logo header ms

Majlis Perasmian Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB LIM GUAN ENG

SEMPENA PERASMIAN JALAN TUN HAMDAN SHEIKH TAHIR

PADA HARI 14 MAC 2012

BERTEMPAT DI SPU, PULAU PINANG

Terima kasih Pengacara Majlis

Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff

Yang Berhormat Dato' Mansor bin Othman, Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Tuan Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Dato’ Farizan bin Darus , Setiausaha Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Dato’ Mokhtar Bin Jait, Pegawai Kewangan Negeri

Yang Berhormat Dato’ Faiza binti Zulkifli, Penasihat Undang-Undang Negeri

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen & Ahli-ahli DUN

Yang Dipertua MPSP

Ahli-ahli Majlis MPSP

Ketua-ketua Jabatan

Presiden, YDP & Pengerusi NGO

Rakan-rakan Media,

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat merancang dan melaksanakan majlis pada hari ini terutamanya Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Jabatan Kerja Raya.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

Dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sedang berusaha keras dalam penyediaan sistem pengangkutan dan kemudahan awam juga yang bertaraf antarabangsa. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah melantik perunding bagi menjalankan kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merupakan satu pelan yang holistik dan menyeluruh untuk perancangan pengangkutan dan pengurusan lalulintas di seluruh Pulau Pinang.

Dalam 4 tahun pemerintahan kita, perbezaan besar dalam penambaikan infrastruktur jalan Pulau Pinang dapat dilihat dengan ketaranya. Peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk projek bina jalan telah naik kepada 3 kali ganda daripada RM10.25 juta dalam 2007 kepada RM41.6 juta dalam 2012. Peningkatan ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bersungguh- sungguh memastikan rakyat Pulau Pinang dapat menikmati infrastruktur yang baik dan secara meluas.

Untuk pengetahuan semua, Kerajaan Negeri sedang merancang untuk melaksanakan 4 buah projek infrastruktur jalan raya secara penswastaan yang melibatkan kos di antara RM5-RM8 billion. Kos mungkin akan menjadi lebih rendah dengan proses tender terbuka ini. Projek secara tender terbuka tersebut merangkumi pembinaan terowong dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dan Bagan Ajam, pembinaan terowong dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Air Itam, Projek Jalan Lingkaran Dalaman George Town yang melibatkan pembinaan jalan bertingkat dan terowong bermula dari Persiaran Gurney melalui Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Perak dan Jalan Sungai Pinang hingga ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Projek Jalan Berkembar Tanjung Bungah - Teluk Bahang.

Sebaik projek terowong ini berjaya dilaksanakan, Butterworth dan SPU akan menerima impak yang positif bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan trafik tetapi juga dalam memacu pembangunan ekonomi di kawasan seperti Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Butterworth.

Hadirin sekalian,

Daerah SPU tidak tertinggal walaupun keadaan lalulintas di sini masih terkawal dan tidak sesak seperti di sesetengah kawasan bandaraya George Town. Hasil dari kajian Pelan Induk Pengangkutan akan digunakan dalam rangka mewujudkan infrastruktur pengangkutan awam yang berasaskan keperluan rakyat.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Sistem Park and Ride. Perkhidmatan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan kos RM720, 000 setahun adalah usaha untuk mengurangkan kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang. Perkhidmatan Bus Express Shuttle Transit (BEST) ini telah mendapat sambutan yang baik kerana ianya bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dan mengurangkan tekanan memandu kereta malahan dapat membantu meringankan bebanan kewangan pekerja.

Hadirin sekalian,

Tun Haji Hamdan bin Sheikh Tahir dikenali umum bukan saja sebagai Tuan Yang Terutama Gabenor Pulau Pinang tetapi juga sebagai seorang tokoh pendidik dan pegawai pendidikan yang terkemuka serta sebagai Naib Canselor kedua USM. Dilahirkan pada 27 April 1921 di Pulau Pinang dan mendapat pendidikan awal di Madrasah Haji Taib, Parit Jamil, Muar, Johor. Pada tahun 1939, beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke Raffle’s College.

Para hadiri sekalian,

Sumbangan khidmat beliau dalam bidang pendidikan terus melebar bila dilantik untuk berkhidmat sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia yang kedua dari tahun 1976 hingga 1982. Dalam tempoh perkhidmatan tersebut banyak sumbangan dan perubahan yang beliau telah lakukan termasuk mempelopori penubuhan Pusat Pengajian Sains Perubatan dan penubuhan Kampus Cawangan Kelantan. Pada tahun 1983 hingga 1985 beliau berkhidmat sebagai Wakil Tetap dan Duta Malaysia ke UNESCO di Paris. Ketokohan beliau yang terserlah dalam bidang pentadbiran membawa kepada pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 1 Mei 1989. Sumbangan beliau yang luas dalam dunia pendidikan mendapat penghargaan dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Para Hadirin Sekalian,

Bekas T.Y.T. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ini telah menabur begitu banyak sumbangan dan bakti bagi memastikan kualiti pendidikan rakyat Malaysia dan Pulau Pinang terjamin.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri amat berbesar hati memilih dan menamakan Jalan Bertam ke Jalan Kubang Menerong sepanjang 7.3 kilometer kepada Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan bakti yang telah diberikan oleh beliau kepada rakyat Negeri Pulau Pinang. Jalan tersebut bermula dari hadapan Pejabat Pos Kepala Batas ke persimpangan Jalan Pokok Jenerih, Tasek Gelugor. Pemilihan jalan ini adalah kerana sepanjang laluan tersebut terdapat beberapa institusi pendidikan terdiri dari Malaysia Productivity Corporation, Allianze University College of Medical Sciences, Institut Latihan Perindustrian, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Sains dan UiTM.

Di laluan ini juga terdapat Masjid Daerah Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Pemilihan jalan ini adalah bertepatan dengan sumbangan dan minat Tun Hamdan Sheikh Tahir terhadap bidang pendidikan. Kerajaan Negeri berharap usaha ini sedikit sebanyak akan membangkitkan rasa kecintaan kepada tokoh terbilang anak negeri kita oleh rakyat terutamanya golongan muda yang lahir selepas zaman beliau dan seterusnya dijadikan contoh untuk memastikan kejayaan di dalam kehidupan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada keluarga Almarhum Tun Hamdan Sheikh Tahir kerana membenarkan Kerajaan Negeri menggunakan nama beliau bagi menamakan semula jalan ini. Sekalung tahniah juga kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai, JKR Daerah SPU dan semua agensi yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Sekian, terima kasih.



 

  • Adakah anda mengasingkan sisa pepejal di premis anda?

UNDIAN