Color Chooser : default red contrast
A- A A+
Log in Register

Login to your account

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Email *
  • BACKGROUND 4.jpg
  • botani.gif
  • penang hill.gif

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PROJEK PENGURUSAN

SISA PEPEJAL PULAU BURONG

31 OKTOBER 2012

HOTEL TRADERS


Terima kasih Pengacara Majlis

Yang Berhormat Dato' Mansor bin Othman, Timbalan Ketua Menteri I

Yang Berhormat Tuan Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy, Timbalan Ketua Menteri II

Yang Berhormat Dato’ Farizan Bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Dato’ Mokhtar Bin Jait, Pegawai Kewangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

Yang Berhormat Ahli-ahli DUN

Yang Dipertua MPPP dan MPSP

Ahli-ahli Majlis MPPP dan MPSP

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan Media, serta

Para hadirin yang saya hormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya telah kerap kali sebutkan semasa di dalam beberapa majlis yang lalu bahawa Kerajaan Negeri amat menitik beratkan kebersihan; kerana ianya merupakan antara perkara yang terpenting dalam kehidupan kita. Kebersihan adalah keimanan. Cleanliness is next to Godliness.

Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif Cleener, Greener, Safer & Healthier Penang sebagai tanda aras ke arah status sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa dan pintar.

Demi menjayakan Inisiatif Cleener, Greener, Safer & Healthier Penang ini, Kerajaan Negeri telahpun merancang pendekatan baru yang sesuai yang melibatkan pihak swasta menerusi Public Private Partnership (PPP) untuk mengatasi masalah kebersihan. Kesan PPP dalam inisiatif Cleener, Greener, Safer & Healthier Penang ini telah semakin menampakkan hasil termasuklah penglibatan konsisten daripada rakyat Negeri Pulau Pinang.

Dalam menjayakan inisiatif ini menerusi PPP, Kerajaan Negeri berpegang kepada prinsip ”Think Global, Act Local” demi memastikan semua usaha mestilah dijalankan oleh orang tempatan bagi memastikan kejayaan inisiatif ini.

Pendekatan yang diamalkan boleh dilihat pada hari ini. Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah diwartakan pada 30 Ogos 2007. Akta 672 ini digubal bagi memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Dengan berpandukan prinsip ”Think Global, Act Local”, Pulau Pinang telah menarik diri daripada skim penswastaan di bawah Akta 672 dan telah memilih untuk menguruskan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam melalui pihak berkuasa tempatan dengan mekanisme tersendiri dan tidak menggunapakai e-Idaman sebagai syarikat konsesi (concessionaire).

Kerajaan Negeri yakin kedua-dua PBT telah menjalankan tugas dengan efektif dan berkesan dari segi pembersihan, pengutipan sampah, pemindahan sampah, dan pelupusan sampah. Tambahan pula, ia juga dapat menjimatkan wang dengan mengurangkan perbelanjaan.

Hadirin Sekalian,

Kita semua sedia maklum bahawa Negeri Pulau Pinang mempunyai anggaran 1.6 juta penduduk dan menjana kira-kira 1,700 tan sisa pepejal setiap hari. Luas kawasan negeri Pulau Pinang ialah 292 kilometer persegi. Namun hanya terdapat satu tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Pinang, yang pada mulanya bertapak di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah tetapi telah berpindah ke Pulau Burong pada tahun 2001, apabila kapasiti maksimum tercapai.

Selaras dengan prinsip Cekap Akauntabiliti Telus (CAT), tender terbuka secara kompetitif diadakan untuk mengurus dan menyelenggara tapak pelupusan di Pulau Burong mengikut terma-terma yang di tetapkan. Ini bagi menjamin kontraktor yang terbaik dan cekap dipilih.

Saya masih ingat, setelah mengambil alih tampuk pemerintahan Pulau Pinang pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah mengadakan rundingan semula harga pengurusan sisa pepejal dengan syarikat yang berkaitan sebaik tempoh kontrak syarikat itu tamat pada 31 Julai 2009. Ini adalah kerana harga pembayaran yang ditentukan adalah terlalu tinggi dan tidak berkepentingan awam kerana merupakan salah satu lagi projek kroni. Hakikat ini terbukti apabila Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan kos sebanyak RM11.2 juta setiap tahun atau 42.4% untuk tempoh 3 tahun. Kos penjimatan adalah RM33.5 juta untuk kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan ini membuktikan keberkesanan CAT dalam menjimatkan wang rakyat dengan menolak kroni.

Kini tapak pelupusan Pulau Burong yang sedia ada iaitu di fasa 2 hampir penuh dan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan telah menjalankan tender terbuka untuk memilih syarikat yang berpengalaman dan berminat untuk mengurus dan menyelenggara infrastruktur dan kemudahan di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada di fasa 2, membina sebuah tapak pelupusan sisa pepejal sanitari Taraf IV yang baru di fasa 3 dan membina satu loji rawatan leachate untuk merawat lecheate daripada sisa pepejal di fasa 1, 2 dan 3.

Hadirin Sekalian,

Hari ini merupakan hari yang bersejarah di mana perjanjian akan termetarai bagi pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan Pulau Burong di antara Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. Kerana telah berjaya dipilih bagi menguruskan tapak pelupusan Pulau Burong. Saya difahamkan bahawa semasa proses pemilihan, Jawatankuasa Tender Pulau Burong yang dipengerusikan oleh YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri telah menilai lima (5) syarikat yang layak melalui pembentangan syarikat masing-masing pada 22 Ogos 2011.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Bahagian Kerajaan Tempatan, MPSP, MPPP, Jabatan Alam Sekitar dan semua yang terlibat dalam dari peringkat perancangan sehinggalah ke peringkat pemilihan. Saya yakin perjanjian hari ini akan ditandangani dengan penuh rasa bangga kerana manfaatnya kepada rakyat Pulau Pinang adalah tidak ternilai.

Sekian, terima kasih.