuk hartanah komersil. Potongan 6% ini akan menjimatkan pemilik di kawasan MBPP sebanyak RM11,829,732.70 dan untuk mereka di kawasan MPSP menjimatkan RM9,907,892.00.

75. Untuk pemilik hartanah yang bukan rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah, potongan 6% cukai pintu akan menyebabkan beban kewangan sebanyak RM21.74 juta kepada MBPP dan MPSP.

76. Secara keseluruhannya, ehsan Kerajaan Negeri Pakatan, MBPP dan MPSP, penjimatah rakyat adalah sebanyak RM55.19 juta seperti berikut :

1) Pengecualian cukai pintu untuk
pemilik rumah kos rendah dan sederhana rendah RM14.09 juta
2) Pengecualian bayaran GST
untuk perkhidmatan MBPP dan MPSP RM19.36 juta
3) Potongan cukai pintu 6% RM21.74 juta
---------------------
RM55.19 juta
============

77. Di bawah Dasar Pembangunan Desa, sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan di bawah Projek Khas Ekonomi dengan fokus kepada Projek Bina Rumah Baru, Projek Baiki Rumah dan Projek Bantuan Peralatan untuk masyarakat desa. Selain itu, sebanyak RM200,000 akan dibelanjakan untuk menganjurkan program-program pembangunan modal insan demi melahirkan warga desa yang bermotivasi dan berdaya saing dan menjadikan mereka warga yang optima untuk bersama-sama membangunkan Negeri Pulau Pinang.

78. 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat melalui bantuan kewangan RM412.63 juta yang diagihkan sejak 2008, seperti bayaran RM100 kepada warga emas, ibu tunggal , suri rumah, OKU dan murid sekolah serta bayaran one-off RM1000 sebagai khairat kematian, RM200 untuk anak baru lahir, pukat percuma 2 kali setahun kepada nelayan, RM1,000 kepada pelajar IPTA tahun pertama, bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi dan RM1,200 setahun kepada penarik beca.

79. Saya ingin mengumumkan bayaran insentif RM600 diberikan juga kepada pemandu bas sekolah kerana mereka juga memberikan perkhidmatan awam yang penting kepada anak kita.

80. Bagi mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Tempatan di Sabah dan Sarawak, atas permintaan ibu bapa yang terpaksa membeli tiket kapal terbang yang agak mahal, mereka akan menerima RM 1,200 iaitu tambahan RM200 daripada RM1,000 yang diberikan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung Malaysia.

WANITA DAN PEMBANGUNAN

81. Penang Women Development Corporation (PWDC) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri telah melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa, khususnya di bawah program 'Gender Responsive and Participatory Budgeting' (GRPB) apabila menerima jemputan melalui United Nation bagi membentangkan model GRPB Pulau Pinang yang mendapat pengiktirafan. Kerajaan Negeri akan meneruskan peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta.

PEMBANGUNAN SUKAN

82. Kerajaan Negeri berbangga dengan pencapaian kontinjen Negeri Pulau Pinang dalam Sukan Malaysia, Sukan Paralimpiad dan Sukan Orang Pekak XVIII (ke-18) Sarawak 2016. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berbangga kerana daripada 5 pingat yang dimenangi oleh kontinjen Olimpik negara, dua daripadanya disumbang oleh anak jati Pulau Pinang.

83. Tahniah diucapkan kepada Yang Berbahagia Dato Lee Chong Wei dan Saudara Chan Peng Soon di atas kemenangan pingat Perak Olimpik. Kerajaan Negeri telah menyumbang RM150,000 kepada Yang Berbahagia Dato' Lee Chong Wei dan RM100,000 kepada Saudara Chan Peng Soon atas kejayaan mereka.

84. Sebagai pengiktirafan ke atas pencapaian tersebut dan galakan kepada atlet-atlet Pulau Pinang yang menyertai Sukan Olimpik, Sukan Malaysia, Sukan Paralimpiad dan Sukan Orang Pekak 2016, Kerajaan Negeri telah menyumbang sebanyak RM687,625.00 sebagai insentif kepada atlet-atlet yang berjaya mengharumkan nama negara dan negeri.

85. Kerajaan Negeri juga telah menetapkan agar kadar Skim Insentif Kemenangan Sukan Negeri Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada atlet paralimpik di seragamkan dengan kadar insentif yang ditawarkan kepada atlet-atlet Sukan Malaysia (atlet normal) selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam mendokong pelaksanaan taraf kesaksamaan.

86. Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membina sebuah stadium hoki yang baru di Bukit Mertajam sebagai insentif dan galakan kepada pasukan hoki lelaki yang mendapat pingat emas dalam SUKMA XVIII Sarawak 2016. Saya difahamkan oleh Yang Berhormat Menteri Belia dan Sukan bahawa tender sedang dijalankan untuk projek menaiktaraf turf di Stadium Hoki Bertam yang sudah usang dan rosak.

87. Kerajaan Negeri berhasrat menaiktaraf Stadium Mini Permatang Rawa di Seberang Perai Tengah yang melibatkan padang bola sepak dan 'club house'. Selain itu, pembinaan Kompleks Kolam Renang dan Badminton oleh MBPP di Relau sebanyak RM20 juta dijangka siap pada tahun 2017. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membina sebuah kolam renang bertaraf antarabangsa yang dilengkapi dengan platform untuk sukan terjun air di Ampang Jajar, Permatang Pauh. Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk menubuhkan Perbadanan Pengurusan Stadium untuk menguruskan semua stadium di Pulau Pinang.

PEMBANGUNAN BELIA

88. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) menyediakan platform untuk pembangunan belia dengan program-program pendidikan sains, sukan seperti bola sepak, sepak takraw dan bola keranjang serta peluang pekerjaan. PYDC juga menyediakan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang untuk memupuk perpaduan serta menjadi belia yang bersemangat, berdikari dan berkemampuan.

MEMPERKASAKAN AGAMA ISLAM

89. Peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam saban tahun bermula daripada bajet 2009 mencecah RM50 juta setahun dan adalah di antara yang tertinggi. Di samping itu, mengenang jerih perih, bakti dan sumbangan pegawai masjid dan guru-guru agama, Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 lagi telah memberi insentif dan bayaran khas kewangan kepada mereka, setakat akhir 2015 berjumlah kumulatif RM28.77 juta. Pada tahun semasa 2016 sehingga kini, Kerajaan Negeri telah menyumbang sejumlah RM4.57 juta kepada pegawai masjid, guru-guru agama dan para huffaz.

90. Untuk tahun 2017, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM49.37 juta untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam termasuk pembiayaan bagi sumbangan dan bantuan khas kewangan pegawai masjid, guru-guru agama dan para huffaz.

MENGERATKAN HUBUNGAN MASYARAKAT

91. Peranan JKKK adalah penting bagi menjadi penghubung di antara pihak Kerajaan Negeri dengan akar umbi khususnya masyarakat kampung. Sebagai galakan untuk mempertingkatkan prestasi Pengerusi dan Setiausaha, elaun bulanan akan dinaikkan sebanyak RM50 daripada RM650 kepada RM700 untuk Pengerusi dan RM550 kepada RM600 untuk Setiausaha JKKK. Ini akan menambahkan kos sebanyak RM352,800 kepada RM6,857,200.00 setahun.

PENGURUSAN PERBELANJAAN MENGURUS DAN PEMBANGUNAN

Y.B. Dato' Yang di-Pertua,

92. Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM1,327,457,200 (Ringgit Malaysia: Satu Bilion, Tiga Ratus Dua Puluh Tujuh Juta, Empat Ratus Lima Puluh Tujuh Ribu, Dua Ratus) untuk 19 jabatan bagi tahun 2017, seperti mana perincian di Risalah Bil. 3 Tahun 2016. Selain daripada itu, peruntukan sejumlah RM27,057,500 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Tujuh Juta, Lima Puluh Tujuh Ribu, Lima Ratus) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan tiga (3) jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Oleh itu, jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan pada tahun 2017 ialah RM1,354,514,700 (Ringgit Malaysia: Satu Bilion, Tiga Ratus Lima Puluh Empat Juta, Lima Ratus Empat Belas Ribu, Tujuh Ratus).

93. Bagi tahun 2017 , Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM687,413,100 (Ringgit Malaysia: Enam Ratus Lapan Puluh Tujuh Juta, Empat Ratus Tiga Belas Ribu, Seratus) iaitu jangkaan jumlah hasil yang hampir sama dengan tahun semasa 2016. Selain daripada sumber hasil Kerajaan Negeri yang terhad serta tiada punca hasil baru, kutipan hasil daripada faedah dan perolehan daripada pelaburan juga dijangka menurun disebabkan oleh penurunan bayaran dividen dan kadar faedah simpanan tetap, yang seterusnya menyumbang kepada anggaran hasil Negeri yang setara untuk tahun 2017.

94. Jangkaan hasil Negeri bagi tahun 2017 tidak meningkat, namun Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan untuk mengekalkan perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan Negeri supaya masih sama dengan anggaran tahun 2016. Mengambil kira kepada keperluan untuk menggiatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan, menyedia kemudahan pinjaman kepada badan-badan berkanun negeri, merangsang serta menjayakan transformasi ekonomi negeri dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat, maka tidak dapat tidak, telah mengakibatkan kepada pembentangan bajet defisit untuk tahun 2017.

95. Secara rumusan, anggaran defisit untuk Belanjawan 2017 ialah RM667.1 juta berbanding dengan anggaran defisit 2016 sebanyak RM292.13 juta. Akan tetapi lebihan belanjawan 2016 dijangka dapat dicatatkan tahun ini. Sama dengan anggaran belanjawan 2015 yang juga berdefisit RM230 juta tetapi akhirnya juga dapat mencatatkan lebihan belanjawan sebenar sebanyak RM71.78 juta pada akhir 2015.

96. Kerajaan Negeri mempunyai obligasi untuk pembayaran Emolumen yang telah meningkat sebanyak 6.39% kepada RM175.95 juta pada tahun 2017 berbanding dengan RM165.38 juta bagi tahun 2016 yang disebabkan oleh kenaikan pergerakan gaji tahunan; perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan yang meningkat sebanyak 1.64% kepada RM149.67 juta untuk perbelanjaan penyelenggaraan, sewaan, kerja-kerja pembaikan, kos bekalan dan utiliti serta bayaran kenaan GST dan peningkatan perbelanjaan perolehan Aset sebanyak 14.83% kepada RM8.44 juta untuk pembiayaan pembelian peralatan, kerja-kerja pembaikan bangunan dan kemudahan serta pembelian kenderaan bagi jabatan-jabatan kerajaan. Selain daripada ketiga-tiga komponen perbelanjaan Mengurus tersebut, komponen perbelanjaan mengurus yang terbesar ialah perbelanjaan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap yang meningkat sebanyak 55.27% kepada RM1,014.54 juta pada tahun 2017 berbanding dengan RM653.39 juta bagi tahun 2016. Punca peningkatan yang ketara ini adalah disebabkan peningkatan jumlah pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan, iaitu pindahan sebanyak RM790 juta pada tahun 2017 berbanding pindahan RM220 juta dalam bajet 2016. Pemberian selainnya adalah termasuk pemberian di bawah program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat dianggarkan RM117 juta, perbelanjaan bagi faedah, dividen dan kenaan bayaran hutang negeri berjumlah RM3.87 juta, bayaran pencen dan ganjaran berjumlah RM8 juta, tuntutan insuran dan pampasan sejumlah RM10 juta dan bayaran berjumlah RM42.11 juta kepada badan-badan berkanun negeri.

97. Anggaran perbelanjaan Mengurus 2017 adalah berjumlah RM1,354.51 juta (termasuk pindahan RM790 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan). Sekiranya pindahan RM790 juta daripada Akaun Hasil Disatukan kepada Kumpulan Wang Pembangunan tersebut dikecualikan sebagai 'perbelanjaan', maka anggaran perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 ialah sebanyak RM564.51 juta dan masih boleh dibiayai daripada jumlah hasil yang dijangka dikutip (RM687.41 juta).

98. Cadangan bajet Pembangunan Negeri bagi tahun 2017 pula berjumlah RM887,437,890 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Lapan Puluh Tujuh Juta, Empat Ratus Tiga Puluh Tujuh Ribu, Lapan Ratus Sembilan Puluh) yang merupakan peningkatan sebanyak 541.32 juta atau 156.4% jika dibandingkan dengan jumlah Bajet Pembangunan sebanyak RM346.12 juta pada tahun 2016. Peningkatan yang bertambah ini ialah bagi peruntukan kemudahan pinjaman yang akan disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak RM30 juta untuk membiayai Kos Penggantian Aset dan Menaiktaraf Loji Rawatan dan Takungan Air dan RM609 juta kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk tujuan pembiayaan kos pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur bagi menggalakkan pembangunan yang seimbang terutamanya di kawasan Seberang Perai. Tumpuan pembangunan ini akan dapat menggerakkan ekonomi Negeri Pulau Pinang kerana Seberang Perai boleh menjadi penggerak utama pembangunan ekonomi masa hadapan. Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada kedua-dua PBAPP dan PDC juga tidak menimbulkan risiko kewangan, memandangkan Kerajaan Negeri akan mula mendapat pulangan termasuk keuntungan pinjaman pada tahun 2018 dengan jangkaan keuntungan melebihi RM120 juta dalam tempoh lapan (8) tahun seterusnya. Mengikut nisbah perbelanjaan 2017, peruntukan pembangunan berbanding mengurus yang disediakan ialah 61.12 : 38.88.

99. Sekiranya perbelanjaan pembangunan sebanyak RM887.44 juta dibandingkan bersama dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM564.51 juta daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2017 sebanyak RM1,451.95 juta maka perbelanjaan pembangunan merupakan 61.1% daripada jumlah besar Belanjawan manakala perbelanjaan mengurus hanya sekadar 38.9%. Ini menunjukkan penekanan Kerajaan Negeri keatas perbelanjaan pembangunan agar memenuhi halatuju ke arah menubuhkan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan.

100. Mengambil kira bajet keseluruhan (Mengurus dan Pembangunan) yang dicadangkan bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM1,451.95 juta (tidak termasuk pindahan RM790 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan) dan Anggaran Hasil tahun 2017 pula sejumlah RM687.41 juta, maka ianya menyumbang kepada bajet defisit sebanyak RM667.10 juta. Bajet defisit yang ketara ini tidak berpunca daripada perbelanjaan Mengurus langsung sebanyak RM564.51 juta tetapi disebabkan oleh pindahan RM790 juta daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk pembiayaan projek-projek Pembangunan yang dirancang berjumlah RM887.44 juta. Anggaran defisit atau kekurangan RM667.10 juta yang dijangka dalam Bajet 2017 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri. Kerajaan Negeri menganggarkan defisit RM230.31 juta pada tahun 2015 tetapi telah mencatatkan lebihan RM71.78 juta yang pada akhir tahun kewangan 2015 dan seterusnya menyumbang kepada rizab terkumpul berjumlah RM952.53 juta.

101. Sememangnya jangkaan defisit bagi tahun 2017 melonjak naik dengan mendadak sekali, walau bagaimanapun, ianya tidak akan menjejas perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri dan semua komitmen pembiayaan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan, bantuan-bantuan sosial rakyat, pemberian serta program-program Agenda Ekonomi Saksama akan diteruskan seperti mana dijanjikan.

102. Dari segi perincian peruntukan Pembangunan yang disediakan untuk sembilan (9) jabatan seperti di Risalah Bil. 3 Tahun 2016, Maksud Pembangunan P01 Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan disediakan peruntukan yang paling tinggi iaitu RM707.61 juta untuk tahun 2017. Peningkatan ketara ini berpunca daripada pertambahan peruntukan kemudahan pinjaman iaitu dari jumlah RM100 juta yang disediakan pada tahun semasa 2016 kepada pinjaman berjumlah RM639 juta untuk tahun 2017. Bagi tujuh (7) jabatan selainnya, peruntukan Pembangunan yang disediakan untuk tahun 2017 adalah hampir sama dengan peruntukan tahun 2016. Bagi Maksud Pembangunan P10 Jabatan Taman Botani pula, peruntukan 2017 yang dimohon ialah RM0.31 juta, iaitu pengurangan sebanyak RM1.63 juta daripada peruntukan tahun semasa RM1.94 juta

PERKHIDMATAN AWAM

103. Mengenai bonus, sebagai penghargaan tambahan bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri bersetuju mengambil kira kenaikan harga barangan termasuk minyak petrol, minyak masak dan bahan-bahan subsidi yang lain serta meluluskan bayaran bonus akhir tahun bersamaan dengan 0.5 bulan atau 1/2 bayaran gaji bulanan penjawat awam atau minimum RM700.00. Kerajaan Negeri juga meluluskan bayaran tambahan lagi sebanyak 0.25 bulan atau 1/4 bulan gaji kepada mereka yang tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi 4 hari sehingga November 2016 serta tidak diluluskan cuti sakit tambahan di bawah Peraturan 17 (a) Perintah Am Bab C sebagai insentif kehadiran kerja. Adalah diharapkan bayaran bonus ini akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi di tahun mendatang.

104. Bagi tujuan pembayaran 1/2 bulan gaji tersebut yang melibatkan keseluruhan 4,178 penjawat awam ianya adalah berjumlah RM4.19 juta. Manakala anggaran bagi pembayaran bonus tambahan 0.25 atau 1/4 bulan gaji masih belum dapat ditentukan. Kesemua bayaran bonus akan dibayar pada bulan Disember 2016.

105. Di samping itu pembayaran kepada 1,502 Penyelia dan Guru KAFA, 225 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 185 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 522 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina sebanyak RM300.00 seorang dan RM200.00 seorang kepada seramai 279 Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM786,000.00 kepada kumpulan ini akan juga dibayar pada Disember 2016.

106. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin ucapkan terima kasih atas sumbangan semua penjawat awam daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Saya juga menzahirkan penghargaan kepada YB Dato' Seri SUK yang banyak membantu menjayakan dasar Kerajaan Negeri. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga mengucapkan "Selamat Bersara" kepada YBhg. Dato' Mokhtar Mohd Jait yang bersara wajib sebagai Pegawai Kewangan Negeri. Ucapan terima kasih diucapkan kepada bekas Penasihat Undang-Undang Negeri, YBhg. Dato' Aliza Sulaiman yang telah dipindahkan ke Putrajaya. Selamat bertugas ditujukan kepada YB Dato' Anas Zaki, Penasihat Undang-Undang Negeri baru dan juga YB Sarul Bahiyah binti Haji Abu atas lantikan beliau sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baru.

107. Seperti mana yang telah saya jelaskan, walaupun Kerajaan Negeri membentangkan bajet defisit sebanyak RM667 juta untuk tahun 2017, namun komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan projek pembangunan yang mensejahterakan rakyat diteruskan dan bantuan khas kewangan yang lazimnya diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri akan juga diperuntukkan dalam tahun 2017 nanti. Adalah diharapkan sepertimana yang berlaku sejak 2008, setiap kali Belanjawan Defisit dibentangkan, tetapi Kerajaan Negeri tetap mampu mencatatkan Belanjawan lebihan kerana urustadbir CAT dan kepimpinan yang bersih.

108. Saya amat berharap kepada gandingan dan permuafakatan pemimpin serta rakyat dapat merealisasikan aspirasi ke arah negeri keusahawanan dan kebajikan serta dapat mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kepada Negeri Pulau Pinang yang tercinta.

Y.B. Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

 

 

     

2006-2007

Rank

STATE

2006

2007

% change

RM Increase

1

Sabah

12,138

14,104

16.20%

1,966

2

Kelantan

6,752

7,662

13.50%

910

3

Kedah

10,821

12,160

12.40%

1,339

4

Perak

13,233

14,832

12.10%

1,599

5

Pahang

18,108

20,160

11.30%

2,052

6

Sarawak

27,782

30,790

10.80%

3,008

7

Johor

16,996

18,753

10.30%

1,757

8

Terengganu

17,692

19,476

10.10%

1,784

9

WP Kuala Lumpur

45,519

49,687

9.20%

4,168

10

Negeri Sembilan

22,796

24,605

7.90%

1,809

11

WP Labuan

31,281

33,687

7.70%

2,406

12

Selangor

24,571

26,359

7.30%

1,788

13

Perlis

13,555

14,500

7.00%

945

14

Melaka

22,065

23,415

6.10%

1,350

15

Pulau Pinang

29,624

31,381

5.90%

1,757

 

 

 

 

 

2014-2015

Rank

STATE

2014

2015

% change

RM Increase

1

Pulau Pinang

42,130

44,847

6.40%

2,717

2

WP Labuan

55,566

58,577

5.40%

3,011

3

Kedah

17,329

18,249

5.30%

920

4

Perak

24,132

25,418

5.30%

1,286

5

Johor

28,089

29,539

5.20%

1,450

6

Selangor

40,536

42,611

5.10%

2,075

7

WP Kuala Lumpur

90,464

94,722

4.70%

4,258

8

Pahang

29,341

30,343

3.40%

1,002

9

Melaka

38,656

39,853

3.10%

1,197

10

Kelantan

11,748

12,075

2.80%

327

11

Negeri Sembilan

35,865

36,699

2.30%

834

12

Perlis

20,999

21,394

1.90%

395

13

Terengganu

26,397

26,529

0.50%

132

14

Sabah

19,723

19,734

0.10%

11

15

Sarawak

44,596

44,012

-1.30%

-584

 

  • "Adakah anda mengetahui bahawa aduan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih ePintas?"

UNDIAN