Color Chooser : default red contrast
A- A A+
Log in Register

Login to your account

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Email *
  • BACKGROUND 4.jpg
  • botani.gif
  • penang hill.gif

Ucapan Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang YAB Tuan Lim Guan Eng Sempena Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat (Kebangkitan Wanita Martabatkan Perubahan) Pada 13 Mac 2011 (9.15am) Di Auditorium A, KOMTAR

YB Chong Eng Pengerusi Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat

Ketua- ketua Wanita Negeri Pakatan Rakyat,

Yang Berhormat- Yang Berhormat,

Para perwakilan Wanita Pakatan Rakyat

Para Media dan Wartawan.

Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua.

Selamat Hari Wanita Sedunia.

Hari ini merupakan hari bersejarah apabila julung-julung kalinya Wanita Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang mengadakan Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang di negeri ini. Pada hari ini kita melihat perwakilan wanita Pakatan Rakyat bergabung tenaga, dalam arus kebangkitan wanita negeri kea rah menyempurnakan perubahan untuk selamatkan Malaysia dan khususnya negeri ini. Pada tanggal 1hb April 2008 merupakan hari bersejarah dalam negara ini kerana pada hari tersebut Pakatan Rakyat diwujudkan hasil inspirasi Harapan Baru untuk Malaysia dan khususnya negeri Pulau Pinang. Gabungan ketiga-tiga parti – Parti Keadilan Rakyat, Democratic Action Party (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan satu gabungan hasil kebangkitan rakyat dalam menuntut hak rakyat dan pembebasan daripada kezaliman pemerintahan negara ini. Pakatan Rakyat juga mewakili wanita daripada pelbagai kaum dan agama serta membela nasib dan hak wanita di negara ini.

Peranan wanita sebagai ibu, pendidik dan penggerak masyarakat amat penting dalam membawa perubahan kepada pembangunan masyarakat dan tamadun sesebuah negeri. Senang diulangi sekiranya seorang lelaki dididik, kita didik seorang individu. Bila kita didik seorang wanita, kita didik sebuah keluarga. Siapa di antara kita tidak terhutang budi kepada ibu atas kasih sayang dan asuhan yang membolehkan kita menjadi insan yang berguna?

Dewasa ini kita melihat golongan wanita bertugas sebagai ahli profesional, teknokrat, usahawan, intelektual, ahli-ahli politik, kakitangan pengurusan dalam sektor awam dan sektor swasta.

Menyedari hakikat ini, semenjak mengambil alih pentadbiran negeri, Pakatan Rakyat telah melaksanakan beberapa tindakan dalam pembangunan tenaga wanita di negeri ini. Kerajaan Negeri telah memberi pengiktirafan dan peluang terhadap guna tenaga dan kepakaran golongan wanita kepada jawatan utama Kerajaan Negeri. Sebelum ini hanya ada dua orang yang memegang jawatan utama dalam Kerajaan Negeri. Kini bilangan ini telahpun bertambah kepada 8 orang iaitu:

Penasihat Undang-Undang Negeri Dato` Faiza Bt Zulkifli

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Cik Patahiyah Ismail

Pengurus Besar Invest Penang, Loo Lee Lian

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan, Hajjah Rohani binti Hassan

Pengurus Besar Penang Global Tourism, Cik Ooi Geok Ling

Setiausaha Akhbar kepada YAB Ketua Menteri, Cheong Yin Fan

Dan yang terbaru, Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Puan Maimunah Sharif

Ianya adalah suatu pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam pembangunan negeri ini. Perlantikan ini juga merealisasikan impian wanita Pakatan Rakyat dalam 30% penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan dan dasar . Ianya juga membuka peluang baru dalam pemberdayaan wanita di negeri ini. Isu pemberdayaan wanita adalah amat penting untuk pembangunan golongan wanita kerana mereka juga merupakan aset penting dalam negeri ini. Saya yakin inisiatif kerajaan negeri dalam usaha pemberdayaan wanita akan meningkatkan motivasi dan semangat di kalangan golongan wanita generasi ke 2 khususnya di bawah umur 40 tahun untuk menuntut ilmu dan maju ke depan dalam peranan wanita untuk keluarga, masyarakat dan negeri.

Keselamatan wanita di negeri ini turut diambil kira kerana negeri selamat masyarakat sejahtera. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif mengadakan rondaan polis daripada kumpulan sukarelawan dan pemasangan CCTV di beberapa lokasi strategik bagi membantu memantau negeri dan mengurangkan kadar jenayah. Bilik CCTV yang pertama kali diwujudkan di Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang dan MPSP merupakan suatu langkah yang bijak dalam keperihatinan kerajaan negeri tentang isu keselamatan dan keberkesanan pemantaun persekitaran di negeri ini.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Dato' Wira Ayub Hj. Yaakob kerana hasilnya terbukti apabila indeks kadar jenayah negeri ini menurun paling banyak di Malaysia pada 2010 dan rakyat menikmati keselesaan keselamatan di negeri ini. Peningkatan kualiti operasi Majlis Perbandaraan dan polis dalam usaha mewujudkan suasana bandar yang lebih selamat merupakan pelaksanaan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat khususnya kepada golongan wanita. Hasilnya kita melihat golongan wanita merasai nikmat negeri yang selamat dan kehidupan yang lebih sejahtera.

Kebajikan golongan wanita diberi perhatian untuk pembangunan sosial dan membantu menangani permasalahan golongan wanita. Kerajaan negeri telah mengambil langkah seperti memberi sumbangan warga emas dalam menghargai golongan warga emas yang merangkumi juga golongan wanita yang telah berusia tua. Usaha ini diperluaskan dengan pemberian sumbangan kepada golongan ibu tunggal. Bersama dengan pinjaman mikro kredit ia memberi gambaran yang positif akan usaha kerajaan negeri untuk membantu menyelamatkan wanita daripada permasalahan kesusahan dan kemiskinan kehidupan.

Peranan wanita sebagai penyumbang ekonomi dan guna tenaga penting di negeri ini turut mendapat perhatian kerajaan negeri. Kemudahan infrastruktur yang baik amat penting dalam memberi kemudahan kepada golongan wanita dari pelbagai status sama ada OKU ( Orang Kelainan Upaya), warga emas, ibu mengandung dan wanita bekerja.Contohnya Kerajaan Negeri telah memberi perhatian serius peningkatan kualiti dan laluan bas pengangkutan awam untuk membantu perjalanan wanita di negeri ini dalam keadaan selamat dan kos rendah. Terkini bagi membantu wanita dalam sektor ekonomi khususnya perindustrian, usaha Kerajaan Negeri dalam kempen Park & Ride, di mana dengan bayaran RM1 untuk letak kereta sepanjang hari di Sunway Carnival, mereka boleh menaiki bas rapid yang disediakan secara percuma ke tempat kerja di Bayan Lepas. Ini merupakan suatu inisiatif memudahkan perjalanan wanita ke tempat kerja dengan kos rendah dan selesa tanpa bebanan kos perjalanan tinggi dan mengurangkan tekanan kesesakan lalu lintas.

Setelah 3 tahun memerintah, hari ini Wanita Pakatan Rakyat berada di ambang pilihanraya yang akan menjelma tidak lama lagi. Dengan itu , sayap wanita harus mengambil pelan tindakan yang penting dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam pilihanraya nanti. Sayap wanita harus berusaha meningkatkan keahliaan, daftar pengundi, program-program mendekati golongan wanita dan menyebarkan maklumat dasar, polisi dan amalan kerajaan negeri untuk pembangunan wanita. Sayap wanita haruslah bergerak ke seluruh kawasan dalam negeri dan mendekati masyarakat serta membantu permasalahan masyarakat kerana wanita adalah penentu menang kalah. Saya yakin permuafakatan sayap wanita Pakatan Rakyat yang jelas dalam konvensyen hari ini adalah suatu petanda positif kea rah kerjasama yang mampan untuk pembangunan golongan wanita di negeri ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan pada pagi ini, Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus berusaha bagi memastikan konvensyen kali ini berjalan lancar.

Kita mesti berani berdepan dalam menangkis fitnah yang dilemparkan ke atas kita oleh parti lawan yang bersifat perkauman dan ekstremis. Apa pun akan diputar belitkan. Daripada putih menjadi hitam dan hitam menjadi putih. Kita mesti berani kerana benar dan kita boleh lihat melalui perangai bersifat jahat dan munafik mereka melalui:

          i.   Bila bercakap, mereka berbohong

          ii.  Bila berjanji, mereka memungkari

          iii. Bila diberikan amanah, mereka khianati

          iv. Bila berbahas hanya mahu bergaduh dan bukannya berdasarkan logik dan kebenaran.

          v.  Tidak memahami erti kebenaran

Betulkanlah niat kita iaitu untuk ikhlas dalam perjuangan. Buktikanlah keupayaan Wanita Pakatan Rakyat untuk menerajui perubahan. Saya menyeru agar kita sama-sama berusaha dan berganding bahu dalam menuju “Selamatkan Malaysia”. Harapan yang akan menyaksikan kebangkitan wanita dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai Negara makmur, berdaulat dan berdaya. Harapan yang bakal mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai bidang dan harapan yang membawa perubahan kesejahteraan negara ini. Itulah Harapan Selamatkan Malaysia ! Ini adalah tanahair kita. Ini adalah negeri kita. Marilah kita bersama-sama bermuafakat membawa harapan rakyat untuk Selamatkan Negara ini .

Sekian dan selamat berkonvensyen.

Sekian, Terima Kasih.