logo penang 2030

A A  Arial | PT Sans | Century
faq hubungi maklumbalas peta

 

suk penang logo

TEKS UCAPAN 

MAJLIS SAMBUTAN MAAL HIJRAH

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 1443H / 2021M

PADA 9 OGOS 2021M / 30 ZULHIJJAH 1442H JAM 9:00 MALAM

MEDIUM FACEBOOK

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahirrahmanirrahim

Yang Berhormat Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin bin Haji Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang

YB. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Wan Salim bin Wan Mohd Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB. Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri

YB. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Ahli-ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Dato', Datin, Tuan-tuan, Puan-puan, muslimin dan muslimat sekalian.

1.      Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya jua, kita dapat berada dalam suatu perhimpunan secara maya sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1443 Hijrah. Semoga perhimpunan kita pada malam ini diberkati, diredhai dan diterima sebagai amal soleh oleh Allah SWT.

2.      Tahun hijrah 1442 bakal berlalu pergi dan esoknya pula bermula tahun baru mengikut kalendar hijrah. Begitu pantas masa berlalu, seiring dengan tempoh hayat kita yang semakin singkat.  Oleh itu, sentiasalah kita memanfaatkan usia yang masih berbaki untuk berbuat kebaikan selaras dengan tugas sebagai hamba dan juga khalifah Allah di muka bumi ini yang semakin mencabar dan kompleks.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

 3.      Malaysia khususnya dan dunia amnya kini sedang menghadapi suatu perubahan kehidupan yang begitu mendadak akibat daripada pandemik Covid-19. Baik dari segi sosial, ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

Suka atau tidak, kita terpaksa menghadapinya dan menyesuaikan diri dengan norma baharu kehidupan berserta pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan. Lazimnya, kita akan terasa janggal untuk membiasakan perkara baharu. Namun, kita perlu berjuang dan terus berjuang sehingga menjadi suatu kebiasaan. Bak kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”.

4.      Perubahan ini merupakan suatu bentuk penghijrahan. Ia penting bagi memenuhi maqasid syariah (objektif syariat) yang mengutamakan penjagaan nyawa demi kelangsungan hidup yang sejahtera. Hijrah bukan sekadar lintasan sejarah tetapi suatu tuntutan agama yang berterusan.  Justeru, saya melihat sambutan Maal Hijrah Tahun 1443 ini sangat bermakna dan begitu relevan sekali dengan penghijrahan yang disebutkan ini.

5.      Nilai-nilai penting yang tersirat di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah ini hendaklah dihayati sepenuhnya. Ternyata ada perkiraan besar yang dihitung oleh Saidina Umar al-Khattab sewaktu menjadikan hijrah Nabi SAW sebagai asas dalam pergerakan tahun baru Islam.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

 6.      Merujuk kepada sirah Rasulullah SAW, penghijrahan ini diiringi bersama suatu hala tuju yang jelas berasaskan panduan agama yang sedia ada.  Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah, ayat 48 yang bermaksud:

“..,,,Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, kami jadikan (tetapkan) syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)”. …

7.      Hala tuju ini pula didokong kuat oleh para sahabat RA yang telah dibangunkan jiwa dan rohaninya melalui Manhaj Rabbani. Sa’id Hawwa melalui penulisannya Ihya’ al-Rabbaniyyah menjelaskan bahawa asas kepada konsep rabbani ini ialah penguasaan ilmu Islam klasik dan moden, penekanan akhlak Islamiah yang sempurna, penyuburan tarbiah rohani yang jitu serta berparadigma haraki (gerakan Islam) yang sesuai dengan tuntutan arus perdana.  Lebih jelas, ianya boleh dirumuskan kepada 3 elemen utama iaitu thaqafi (keilmuan dan keintelektualan), ruhi (kerohanian dan penyucian jiwa) dan da’wa al-haraki (aktivisme atau gerakan dakwah berteraskan amar makruf nahi mungkar).

8.      Justeru, “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” yang telah dipilih sebagai tema Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini adalah sangat menepati nilai hijrah yang boleh diambil pengajaran dan teladan.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

 9.      Generasi rabbani sudah pasti dapat menerima dan menyesuaikan diri dengan apa jua bentuk perubahan dan tuntutan penghijrahan selagi mana ianya masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh agama.  Ia dibangunkan melalui pemerkasaan budaya ilmu dan pengamalan berterusan. Seterusnya, berkembang kepada pembangunan ummah rabbani melalui aktiviti penyampaian ilmu yang berkesan dengan kemampuan menyantuni kepelbagaian agama, budaya, bangsa dan segenap lapisan masyarakat. Kemuncak natijahnya ialah keupayaan membangunkan ummah yang berkualiti.

10.    Saya difahamkan bahawa pembangunan modal insan melalui Manhaj Rabbani ini telah pun diambil kira oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui “Pelan Pembangunan Khaira Ummah” yang telah dilancarkan pada tahun 2019. Ia diinspirasikan daripada firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah Ali ‘Imran, ayat 110 yang bermaksud;

"….Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”

 11.     Khaira Ummah ini merujuk kepada umat yang terbaik yang pernah Allah SWT utuskan buat manusia. Tunjangnya adalah memahami asas konsep kekhalifahan dan konsep hamba Allah yang patuh dalam melaksanakan tuntutan agama. Zaman emas Khaira Ummah ini tergagas semasa pentadbiran ar-Rasul Muhammad SAW selepas berhijrah ke Madinah al-Munawwarah.

12.    Berbekalkan motivasi inilah MMK Hal Ehwal Agama Islam di bawah YB Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah merangka pelan pembangunan 10 tahun khusus buat umat Islam Pulau Pinang yang dinamakan sebagai Khaira Ummah 2030.  Pelan ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi wawasan Penang 2030.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

13.    Khaira Ummah 2030 menyasarkan kejayaan perancangannya menerusi visi; “Mempersiap umat Islam yang terbaik untuk Pulau Pinang menjelang tahun 2030”. Demi mencapai visi ini, misi yang telah digariskan adalah; “Memberdayakan umat Islam Pulau Pinang menerusi program pembangunan keilmuan, ekonomi, kekeluargaan, anak muda & kerohanian menjelang tahun 2030.” Semoga Allah mempermudahkan segala usaha kita untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

14.    Buatlah yang terbaik. Pesan Saidina Ali bin Abi Talib RA: Jadilah yang terbaik pada pandangan Allah. Jadilah yang terburuk pada pandangan mata sendiri. Jadilah sederhana pada pandangan mata manusia”.

15.    Akhir kata, dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1443H bersamaan 2021M. 

Sekian, terima kasih.

Wabilahi Taufiq Walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh. 

Recommended Post

Tingkat 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel:+604-6505100
Faks : +604-2634940
Talian Aduan : +604-2634002
Emel : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my

1201175
Capaian Bulan Ini:: 5,967
Capaian Keseluruhan: 1,201,175
  • Dikemaskini pada: 07 May 2024.

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6, Google Chrome, Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024 x 768