logo penang 2030

A A  Arial | PT Sans | Century
faq hubungi maklumbalas peta

 

suk penang logo

                                                         

TEKS UCAPAN PERUTUSAN KHAS

                                                          TUAN YANG TERUTAMA TUN DATO’ SERI UTAMA                                                       

AHMAD FUZI BIN HAJI ABDUL RAZAK

YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1442H / 2021M

PADA 13 MEI 2021 (KHAMIS) 1 SYAWAL 1442H

 TYTRAYA1

TYTRAYA2

 

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi sekalian,

Saya dan Toh Puan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri khususnya kepada muslimin dan muslimat, serta semua rakyat Negeri Pulau Pinang amnya.

Tahun ini merupakan kali kedua bagi umat Islam menyambut  Hari Raya Aidilfitri ketika mengharungi pandemik COVID-19. Seperti semua sedia maklum, 3 daerah dan 3 mukim di negeri ini telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 10 Mei hingga 23 Mei 2021 dan ada daerah serta mukim berada di bawah   Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, kerjasama semua rakyat negeri ini untuk mematuhi S.O.P. dan arahan pihak berkuasa amatlah diharapkan.

Kita seharusnya bersyukur kerana masih lagi dapat menyambut Hari Kebesaran dan Kemenangan ini, bersama-sama keluarga terdekat dan rakan taulan yang berada di Pulau Pinang.

Rakyat Negeri Pulau Pinang yang saya kasihi sekalian,

Sempena dengan kedatangan bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita bersama-sama menghargai jasa, komitmen, dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang telah berkhidmat dengan penuh gigih bagi  membendung penularan pandemik COVID-19. Saya amat menghargai pengorbanan mereka yang perlu bertugas pada hari lebaran, terutamanya kepada petugas perkhidmatan kesihatan, Polis Diraja Malaysia, anggota Angkatan Tentera Malaysia dan semua anggota agensi kerajaan yang bertugas menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara dan negeri kita.

Ingin saya ingatkan kepada muslimin muslimat ketika menyambut Hari Raya mengikut norma baru, marilah kita bersama- sama memainkan peranan masing-masing dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19, dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa.

Aktiviti bersalaman, berpelukan dan sentuhan masih tidak dibenarkan mengikut S.O.P. semasa. Manakala aktiviti ziarah dari rumah ke rumah pula perlu mematuhi S.O.P. yang ditetapkan dengan penuh disiplin.  Kita perlulah sentiasa menjaga jarak fizikal, mengelakkan diri dari tempat yang sesak dan sempit, mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan sentiasa memakai pelitup muka.  Semua ini adalah penting bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing.

Saya juga ingin menarik perhatian umat Islam sekalian tentang wujudnya dalam kalangan kita mereka yang terpaksa hidup dalam kesusahan dan kesempitan akibat hilang pekerjaan dan pendapatan disebabkan COVID-19.  Berpandukan kepada ajaran Islam, marilah kita sama-sama membantu mereka mengikut kemampuan masing-masing ketika menyambut Hari Raya yang mulia ini.

Biarpun ada dalam kalangan kita tidak dapat pulang ke kampung untuk berhari raya bersama ibu bapa serta sanak saudara disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pada hari yang mulia ini, saya ingin mengajak muslimin muslimat supaya menerima keadaan ini seadanya serta menyambut Hari Kebesaran dan Hari Kemenangan ini dengan rasa syukur kerana masih lagi diberi kesihatan yang baik untuk menyambutnya dengan ahli keluarga tercinta.

Sekali lagi saya ingatkan agar semua muslimin muslimat   mematuhi S.O.P. yang ditetapkan kerajaan.  Akhir kata, saya dan Toh Puan berdoa, agar muslimin muslimat khasnya dan rakyat Pulau Pinang amnya, sentiasa dilindungi Allah S.W.T dan sentiasa berada dalam keadaan sihat wal’afiat dan diberikan kesabaran serta kekuatan untuk mendepani cabaran COVID-19. Mudah-mudahan kita berjaya memutuskan rantaian COVID-19 dan dapat menjalankan kehidupan seharian seperti sedia kala.  In Shaa Allah.

“SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN
KEPADA SEMUA RAKYAT PULAU

TYTRAYA3

Recommended Post

Tingkat 25, KOMTAR, 10503 Pulau Pinang
Tel:+604-6505100
Faks : +604-2634940
Talian Aduan : +604-2634002
Emel : webmaster[at]penang[dot]gov[dot]my

1201267
Capaian Bulan Ini:: 6,059
Capaian Keseluruhan: 1,201,267
  • Dikemaskini pada: 07 May 2024.

Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox 3.6, Google Chrome, Internet Explorer 8.0 dengan resolusi skrin 1024 x 768