Color Chooser : default red contrast
A- A A+
Log in Register

Login to your account

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Email *
  • BACKGROUND 4.jpg
  • botani.gif
  • penang hill.gif
  • hari malaysia bi
  • CAT english
  • myidbi
  • erumah
  • banner ebayar bi
  • catkerja
  • isejahterabi
info-trafik-en  info-solat-en  info-cuaca-en 

Penang This Month

  • Lantern Festival



    Date :8 September 2014
    lantern festivalTime : 8pm - 12 pm
    Venue : Insa Dunia, Kampung Baru, Bukit Mertajam
    Contact : 012-473 3648
    Organiser : Persatuan Hainan Seberang Perai
  • Navratri Festival

    Date : 25 September – 4 October 2014
    Time : 6pm - 10 pm
    navaratriVenue : Penang
    Organiser : Penang Hindu Endowment Board
    Contact : 04-650 5215
  • Nine Emporer Gods Festival

    Date : 24 September - 2 October  2014
    nine emperorVenue : Rumah Berhala Tow Boo Kong, Burmah Road, Maccalum St Gauht, Jelutong, Nordin Street, Farlim, Butterworth, Bukit Mertajam
    Website : http://www.towbookong.org.myContact : 04- 650 5136  

  • Ghost
  • Navarathiri
  • Nine Emperorl

TEKS UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG MENGENAI RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN
DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2011

DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA 2 NOVEMBER 2010


BAJET KERAJAAN NEGERI
KE ARAH MEMARTABATKAN RAKYAT
NEGERI PULAU PINANG

Y.B. Dato' Speaker,


BAJET NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2011

Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bernama Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2011 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan tahun itu dibaca kali kedua.

PENDAHULUAN


Y.B. Dato' Speaker,


1. Sempena dengan persidangan Dewan yang mulia ini dan sebelum saya membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2011, saya bagi pihak Kerajaan Negeri mengambil kesempatan di sini merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri di atas segala pandangan, tunjuk ajar dan nasihat yang telah diberi bagi memajukan Negeri Pulau Pinang. Semoga Tuhan sentiasa meredhakan T.Y.T. dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan dalam keadaan sihat dan selamat untuk terus menerajui negeri bertuah ini.

2. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua Ahli Yang Berhormat dan hadirin yang beragama Hindu yang akan merayakannya pada 5 November 2010 nanti.

3. Bajet 2011 ini memberi pengertian yang amat bermakna kerana ia merupakan bajet kali ketiga yang dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, dan lebih penting lagi merupakan bajet tahun pertama dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) akan melabuhkan tirai tidak lama lagi dalam masa 59 hari, dan kita akan mula mengorak langkah ke RMKe-10 yang akan bermula tahun 2011 hingga 2015.

4. Agenda dan strategi utama Kerajaan Negeri dalam tahun 2011 ialah untuk memastikan pembangunan negeri terus maju dan kekal ke hadapan dan Pulau Pinang menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Ke arah ini, ianya memerlukan penggemblengan semua pihak; iaitu anggota perkhidmatan awam yang berupaya mentransformasikan perkhidmatan awam yang bertaraf antarabangsa selaras dengan konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), pihak swasta akan terus memainkan peranan utama dalam menjana transformasi terutama di dalam sektor perdagangan serta ekonomi dan rakyat negeri ini keseluruhannya untuk terus memberi mandat dan kepercayaan yang jitu dan tulen kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda memartabatkan rakyat negeri ini dengan berkonsepkan 3P iaitu perkasakan rakyat, perkuasakan rakyat dan perkayakan rakyat.

5. Kerajaan Negeri sejak mengambilalih pemerintahan mulai Mac 2008 telah mengamalkan perbelanjaan berhemah dan urus tadbir berlandaskan prinsip CAT telah berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan. Bagi dua tahun berturut-turut sebelum ini Kerajaan Negeri telah mencatat lebihan dalam belanjawannya, iaitu lebihan sebanyak RM88.02 juta pada akhir tahun 2008 berbanding jangkaan defisit RM35.66 juta, dan diulangi lagi pada tahun 2009 iaitu lebihan sebanyak RM77.34 juta berbanding jangkaan defisit RM39.46 juta. Jumlah lebihan bagi tahun 2009 akan menjadi lebih besar iaitu RM92 juta sekiranya bayaran untuk skandal tanah Tang Hak Ju sebanyak RM14.7 juta tidak dibayar pada tahun 2009 lalu.

6. Pentadbiran CAT Pulau Pinang telah dipuji serta mendapat pengiktirafan oleh badan antarabangsa anti-rasuah iaitu Transparency International. Kejayaan Kerajaan Negeri dalam membanteras rasuah dan mengukuhkan kedudukan kewangannya, telah membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan program-program sosial yang mengutamakan rakyat dalam tahun semasa 2010, seperti:
i. Program penghargaan warga emas dengan bayaran tahunan RM100.00 kepada penduduk berusia 60 tahun ke atas dan sumbangan RM1,000.00 kepada waris warga emas yang meninggal dunia yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta setahun. Program mulia lagi murni ini telah ditohmahi kononnya pembayaran yang dilakukan kepada warga emas dan juga kepada rakyat miskin ialah daripada sumbangan yang diterima daripada sumber tidak halal iaitu sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda. Sesungguhnya Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat sekali lagi menegaskan di sini bahawa pemberian program warga emas yang telah dibuat ialah daripada peruntukan RM20 juta dari hasil Kerajaan Negeri yang telah dikhususkan dalam bajet 2010 dan bukan sumbangan Kelab Lumba Kuda ataupun mana-mana syarikat;

ii. Program bantuan pendidikan sebanyak RM11.3 juta setahun yang dimanfaati oleh 172 buah sekolah meliputi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dan Sekolah Mubaligh;

iii. Bantuan kewangan bulanan bagi memastikan Ketua Isi Rumah terkeluar daripada kepompong miskin tegar yang menelan belanja sebanyak RM2.3 juta setahun;

iv. Pemberian ex gratia kepada penyelia dan guru-guru kelas KAFA, bayaran saguhati pegawai-pegawai masjid, sumbangan kepada guru KAFA dan sumbangan kepada para huffaz yang menelan belanja keseluruhannya sebanyak RM2.749 juta setahun;

v. Dan pelbagai sumbangan dan bantuan-bantuan lain yang telah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat Pulau Pinang samada secara langsung dan tidak langsung.

7. Dalam pembentangan bajet semasa 2010 pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan bajet berdefisit sebanyak RM78.98 juta supaya dapat memberangsangkan lagi perkembangan dan pertumbuhan ekonomi negeri. Namun begitu berdasarkan tadbir urus CAT, setakat 15 September 2010 Kerajaan Negeri masih berupaya mencatat lebihan RM53 juta berbanding defisit RM78.98 juta yang dijangka. Sekiranya keadaan kewangan masih boleh dikekalkan maka defisit RM78.98 juta boleh dikurangkan ataupun mencapai lebihan.

DASAR DAN STRATEGI PEMBANGUNAN NEGERI

8. Dalam tempoh 2001 hingga 2010, Pelan Strategik Pembangunan Pulau Pinang Kedua atau 2nd Penang Strategic Development Plan (PSDP2) telah mencarta pembangunan negeri ini pada dekad pertama era milineum. Selanjutnya Kerajaan Negeri telah menggubal Penang Blueprint yang turut memberi penekanan kepada pembangunan lestari, daya saing ekonomi, keseimbangan ekologi, nilai penyayang dan berkongsi, budaya segar dan urus tadbir baik. Penang Blueprint ini juga akan bertindak sebagai pelan induk untuk mencarta pembangunan Pulau Pinang bagi tempoh 5 tahun akan datang, mulai tahun 2011 hingga 2015 dan bakal mendorong untuk memacu pembangunan negeri ke taraf dan persada antarabangsa dan ekonomi berpendapatan tinggi dengan jayanya.

USAHA MEMACU DAN MENINGKATKAN DAYA SAING EKONOMI

i. Mempertingkatkan Sektor Perindustrian

9. Bagi tahun 2010, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk memperolehi sekurang-kurangnya RM4.2 bilion nilai pelaburan, iaitu sekali ganda jumlah pelaburan 2009 sebanyak RM2.1 bilion. Sehingga Julai 2010, Pulau Pinang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.25 bilion. Kejayaan ini telah menempatkan Pulau Pinang sebagai negeri ketiga selepas Selangor dan Johor dalam menarik pelaburan terbesar di Malaysia. Selanjutnya bagi memastikan permintaan oleh pelabur asing ke negeri ini dapat dipenuhi, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah dan sedang meneruskan perancangan mengambil langkah memperluaskan kawasan perindustrian di Seberang Perai. Bagi tujuan ini kawasan seluas 121.86 ekar di Juru, Seberang Perai Tengah, sedang dibuat pengambilan balik tanah bagi membolehkan Projek Fasa 1 Taman Sains Pulau Pinang dibangunkan.

10. Untuk memastikan sasaran nilai pelaburan RM4.2 bilion tercapai, Kerajaan Negeri juga melalui investPenang telah mempelbagaikan aktiviti-aktiviti galakan pelaburan bagi sektor-sektor baru yang berpotensi menjana pulangan yang besar khususnya yang berteknologi tinggi melalui inisiatif awam-swasta atau dengan izin public-private partnership. Empat (4) sektor utama yang menjadi fokus kepada rancangan galakan pelaburan oleh Kerajaan Negeri ialah LED atau dengan izin light emiting diode, peralatan perubatan, solar dan fotovoltaik dan pelancongan perubatan.

11. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri juga melaksanakan kajian rantaian bekalan untuk industri-industri strategik di atas bagi mengenalpasti syarikat-syarikat multi nasional (MNC) yang boleh digalakkan untuk melabur di Pulau Pinang di samping mengenalpasti peluang-peluang yang wujud bagi syarikat-syarikat enterpris kecil dan sederhana tempatan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan syarikat-syarikat MNC.

12. Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat menghadapi krisis ekonomi ini juga telah dizahirkan dengan penubuhan Pusat Kerjaya dan Latihan Negeri Pulau Pinang atau Penang CAT (Career Assistance and Training) Centre pada 4 Mac 2009. Sepanjang operasi pusat ini sehingga Julai 2010, sebanyak 4,872 kekosongan jawatan daripada pelbagai sektor telah dikenalpasti dan daripada 3,123 orang yang mendaftar dengan Penang CAT Centre, 2,795 orang telah dipadan rujuk kepada majikan-majikan yang menawarkan jawatan-jawatan kosong tersebut.

13. Kini Pulau Pinang menghadapi masalah kekurangan pekerja yang boleh dilihat bukan sekadar bilangan pemberhentian kerja telah berkurangan daripada seramai 5,776 orang pada 2008 kepada 3,565 orang pada 2009. Malah 20,000 kekosongan pekerja di semua sektor sedia menunggu untuk diisi yang mencerminkan pemulihan ekonomi kepada tahap cergas sebelum krisis ekonomi global pada 2009.

14. Dalam memantapkan sektor perindustrian di Pulau Pinang ianya tidak terhad sekadar membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan semata-mata. Sebagai langkah jangka masa panjang bagi memastikan keperluan sektor ini terhadap modal insan profesional dan separa mahir dapat dipenuhi, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Majlis Sains Negeri Pulau Pinang atau dengan izin Penang Science Council pada 25 Januari 2010. Majlis ini digerakkan sepenuhnya oleh sektor swasta khususnya MNC untuk memasyarakatkan bidang sains dan teknologi. Dengan bertemakan "Ilhamkan Inovasi" atau dengan izin Inspiring Innovation, 5 tonggak telah dikenalpasti dan diketuai oleh nama-nama unggul dalam industri seperti Agilent, Motorola, Mini Circuits, Intel dan BBraun.

15. Salah satu daripada 5 tonggak ini ialah untuk mewujudkan sebuah Pusat Sains dan Teknologi yang akan dikenali sebagai Penang Tech Center yang dimodelkan mengikut contoh San Jose Tech Centre. Sebidang tanah telah dikenalpasti bagi tujuan pembinaan kompleks ini di Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas dan kos pembinaannya dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM100 juta yang akan dibiayai secara berkongsi atau bersama dengan pihak industri/swasta mengikut model Public Private Partnership. Penang Tech Center akan berfungsi bukan sahaja sebagai showcase perkembangan sains dan teknologi sepanjang pembabitan Pulau Pinang dalam industri pembuatan selama hampir 40 tahun, tetapi juga sebagai pusat sehenti (one-stop centre) bagi menyelaras dan memperluas aktiviti industri berkaitan bidang sains dan teknologi di negeri ini dalam usaha memperbanyakkan peluang perniagaan dan melahirkan tenaga kerja profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

ii. Merancakkan Sektor Pelancongan

16. Sektor pelancongan kini masih dan akan terus menjadi penyumbang kedua terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Pulau Pinang. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri mensasarkan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan pelbagai bertaraf antarabangsa dengan sasaran ketibaan pelancong seramai 6 juta orang pada tahun 2010 dan peningkatan pendapatan sektor ini daripada RM5.31 bilion pada 2000 kepada RM10.8 bilion pada tahun 2010. Adalah diharapkan 10 juta pelancong boleh melawat Pulau Pinang menjelang 2014.

17. Jumlah pelancong asing yang berkunjung ke Pulau Pinang menunjukkan peningkatan pada tahun 2009 seramai 2.97 juta orang berbanding 2.81 juta pelancong bagi tahun 2008. Untuk enam bulan pertama 2010 kenaikan adalah lebih ketara sebanyak 40% daripada 405,932 berbanding 244,146 untuk tempoh yang sama tahun lepas. Berdasarkan data yang diperolehi daripada Malaysia Association of Hotels, jumlah pelancong yang menginap di hotel-hotel di Pulau Pinang pada tahun 2009 ialah seramai 822,887 orang dan mereka telah membelanjakan sejumlah RM307.52 juta untuk tujuan penginapan.

18. Penglibatan Kerajaan Negeri secara langsung dan penyertaan anak syarikat PDC, Penang Global Tourism Sdn Bhd, sebagai wakil Kerajaan Negeri ke pameran dan ekspo antarabangsa telah berupaya menarik kemasukan pelancong ke negeri ini.

19. Pengiktirafan bandar George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008 merupakan satu pengiktirafan. Diantaranya adalah sambutan George Town Festival yang dianjurkan pada bulan Julai tahun ini dengan begitu berjaya yang memaparkan kepelbagaian kebudayaan dan warisan negeri ini dan akan diteruskan dalam tahun 2011. Demi mempromosi warisan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2.65 juta untuk tahun 2011.

20. Kerajaan Negeri juga telah melancarkan kempen 12 produk mesti beli, 12 tempat pelancongan menarik yang mesti dilawati di Pulau Pinang dan 12 makanan terbaik yang boleh didapati di Pulau Pinang sebagai langkah dan usaha untuk terus mempromosi dan menyemarakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Pinang.

21. Penubuhan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang yang secara khusus berperanan dalam membangunkan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancong bertaraf antarabangsa dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong. Peruntukan pembangunan sebanyak RM8.6 juta disediakan pada tahun 2011 bagi membiayai kerja-kerja yang perlu dijalankan bagi membangun dan menaik taraf kemudahan-kemudahan di Bukit Bendera untuk menarik lebih ramai pelancong. Produk-produk baru pelancongan juga sedang diwujudkan antaranya ialah menaik taraf kawasan gerai makan sebagai Penang Flag Hill Centre, pembinaan sebuah Titian Silara (Canopy Walk) yang baru, pembangunan semula Hotel Crag serta mewujudkan pakej untuk laluan-laluan denai atau trails bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semulajadi. Disamping itu projek menaik taraf Keretapi Bukit Bendera sebanyak RM63 juta dijangka siap pada Januari 2011.

22. Peruntukan sejumlah RM5.0 juta, yang merupakan tambahan RM2.0 juta daripada RM3.0 juta pada tahun 2010, akan diperuntukkan untuk tahun 2011 bagi merancak dan memperluaskan akitiviti-aktiviti promosi dan galakan pelancongan, bagi meletakkan Pulau Pinang sebagai destinasi global pelancongan.

iii. Menyedia Dan Meningkatkan Kemudahan Infrastruktur Dan Utiliti

23. Pembangunan prasarana pengangkutan dan kemudahan awam yang berkualiti merupakan asas dalam pembangunan ekonomi Negeri Pulau Pinang dan penyumbang utama kepada peningkatan kualiti hidup rakyat. Nisbah bilangan kenderaan kepada penduduk adalah 1:1 dengan bilangan kenderaan sebanyak 1,867,542.

24. Bagi memastikan rakyat di negeri ini sentiasa mendapat kemudahan infrastruktur jalan yang selesa dan selamat, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM28.71 juta bagi pelaksanaan 94 projek infrastruktur jalan dalam tahun 2011, berbanding RM10.52 juta yang disediakan dalam tahun 2010. Pertambahan peruntukan sebanyak RM18.19 juta atau 172.91 peratus untuk kemudahan infrastruktur jalan adalah sebagai jaminan sistem aliran lalulintas yang lebih selesa.

25. Oleh itu khusus bagi projek Pelebaran Jalan dan Menaik Taraf Jambatan di Jalan Song Ban Kheng, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan. Bagi menyelesaikan masalah kesesakan akibat keadaan jalan yang sempit (bottleneck) di Jalan Masjid Negeri, MPPP telah meluluskan satu kajian decongesting di jalan Masjid Negeri. Peruntukan yang telah diluluskan untuk menjayakan cadangan ini adalah sebanyak RM27 juta.

26. Memandangkan keseluruhan peruntukan pembangunan untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) yang disediakan pada tahun 2011 sebanyak RM33.76 juta merupakan peningkatan sebanyak RM20.19 juta berbanding peruntukan pembangunan tahun 2010 sebanyak RM13.57 juta, maka Kerajaan Negeri akan mewujudkan Jawatankuasa Pemandu Projek (JPP) khusus untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan JKR dan JPS serta menilai keberhasilan (outcome) dan impak program pembangunan yang dilaksanakan serta memastikan efisiensi, produktiviti dan integriti dapat dipertingkatkan.

27. Selain daripada itu, Projek Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System) yang merupakan projek penyelenggaraan sistem lampu isyarat bersepadu telah dilaksanakan bagi tujuan memastikan lampu-lampu isyarat sentiasa berada di dalam keadaan baik demi keselamatan pengguna jalan raya.

28. Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana turut membiayai projek-projek pembangunan infrastruktur mega di negeri ini. Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 km dengan kos sebanyak RM4.5 bilion sedang dalam proses pembinaan. Sehingga 31 Julai 2010, kemajuan fizikal projek adalah sebanyak 29 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2013. Manakala projek Landasan Berkembar Elektrik antara Ipoh dan Padang Besar yang bernilai RM12.5 billion sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2013. Sehingga 15 Ogos 2010, kemajuan fizikal projek landasan ini di Negeri Pulau Pinang adalah 41.04 peratus.

29. Projek Pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara Fasa 3 sedang rancak dijalankan melibatkan pembinaan dermaga kontena sepanjang 600 meter. Projek ini yang telah bermula pada tahun 2008 dijangka siap pada awal tahun 2011 dengan kos berjumlah RM840 juta. Pada masa yang sama, Penang Port Sdn Bhd (PPSB) juga sedang merancang untuk membangunkan Projek Centralized Tankage Facilities bersama sebuah syarikat swasta. Projek ini melibatkan pembinaan dermaga dan jambatan oleh PPSB dan pembinaan fasiliti tangki untuk penyimpanan minyak dan gas yang akan dijalankan oleh syarikat swasta terbabit. Projek ini bakal disiapkan menjelang tahun 2012 dengan kos dianggarkan sebanyak RM322 juta.

30. Selain daripada itu, Projek Capital Dredging yang dianggarkan bernilai RM352 juta melibatkan kerja-kerja mendalamkan Selat Utara dari paras 11 meter kepada 14.5 meter bagi laluan utama kapal-kapal masuk ke Pelabuhan Pulau Pinang masih belum diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

31. Kerajaan Negeri juga amat berharap agar Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dapat dilaksanakan di bawah RMKe-10 bagi memenuhi piawaian antarabangsa iaitu landasan sepanjang 4,000 meter untuk membolehkan pesawat yang lebih besar seperti Airbus 380 membuat pendaratan. Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta dalam tahun 2011 bagi membiayai kos pengambilan balik tanah-tanah yang terlibat untuk tujuan pembesaran lapangan terbang.

32. Bagi menambahbaik sistem pengangkutan dan pengurusan lalulintas ke arah yang lebih efisien, bersepadu dan mampan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM2 juta untuk pelaksanaan Kajian Pelan Induk Pengangkutan dan Pengurusan Lalu lintas Negeri Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan).

33. Kajian Pelan Induk Pengangkutan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri Pulau Pinang ini juga akan meneliti dengan lebih mendalam mod-mod pengangkutan air yang dilihat berpotensi untuk dijadikan alternatif kepada sistem pengangkutan awam darat sedia ada dalam penyelesaian isu kesesakan lalu lintas di negeri ini. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara untuk mengintegrasikan Kajian Perkhidmatan Teksi Air dalam kajian ini agar perkhidmatan teksi air yang akan dilaksanakan kelak benar-benar memberi impak kepada sistem pengangkutan awam di negeri ini.

34. Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan Rapid Penang Sdn Bhd dalam mempertingkatkan perkhidmatan bas di Pulau Pinang untuk kebaikan rakyat jelata. Rapid Penang telah mencadangkan untuk melaksanakan sistem Park and Ride, di mana hub/terminal akan disediakan di beberapa kawasan di Seberang Perai. Pekerja-pekerja di Free Trade Zone (FTZ) dan Seberang Perai adalah dicadangkan meletakkan kenderaan mereka di hub/terminal tersebut dan mengambil bas shuttle secara percuma yang disediakan oleh Rapid Penang. Kos membiayai bas shuttle ini dari Seberang Perai ke Bayan Lepas adalah RM600,000.00 untuk 6 bulan. Tujuan utama pelaksanaan sistem Park and Ride adalah untuk mempromosikan pengangkutan awam kepada masyarakat dan menggalakkan pekerja-pekerja di FTZ Bayan Lepas menggunakan perkhidmatan bas yang dapat mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya Jambatan Pulau Pinang. Perbelanjaan RM600,000.00 untuk 6 bulan membiayai kos operasi Rapid Penang bagi mempromosikan dan menggalakkan sistem BEST (Bridge Express Shuttle Transit) ini akan mengurangkan 2,000 - 3,000 buah kenderaan sehari.

35. Bagi menambahbaikan perkhidmatan teksi pula, Kerajaan Negeri masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan supaya sistem kupon dan sistem meter dapat dilaksanakan dengan serentak bagi meningkatkan keberkesanan dan imej perkhidmatan teksi.

36. Kemudahan utiliti seperti bekalan tenaga elektrik yang disediakan mempunyai nilai tambah yang meningkat pada setiap tahun. Bagi tahun 2011, TNB menjangkakan penggunaan tenaga elektrik di negeri ini akan mencapai peningkatan sebanyak 9.63 peratus dari kadar penggunaan tahun 2010. Untuk itu, TNB memperuntukkan sebanyak RM128 juta pada tahun 2011 untuk membiayai projek penambahan kapasiti bekalan elektrik bagi memenuhi permintaan daripada pengguna-pengguna baru di samping memperkukuhkan sistem yang meliputi projek penambahbaikan dan mempertingkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik sedia ada di negeri ini bagi mengurangkan jumlah dan tempoh gangguan bekalan elektrik.

37. Tahun depan akan memperlihatkan pengaktifan operasi 3 pencawang utama iaitu Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Times Square di Jalan Dato Keramat, PPU Hospital di Jalan Tull dan PPU IJM di Jelutong Expressway.

iv. Memaju Dan Memperkasakan Sektor Pertanian Dan Penternakan

38. KDNK Negeri bagi sektor pertanian pada tahun 2008 ialah RM824 juta dan dengan usaha murni yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri, anggaran sumbangan sektor pertanian kepada KDNK Negeri telah meningkat kepada RM840 juta bagi tahun 2009. Sumbangan sektor ini seterusnya diunjurkan akan meningkat kepada RM1,046 juta pada tahun 2015.

39. Jabatan Pengairan dan Saliran turut memainkan peranan dalam meningkatkan pengeluaran hasil pertanian iaitu melalui pemodenan sistem pengairan, pelaksanaan rancangan pembangunan sistem saliran pertanian dan rancangan pelbagai tanaman. Pemodenan sistem pengairan bagi skim-skim jelapang padi telah dimulakan di Pulau Pinang meliputi pelaksanaan projek perintis automasi untuk pintu-pintu kawalan dan Constant Head Orifice, perolehan persijilan EMS ISO 14001 di skim-skim pengairan dan peningkatan infrastruktur pengairan, saliran serta jalan ladang.

40. Bagi sektor penternakan pula, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan meneruskan usaha mentransformasikan kaedah ternakan tradisional kepada kaedah ternakan moden dengan menambah baik ladang sedia ada dan memperkenalkan teknologi terkini kepada pengusaha ladang.

41. Masalah pencemaran ladang ternakan sentiasa menjadi isu penting yang perlu ditangani dengan sebaiknya. Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dalam mewujudkan suasana kehidupan yang berteraskan teknologi hijau dengan memfokuskan kepada penggunaan Useful Microbes (UM) iaitu satu kaedah yang berkonsepkan mikroorganisma berfaedah yang membantu dalam mewujudkan persekitaran yang lebih baik.

42. Nelayan-nelayan kecil ini pada ketika ini kerap menghadapi masalah terutamanya di sekitar kawasan selatan Jambatan Pulau Pinang akibat kerja-kerja Pembinaan Jambatan Kedua. Atas keprihatian Kerajaan Negeri membantu kumpulan ini, mulai tahun 2011, Kerajaan Negeri telah bersetuju mengurangkan 50% bayaran lesen perahu dan lesen menangkap ikan. Tindakan ini menyebabkan Kerajaan Negeri kehilangan hasil berjumlah lebih kurang RM 65,000.00 setahun dan Kerajaan Negeri akan menampong kekurangan ini melalui peningkatan sumber-sumber hasil lain.

43. Kerajaan Negeri sedar aktiviti akuakultur mempunyai potensi yang luas untuk dibangunkan memandangkan kedudukan geografi Negeri Pulau Pinang yang strategik serta peluang pasaran yang tersedia. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri sedang membangunkan kawasan seluas 204 hektar bermula dari Kampung Pasir Gebu hingga ke Padang Benggali, Penaga, Seberang Perai Utara sebagai kawasan Pembangunan Industri Akuakultur Berimpak Tinggi. Beberapa syarikat telah ditawarkan untuk menjalankan aktiviti penternakan dan pembenihan spesis ikan seperti ikan jenahak, bawal emas, haruan tasik dan siakap.

v. Menggalakkan Sektor Perdagangan Dan Memantapkan Kepentingan Hal Ehwal Pengguna

44. Kerajaan Negeri juga berusaha memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT), dalam mempertingkatkan potensi perniagaan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) dari Malaysia, Thailand dan Indonesia. Penyertaan Kerajaan Negeri dalam Medan, Banda Acheh dan Thailand Selatan telah memperbanyakkan peluang perniagaan. Satu Memorandum Persefahaman ditandatangani diantara Pulau Pinang dan Banda Acheh untuk mempromosikan perdagangan dengan pelaburan ke dalam sektor pelancongan di Acheh dan menyelidik peluang menghasilkan sumber gas asli dan minyak untuk dibawa ke Pulau Pinang.

45. Usaha untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai Hab Halal Antarabangsa dilaksanakan melalui anak syarikat PDC, PIHH Development Sdn Bhd. PIHH telah berjaya membina jaringan perniagaan dan kerjasama Industri Halal dengan negara-negara OIC, Eropah, Pakistan dan India. Memorandum Persefahaman telah dimeterai dengan beberapa syarikat untuk membangunkan kelompok halal melibatkan pengilangan, logistik, industri berasaskan pertanian, kewangan dan hospitaliti.

46. PIHH juga telah berjaya mengembang Industri Halal Pulau Pinang dengan penyertaan syarikat di Taman Industri Halal, Bukit Minyak. Perjanjian telah dimeteraikan dengan Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan produk makanan laut sejukbeku yang bekerjasama dengan Fujian Dongshan Haikui Aquatic Products Group Co. Ltd (pengeluar makanan laut sejukbeku yang terbesar di Wilayah Fujian, China) bagi mewujudkan syarikat bioteknologi marin China yang pertama di Taman Industri Halal, dengan kepakaran dalam pengeluaran makanan sejukbeku, eksport dan import makanan laut sejukbeku dan R&D akuakultur bioteknogi, dengan nilai pelaburan berjumlah RM150 juta. Sebanyak 300 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam usaha gabungan ini.

47. Enam (6) buah syarikat halal tempatan yang terlibat dalam pengeluaran dan pemprosesan produk makanan, ekstrak herbal, penambah perisa, coklat dan snek dan produk pembungkusan biodegradable serta syarikat luar Negara dari Jepun, Pakistan dan India yang mengeluarkan produk coklat, gelatin halal dan penambah perisa juga telah bersetuju dalam pelbagai peringkat untuk menempatkan kilang di Taman Industri Halal, Bukit Minyak.

48. Kerajaan Negeri juga mensasarkan penambahan sebanyak 102 buah syarikat iaitu 54 peratus peningkatan syarikat baru berstatus halal dalam tahun 2010 daripada 296 syarikat pada tahun 2009. Usaha ini dapat dicapai dengan melalui penganjuran seminar teknikal halal, forum dan bengkel halal dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Bagi meningkatkan usaha promosi dan pemasaran produk Halal tempatan ke pasaran antarabangsa, Kerajaan Negeri telah menyertai antara lain World Halal Forum, World Halal Research Summit dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS). Dalam penyertaan MIHAS yang berlangsung pada 25 hingga 27 Jun 2010 di Kuala Lumpur, sebanyak 20 syarikat halal dari Pulau Pinang yang menyertai pavilion Halal Penang telah dapat membuat jualan dengan nilai RM4.3 juta. Penglibatan syarikat-syarikat halal dalam pameran perdagangan antarabangsa nyata telah dapat membantu usahawan tempatan menambahkan nilai perdagangan dan sumber pasaran baru melalui jaringan perdagangan dan rangkaian niaga.

49. Kerajaan Negeri juga mensasarkan untuk mengeluarkan tenaga kerja berpengetahuan halal (halal k-workers) seramai 500 orang dengan kerjasama dari institusi pengajian tinggi bagi memenuhi permintaan Industri Halal di luar negara serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Halal dalam negeri.

50. Bagi memupuk semangat hak kepenggunaan, program pendidikan dijalankan secara berterusan oleh Kumpulan Pemantau Pengguna Negeri Pulau Pinang dengan memberi khidmat nasihat dan pengedaran risalah kepenggunaan. Di samping itu juga program Karnival Pengguna Pulau Pinang turut dijalankan dengan penyertaan daripada badan bukan Kerajaan, syarikat swasta serta komuniti masyarakat. Bagi menerapkan budaya pengguna berhemah dan mengamal sikap berjimat-cermat, Kempen Elak Pembaziran khususnya melibatkan produk makanan, pakaian, produk perkhidmatan seperti kad kredit, tenaga elektrik, air dan lain-lain turut dilaksanakan.

vi. Memperkasakan Sektor Pendidikan

51. Usaha memartabatkan institusi pendidikan di Pulau Pinang dirancakkan lagi dengan perancangan Kerajaan Negeri untuk mendirikan sebuah Hab Pendidikan Cemerlang di Pondok Upeh dan Genting, Balik Pulau. Kawasan seluas 201.4 ekar telah dikenalpasti dan dianggarkan melibat kos keseluruhan RM165 juta. Bagi tujuan ini RM44 juta disediakan untuk kos pengambilan tanah dalam tahun 2011. Pada masa yang sama, kajian yang komprehensif dijalankan bagi mengenalpasti konsep dan niche pendidikan yang perlu difokuskan untuk pembangunan hab pendidikan ini. Ini adalah tidak lain bertujuan memastikan masa depan anak-anak Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya agar berpeluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya untuk berdaya saing di pasaran kerjaya global.

52. Seperti pada tahun 2010, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM12.0 juta dalam Bajet 2011 untuk Program Bantuan Pendidikan yang akan dimanfaatkan oleh 172 buah sekolah, meliputi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dan Sekolah Mubaligh.

53. Sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar-pelajar miskin ditingkatan 1 hingga 5 di sekolah-sekolah menengah di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan bantuan melalui Tabung Amanah Biasiswa Kecil Negeri. Kadar bayaran bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 3 ialah RM240.00 setahun, manakala untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5 adalah RM360.00 setahun

54. Namun begitu menyedari kepentingan pendidikan untuk menyediakan modal insan yang berpengetahuan bagi membangunkan negara dan negeri, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat telah bersetuju menaikkan kadar biasiswa ini mulai 2009 iaitu kepada RM480.00 setahun bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dan RM720.00 bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 iaitu kenaikan 100% bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 5. Kenaikan ini telah menjadikan jumlah bayaran Biasiswa Kecil Negeri bagi tahun 2009 dan 2010 masing-masing berjumlah RM1,539,840.00 dan RM1,652,160.00 berbanding dengan jumlah RM625,440.00 pada 2008, iaitu tambahan RM1 juta.

55. Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang sehingga kini mempunyai satu jaringan rangkaian perpustakaan elektronik yang mampu menampung keperluan maklumat rakyat Negeri Pulau Pinang khususnya dan antarabangsa amnya. Dalam memperkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan dan kepakaran maklumat, Perbadanan mempunyai 101 buah pusat perkhidmatan yang merangkumi Perpustakaan Pusat di Seberang Jaya, 6 buah Perpustakaan Cawangan, 2 buah Perpustakaan Pekan, 3 buah Perpustakaan di Pusat Beli Belah, 77 buah Perpustakaan Desa/Komuniti Siber Ilmu dan 12 buah Perpustakaan Bergerak (2 khusus untuk Orang Kurang Upaya dan sebuah E-Pustaka) yang memberi perkhidmatan di 237 lokasi di seluruh negeri Pulau Pinang.

56. Perkhidmatan Multimedia dan Internet secara percuma disediakan kepada semua masyarakat melalui bas perpustakaan bergerak. E-Pustaka melawati kawasan-kawasan terpilih untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk Pulau Pinang yang berada di luar jangkauan. Perkhidmatan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan jurang digital dalam kalangan masyarakat bandar dan luar bandar. Ini adalah salah satu usaha Perbadanan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam menikmati kemodenan arus teknologi maklumat.

57. Kerjasama antarabangsa telah dilaksanakan dengan Kedutaan Amerika Syarikat di mana satu sudut khas untuk Koleksi Lincoln dan Malaysian-American Commission On Education Exchange (MACEE) telah disediakan di Perpustakaan Seberang Jaya dan Perpustakaan Cawangan George Town. Koleksi Lincoln terdiri daripada bahan bacaan dan bahan media berkaitan Negara Amerika Syarikat manakala MACEE menyediakan maklumat serta nasihat berkaitan program pendidikan di Amerika Syarikat.

58. Perbadanan Perpustakaan juga menjalankan kerjasama dengan agensi swasta seperti The Learning Garden dan dengan SERI dalam menjayakan Festival Bercerita Kanak-Kanak Antarabangsa Pulau Pinang (PINKS). Festival ini yang pertama kali diadakan di Malaysia telah mengabungkan Storyteller dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Singapura, India, Thailand, Jepun, Australia dan Malaysia.

59. Bagi mempertingkatkan perkhidmatan yang diberi, Perbadanan Perpustakaan telah merancang untuk menjalankan perkhidmatan pinjaman buku elektronik E-Book yang akan memulakan operasinya pada bulan November 2010. Mengambil kira program-program tambahan untuk meluaskan akses dalam penyebaran maklumat, Kerajaan Negeri memperuntukkan tambahan RM1 juta lagi kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang untuk tahun 2011 iaitu jumlah keseluruhannya RM7.5 juta.

vii. Meningkatkan Kualiti Alam Sekitar dan Landskap

60. Dua (2) buah kompleks Material Recovery Facility (MRF) yang berasingan dicadang dibina di Jelutong di bahagian Pulau dan di Pulau Burong di Seberang Perai. Setiap kompleks MRF berharga RM80 juta. Kemudahan ini akan menyediakan pengurusan sisa pepejal secara bersepadu berdasarkan konsep 3 R (Reduce, Reuse, Recycle - Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula).

61. Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan alam sekitar ialah Kempen Hari Tanpa Beg Plastik, Cleaner Greener Penang, meluaskan penggunaan teknologi effective microorganism dalam merawat sungai-sungai tercemar dan mencegah lalat di ladang ternakan. Program Pembersihan Pantai sempena Hari Bumi Sedunia telah dilaksanakan pada 18 April 2010 melibatkan 3 lokasi iaitu Pantai Batu Feringghi, Tanjong Bunga dan Persiaran Gurney. Seramai 2,068 sukarelawan turut serta di ketiga-tiga lokasi dan jumlah sampah yang dipungut pada hari tersebut ialah 6.4 tan. Pembersihan di Pantai Robina dan Pantai Bersih, Butterworth telah diadakan pada 25 September 2010 sempena Hari Pembersihan Pantai Peringkat Antarabangsa.

62. Pada 16 November 2010, Program Penganugerahan Sekolah Hijau akan dilaksanakan untuk kategori Sekolah Rendah dan Menengah.

63. Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan satu laman web greenstate.gov.my untuk pendaftaran sebagai Green Citizen atau Warga Hijau Sebagai permulaan, sasaran pendaftaran ialah 2,500 orang tanpa had umur. Green Crusader atau Pejuang Hijau akan digalakkan untuk menyertai program-program yang dianjurkan untuk mengumpul markah. Warga Hijau dikehendaki mengumpul 15 markah minima untuk melayakkan diri mereka mendapatkan kad privilege. Kod hijau akan dibekalkan kepada semua warga hijau untuk mengakses halaman web untuk mengemaskinikan markah yang diperolehi. Warga-warga hijau yang aktif akan dipertimbangkan untuk anugerah yang akan diumumkan kelak.

64. Pulau Pinang telah mencatatkan sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia memulakan kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" (No Plastic Bags Day) sehari seminggu pada 1 Julai 2009, demi memerangi masalah perubahan iklim dan mengurangkan Kesan Tapak Kaki Karbon (Carbon footprints). Pada 1 Januari 2010, Pulau Pinang telah melanjutkan kempen ini kepada tiga hari seminggu untuk pasaraya-pasaraya (hypermarket, supermarket dan departmental stores ) dan sehari seminggu untuk premis perniagaan tunggal.

65. Dalam usaha memperluaskan kempen pengurangan beg plastik, Kerajaan Negeri telah mengadakan mesyuarat dan perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha hypermarket, supermarket, departmental stores, farmasi, restoran makanan segera, kedai serbaneka dan chain stores.

66. Dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan mulai 1 Januari 2011, semua hypermarket, supermarket, departmental stores, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar, kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak) dan chain store akan diminta supaya melaksanakan Hari Tanpa Beg Plastik Setiap Hari.

67. Manakala bagi pasar mini dan premis perniagaan tunggal, mereka juga perlulah mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan Hari Tanpa Beg Plastik 3 hari seminggu setiap Hari Isnin, Selesa dan Rabu.

68. Sekali lagi Pulau Pinang mencipta sejarah dengan semua hypermarket dan supermarket menerima pakai hasrat Kerajaan Negeri "Hari Tanpa Beg Plastik" setiap hari. Pulau Pinang memimpin semula, "Penang Leads" dan tetap ke arah menjadi negeri hijau pertama di Malaysia. Maklumbalas daripada 73 pengusaha yang menandatangani Deklarasi Pengurangan Penggunaan Beg Plastik menunjukkan bahawa mulai 1 Julai 2009 sehingga 26 Oktober 2010, Pulau Pinang telah berjaya menjimatkan sebanyak 32,508,418 keping beg plastik.

69. Kerajaan Negeri akan bertanggungjawab untuk menghebahkan program ini melalui pelbagai pendekatan seperti mendirikan papan iklan untuk kempen ini dan mengedarkan 500,000 risalah untuk menerangkan kepentingan "Hari Tanpa Beg Plastik" sepanjang tahun.

70. Kerajaan Negeri juga telah mengenalpasti lokasi untuk mewujudkan Pusat Sumber Alam Sekitar KADUN di Negeri Pulau Pinang iaitu di Tanjong Bunga, Daerah Timur Laut. Pusat sumber ini akan diletakkan di bawah Majlis Perbandaran Pulau Pinang Local Agenda 21 dan berfungsi sebagai:

i. Pusat penghasilan EM Mudball;
ii. Pusat penghasilan Garbage Enzyme; dan
iii. Tapak simpanan pokok-pokok (nursery)

viii. Meningkatkan Dan Memantapkan Sektor Sosial
a. Kebajikan

71. Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri akan meneruskan dengan Dasar Penghargaan Warga Emas walaupun terdapat tohmahan untuk menggagalkan usaha murni ini. Sumbangan wang tunai RM100.00 kepada semua warga emas melebihi 60 tahun yang bermastautin di Pulau Pinang serta berdaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang tanpa mengira etnik, agama dan fahaman politik akan diteruskan. Jumlah keseluruhan warga emas yang berdaftar dalam Sistem i-Sejahtera ialah seramai 112,036 orang sehingga kini. Namun begitu, Kerajaan Negeri menganggarkan terdapat seramai 130,000 orang warga emas di Pulau Pinang yang sebenarnya layak untuk mendaftar dan menerima sumbangan berkenaan. Dengan 112,036 warga emas yang telah berdaftar di Pejabat ADUN PR dan Pegawai Penyelaras, ini bermakna 86.18% daripada bilangan warga emas telahpun mendaftarkan diri yang membuktikan kegagalan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mensabotajkan program ini. Saya ingin menegaskan bahawa walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dan nyawa, Kerajaan PR Pulau Pinang tidak akan membatalkan Program Penghargaan Warga Emas.

72. Selain dari membayar RM100.00 untuk warga emas yang berdaftar seperti mana yang dijanjikan, Kerajaan Negeri juga telah pun menguruskan pembayaran RM1,000.00 kepada waris warga emas yang telah meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2010. Sumbangan wang ehsan ini telah diberikan kepada seramai 777 orang waris warga emas.

73. Kerajaan Negeri juga sememangnya prihatin terhadap nasib golongan miskin tegar di Negeri Pulau Pinang dan usaha membantu golongan miskin tegar diteruskan tanpa mengira kaum dan agama. Dalam konteks pembasmian kemiskinan, Negeri Pulau Pinang telah berjaya membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar. Sehingga bulan September 2010, sebanyak 755 ketua isi rumah (KIR) yang sedang menerima bantuan dari Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM3.6 juta sejak tahun 2009 untuk bantuan pembasmian miskin tegar sehingga September 2010. Bagi membiayai bantuan kewangan kepada Ketua Isi Rumah miskin tegar memperolehi sekurang-kurangnya "tambah nilai" hingga ke RM500.00 setiap bulan dan meneruskan Program Penghargaan Warga Emas, Kerajaan Negeri seperti mana dalam bajet tahun 2010 lalu memperuntukkan sebanyak RM20 juta di bawah bajet Mengurus 2011.

74. Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berjiwa rakyat telah memberi RM100.00 rebet air melalui penolakan bil PBAPP kepada 159,811 isi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang layak pada akhir tahun 2008 untuk meringankan beban rakyat. Jumlah perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi bantuan ini adalah RM15,909,825.00 dan tiada sesen pun yang datang daripada PBAPP. Namun begitu bagi penduduk yang masih lagi kurang kemampuan untuk mendapat kemudahan bekalan air bersih Kerajaan Negeri melalui PBAPP menyediakan 2 skim berikut :

i. Skim Pinjaman Tanpa Faedah (Kampung Loan); dan
ii. Skim Bantuan Program Pembasmian Rakyat Termiskin.

Kerajaan Negeri bercadang meringankan beban rakyat susah dengan mengecualikan mereka daripada pembayaran deposit bekalan air sebanyak RM70.00 untuk kedua-dua skim bantuan ini.

75. Insan OKU adalah kumpulan rakyat istimewa yang perlu diberikan pembelaan dan sokongan yang sewajarnya. Pada ketika ini di Pulau Pinang terdapat seramai lebih kurang 18,136 OKU yang hanya mendapat Bantuan Am Kerajaan Negeri yang secara keseluruhannya berjumlah RM3.5 juta setahun. Selaras dengan program Warga Emas yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, sebagai tanda sokongan Kerajaan Negeri terhadap insan OKU, Kerajaan Negeri mulai tahun 2011 telah bersetuju meluluskan Bantuan Tahunan OKU yang kurang daripada 60 tahun berjumlah RM100.00 setahun kepada setiap OKU. Cadangan ini memerlukan Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2.0 juta bagi tahun 2011.

76. Kumpulan Ibu Tunggal merupakan kumpulan masyarakat yang juga perlu diberikan pembelaan yang sewajarnya oleh semua pihak terutamanya masyarakat setempat. Ini adalah kerana sebagai ibu tunggal mereka terpaksa mengambil alih tanggungjawab yang sepatutnya diuruskan oleh suami. Namun sekiranya seseorang itu menjadi ibu tunggal disebabkan kematian suami ianya adalah ketentuan Tuhan kerana tiada siapa boleh menentukan ajal dan maut melainkan Tuhan jua. Walau bagaimanapun jika berlaku ibu tunggal akibat dari penceraian, suami yang tidak bertanggungjawab menghilangkan diri dan lain-lain sebab, maka ianya merupakan satu penganiayaan kaum lelaki terhadap kaum wanita yang sepatutnya dibela sepenuhnya oleh kaum lelaki.

77. Maka selaras dengan konsep keprihatinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah dipersetujui supaya mulai tahun 2011 kesemua ibu tunggal yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri akan diberikan bantuan secara one off berjumlah RM100.00 setahun. Bantuan tahunan ini hanya akan diberikan kepada mereka yang berumur kurang 60 tahun dan selagi mereka tidak berkahwin semula yang mana tanggungjawab memantau dan mengesahkan status mereka akan dipantau oleh JKKK. Cadangan Kerajaan Negeri ini sebenarnya adalah hanya satu sumbangan kecil yang pada hemat Kerajaan Negeri merupakan tanda ehsan sokongan terhadap kumpulan ini yang sepatutnya juga mendapatkan keprihatinan semua masyarakat. OKU dan Ibu Tunggal yang melebihi 60 tahun boleh mendapat RM100.00 setahun sebagai warga emas.

b. Cleaner, Greener Penang

78. Hasrat Kerajaan Negeri mentranformasikan Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa hanya tercapai sekiranya kebersihan menjadi budaya hidup kita. Pelancaran inisiatif "Cleaner, Greener Penang" (Pulau Pinang Bersih Hijau) mahu semua warga kota menjadikan tabiat bersih dan hijau sebagai amalan hidup harian. Peranan yang dimainkan oleh NGO dan peniaga kecil amat penting. Disamping memberikan sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti mempromosikan budaya bersih dan hijau, Kerajaan Negeri mahu memberikan insentif kepada penjaja. Demi menyokong pengurangan bag plastik dan menjaga kebersihan, kedua-dua MPPP dan MPSP telahpun diberikan arahan memberikan diskaun 50% kepada lesen penjaja. Satu lagi usaha tambahan terhadap peningkatan tahap kebersihan ialah rancangan Kerajaan Negeri melaksanakan program "100 steps for Cleanliness" di mana bagi setiap 100 langkah akan disediakan kemudahan plastik sampah. Inisiatif ini akan dimulakan di Tapak Warisan UNESCO, George Town serta di Seberang Jaya dan Bukit Mertajam sebagai projek perintis (pilot project). Melalui cara ini tidak lagi timbul isu kekurangan atau ketiadaan bekas sampah kerana ianya akan disediakan bagi setiap 100 langkah yang dilalui.

79. Kejayaan pelaksanaan program ini membolehkan program ini dikembangkan ke kawasan lain dengan matlamat akhirnya mendidik masyarakat cintakan kebersihan.

c. Perumahan

80. Bagi memantapkan lagi sistem pengurusan dan pembangunan projek perumahan dan perumahan awam di Negeri Pulau Pinang, Enakmen Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan ini.

81. Pada masa yang sama, Dasar Pengurusan Setinggan Negeri Pulau Pinang sedang disemak semula bagi memastikan pengurusan dan penempatan setinggan dibuat secara lebih bersistematik serta data-data bancian setinggan akan disimpan dan direkodkan di dalam suatu pangkalan data. Hasrat ini adalah seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam mencapai status negeri bertaraf antarabangsa dengan tidak mengabaikan golongan yang berpendapatan rendah dan golongan yang tidak berkemampuan ini untuk memiliki rumah berasaskan konsep rumah mampu milik.

82. Kejayaan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu masalah 52 buah rumah di Kampung Permatang Tepi Laut, Permatang Damar Laut menerusi Y.B. ADUN Batu Maung dan penempatan 37 orang penduduk/setinggan Kampung Pisang Awak Fasa 1 (yang telah berlarutan selama 6 tahun tanpa diselesaikan di bawah Kerajaan Barisan Nasional) membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat komited untuk memastikan bahawa setiap penduduk dapat hidup dengan selesa dan selamat.

83. Selaras dengan Dasar Menaiktaraf Rumah Awam bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk yang kebanyakkannya terdiri daripada orang bawah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM13.5 juta dalam Bajet 2011 untuk membiayai kerja-kerja menaiktaraf rumah awam kerajaan, iaitu pertambahan sebanyak RM3.5 juta berbanding peruntukan yang disediakan dalam tahun 2010 untuk tujuan ini.

84. Disamping itu bersama dengan PDC, sejumlah RM60 juta diperuntukkan untuk membina sekurang-kurangnya 400 unit rumah mampu milik di kawasan pulau selaras dengan prinsip sebuah Kerajaan berjiwa rakyat. Terdapat sebanyak 120 unit rumah kos rendah yang masih belum dijual di kawasan Seberang Perai Selatan yang melebihi 5 tahun.

d. Agama

85. Selaras dengan Islam sebagai agama rasmi, Kerajaan Negeri terus berusaha untuk memartabatkan masyarakat beragama Islam di Negeri Pulau Pinang. Bagi tahun 2011 di samping program pembangunan agama Islam yang seimbang dari segi kerohanian dan fizikal, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk pengambilan balik tanah bagi pembesaran tapak perkuburan Islam berhampiran Masjid Jelutong. Terdapat 3 jabatan di negeri ini yang berkaitan dengan hal ehwal Islam dan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk tahun 2011 bagi ketiga-tiga jabatan adalah seperti berikut:

i. Jabatan Hal Ehwal Agama berjumlah RM24.76 juta mencakupi pembangunan RM7.05 juta, mengurus RM13.38 juta dan sebagainya RM4.33 juta (elaun pegawai masjid dan guru kelas KAFA, pemberian para Huffaz, sumbangan Ehya
Ramadhan, kerja-kerja pembaikan Masjid Negeri dan program-program sambutan kebesaran Islam);

ii. Jabatan Mufti sebanyak RM1.95 juta untuk perbelanjaan mengurus; dan

iii. Jabatan Kehakiman Syariah berjumlah RM16.5 juta melibatkan perbelanjaan mengurus RM4.6 juta dan pembangunan RM11.9 juta.

86. Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Agama telah menyenaraikan pelaksanaan beberapa dasar antaranya ialah melahirkan generasi Al-Quran, memperkasakan institusi masjid dan surau, memantapkan pendidikan Islam dan memperkasakan dakwah Islamiah. Antara program-program ilmu yang telah dijalankan adalah seperti menubuhkan Majlis Musyawarah, menubuhkan Jawatankuasa Penyebaran Pendidikan Islam, memperkemaskan kaedah pelantikan ahli jawatankuasa masjid dan surau, mewujudkan jawatankuasa bagi memantau, merancang dan memelihara Sekolah Agama Rakyat dan para Huffaz serta memperjelaskan isu-isu semasa kepada umat Islam dengan tepat dan berkesan.

87. Dalam melahirkan generasi Al-Quran, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah melancarkan bulan Al-Quran pada 15 Jun 2010 di Masjid Negeri Pulau Pinang. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan dalam memantapkan ilmu Al-Quran kepada golongan masyarakat. Bulan Al-Quran dilancarkan selama 3 bulan bagi bulan Islam iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Pelaksanaan program ini buat julung kalinya pada tahun 2010 dan telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan dan ianya akan diteruskan lagi dalam tahun 2011.

88. Peruntukan untuk tujuan hal ehwal agama Islam sebanyak RM63.21 juta disediakan bagi tahun 2011.

e. Mengeratkan Perhubungan Masyarakat

89. Umumnya, kesemua 291 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti atau JKKK di Pulau Pinang mewakili suara kerajaan di peringkat akar umbi.

90. Dalam mengiktiraf sumbangan di peringkat pengurusan JKKK, Kerajaan Negeri telah bersetuju menaikkan kadar elaun Pengerusi dan Setiausaha JKKK sebanyak RM100 lagi bermula pada Januari 2011. Dengan kenaikan elaun Pengerusi dan Setiausaha JKKK ini, ianya menjadikan elaun semasa Pengerusi dan Setiausaha masing-masing sebanyak RM350.00 dan RM250.00 kepada RM450.00 dan RM350.00 yang jauh berkurangan daripada elaun RM800.00 sebulan bagi Pengerusi JKKKP. Keseluruhannya untuk pembiayaan pengurusan 291 JKKK bagi tahun 2011, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM3.85 juta iaitu tambahan RM1.85 juta daripada peruntukan tahun 2010.

f. Memantapkan Pembangunan Belia Dan Budaya Kesukanan

91. Bagi memastikan juga program-program belia yang dijalankan oleh Jawatankuasa MMK Belia dan Sukan dan Majlis Belia Negeri Pulau Pinang berkeupayaan memberi impak positif kepada pembangunan belia di negeri ini, di samping mengenalpasti kekuatan dan kelemahan program-program yang dijalankan, Kerajaan Negeri sedang menjalankan Kajian Penglibatan Keperluan Program-Program Belia di Negeri Pulau Pinang yang dijangka siap pada Disember 2010.

92. Majlis Sukan Negeri akan meneruskan penganjuran pertandingan di dalam negeri seperti Sukan Pulau Pinang dan Festival Sukan Kombat untuk memberi peluang kepada atlet negeri bersaing dengan lain-lain peserta di peringkat negeri dan zon. Pembangunan atlet berteraskan penerapan terhadap pendedahan pertandingan atau kejohanan sama ada di peringkat negeri, zon atau peringkat remaja dan kebangsaan juga akan dilaksanakan.

93. Keseluruhannya peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan budaya kesukanan dalam tahun 2011 ialah sebanyak RM3.95 juta manakala belia diperuntukkan RM632,000.00.

g. Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Komuniti

94. Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan program pembangunan wanita dilaksanakan secara konsisten dan menepati kehendak dan keperluan wanita pada masa kini. Persidangan Gender Mainstreaming: Justice For All yang telah diadakan pada 31 Julai 2010 merupakan program yang dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri dan juga Persatuan Untuk Tadbir Urus Baik dan Kesaksamaan Gender Pulau Pinang. Program ini telah mengenalpasti teras-teras strategik bagi meningkatkan lagi kemajuan dan kepentingan wanita dalam pembentukan masyarakat.

95. Menyedari hakikat bahawa golongan wanita sentiasa terdedah kepada ancaman jenayah seperti ragut dan rogol, Kerajaan Negeri berazam untuk memperhebatkan lagi kempen-kempen kesedaran kepada golongan wanita di Pulau Pinang. Dalam tahun 2010, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Kempen Kesedaran Dan Keselamatan Wanita Dan Komuniti - AWARE(Arming Women Against Rape and Endangerment) yang diadakan di setiap daerah di Pulau Pinang. Program ini bertujuan untuk memberi pengetahuan secara hands-on dan kesedaran kepada wanita tentang kaedah-kaedah mempertahankan diri yang boleh digunakan bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa jenayah. Maka Kerajaan Negeri memperuntukkan untuk aktiviti wanita sebanyak RM800,000.00.
h. Keselamatan

96. Adalah penting Negeri Pulau Pinang menjadi sebuah negeri yang selamat bukan sahaja untuk pelabur, pelancong tetapi yang lebih penting sekali ialah penduduk khususnya golongan kanak-kanak dan wanita.

97. Indeks Jenayah telah turun sebanyak 23.6 % untuk 9 bulan pertama tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas. Ini adalah hasil usaha gigih pihak Polis dan masyarakat awam dengan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang berganding bahu bagi memastikan keselamatan awam. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 juta untuk mengurangkan beban PPS ini.

98. Pada masa yang sama wujudnya kerjasama erat di antara pihak Polis di bawah pimpinan Ketua Polis Negeri dengan Kerajaan Negeri di mana Majlis Mesyuarat Keselamatan Kerajaan Negeri telah bermesyuarat sebanyak 7 kali pada 2009 dan 5 kali tahun ini. Keadaan keselamatan awam hanya boleh terjamin sekiranya rakyat bukan sahaja selamat tetapi juga merasai selamat. Oleh itu selain daripada penubuhan PPS, pemasangan CCTV memainkan peranan penting mencegah berlakunya jenayah - "prevention is better than cure".

99. Sebanyak 48 buah CCTV sedang dipasang, 24 di kawasan MPPP dan 24 di kawasan MPSP. Kerajaan Negeri masih menunggu 50 buah CCTV yang dijanjikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Sekiranya janji ini hanya tinggal janji kosong, maka Kerajaan Negeri akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk meninjau beberapa lagi buah CCTV yang perlu untuk memastikan keadaan jenayah masih terus terkawal.

100. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis di Raja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen dan Jabatan Maritim.

i. Pembangunan Usahawan Dan Koperasi

101. Kerajaan Negeri telah melancarkan Majlis Perundingan Kontraktor Kelas F Negeri Pulau Pinang yang bertujuan membantu kontraktor-kontraktor Kelas F di Negeri Pulau Pinang agar lebih berdaya saing bagi mencapai kejayaan. Majlis ini antara lain juga bertindak dalam membantu membentuk jaringan dan kerjasama antara Kontraktor Kelas F dengan Kerajaan Negeri. Sehingga kini terdapat seramai 1,316 orang kontraktor Kelas F di negeri ini.

102. Majlis Perundingan ini melalui tiga siri perundingan yang telah diadakan telahpun mencapai keputusan-keputusan seperti berikut:

i. membolehkan Kerajaan Negeri menjelaskan dasarnya termasuk pelaksanaan peraturan dan dasar baru seperti pelaksanaan penggunaan “integrity pact” kepada kontraktor ketika menyertai tawaran perolehan dan apabila berjaya ditawarkan kontrak;

ii. membenarkan hanya pemilik Syarikat atau rakan kongsi yang dinamakan dalam Sijil PKK sahaja hadir lawatan tapak. Pengenalan kaedah ini adalah bagi menjamin hanya kontraktor tulen atau sepenuh masa sahaja melaksanakan projek-projek Kerajaan Negeri;

iii. memperkemaskan lagi sistem dan pemilihan kontraktor di mana dari maklum balas yang diterima beberapa siri pembaikan dilakukan termasuk persetujuan Kerajaan Negeri untuk pengurangan yuran pendaftaran kontraktor melalui sistem ePerolehan dari RM100.00 setahun kepada RM50.00 sahaja; dan

iv. memendekkan tempoh bantahan dari 14 hari kepada 7 hari sahaja bagi membolehkan tawaran projek dipercepatkan.

103. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan dengan sistem ePerolehan yang ketara berasaskan merit dan kelayakan serta meminimumkan kebocoran.

104. Sejajar dengan misi 3P Kerajaan Negeri (Perkasakan rakyat, Perkuasakan rakyat, Perkayakan rakyat) semua JKKK telah digalakkan menubuhkan koperasi masing-masing. Sehingga akhir Julai 2010, 11 buah koperasi JKKK telah didaftarkan manakala 24 buah koperasi JKKK pula telah diluluskan penubuhannya. Namun begitu tidak semua koperasi yang telah diwujudkan bergerak aktif. Justeru, untuk memantap dan memperkukuhkan koperasi-koperasi ini, Kerajaan Negeri berhasrat menggabungkan koperasi JKKK di bawah koperasi yang besar, masing-masing satu di bahagian Pulau dan Seberang Perai. Taklimat berkaitan dengan penggabungan koperasi JKKK oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pulau Pinang telah diadakan pada 7 September 2010. Cadangan penggabungan ini bertujuan untuk memudahkan operasi, membolehkan pengumpulan sumber modal yang lebih besar serta dapat berkongsi kepakaran dalam menyelaras pelaksanaan projek berskala besar.

j. Merevolusikan Pengurusan Perkhidmatan Awam Bertaraf Antarabangsa

105. Pra-syarat jayanya wawasan negeri bertaraf antarabangsa adalah perkhidmatan awam yang bertaraf antarabangsa. Urustadbir CAT cekap, akauntabel dan telus merupakan model penyampaian perkhidmatan bermutu yang mampu meningkatkan prinsip efficiency, produktiviti dan integriti. Di samping itu, seseorang anggota perkhidmatan awam perlu memiliki semangat kental dan berpasukan.

106. 'Efficiency' diertikan sebagai kerja yang dapat dilakukan dalam tempoh yang lebih singkat tanpa mengurangkan kualiti kerja sedia ada atau dapat melakukan lebih banyak kerja dalam tempoh masa yang sama. Produktiviti dapat menambah pulangan ke tahap yang lebih tinggi ke atas setiap ringgit yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri. Integriti bermaksud tidak mengamalkan gejala yang tidak sihat seperti amalan rasuah atau "makan suap". Integriti bukan hanya melibatkan aspek wang, tetapi turut melibatkan pembaziran masa, tenaga, sumber dan lain-lain seperti mengambil lebih masa rehat (coffee break) daripada yang diperuntukkan.

107. Perkhidmatan awam yang berkualiti juga harus menitikberatkan aspek kewangan dalam pelaksanaan projek agar terdapat "matching of funding with impact and matching resources with needs" untuk optimakan output. Perbelanjaan mesti memberikan impak paling besar samada impak sosial atau kewangan. Pada masa yang sama sumber mestilah dijodohkan dengan keperluan agar keutamaan diberikan kepada pihak yang paling memerlukannya.

108. Demi memantapkan penyampaian berkualiti, menggembleng tenaga serta kepakaran kesemua penjawat awam perlu berkomunikasi agar berkongsi pengalaman dan idea bukan sahaja secara dalaman di Jabatan masing-masing tetapi juga di antara Jabatan. Sekiranya model yang lebih baik dipilih sebagai satu rujukan standard maka ia akan meningkatkan prestasi kerja semua penjawat awam.

109. Penyediakan platform integrasi dari semua Jabatan Negeri adalah penting untuk menghapuskan mentaliti "silo" yang lebih cenderung untuk mempertahankan jabatan sendiri sehingga mengatasi kepentingan Negeri. Integrasi tersebut akan mengujudkan satu semangat berpasukan atau "esprit de corps" yang dapat mengharungi sebarang cabaran.

110. Kesedaran mengenai penjenamaan atau branding adalah penting. Branding of Penang must be synonymous with quality, safety, reliability, sustainability and integrity. Pembangunan mampan kini amat penting demi memastikan sumber yang kita guna sekarang masih wujud untuk dinikmati oleh generasi anak-cucu kita.

111. Saya percaya semua usaha ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang dan memastikan mutu kerja yang baik sekiranya peluang diberikan kepada yang cemerlang dan etika kerja yang tidak sihat dihapuskan. Ini boleh dilihat dalam Lapuran Ketua Audit Negara 2009 memuji prestasi kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dua tahun berturut-turut. Selepas mencatat lebihan yang paling besar dalam sejarah Pulau Pinang dalam 2008 sebanyak RM88.02 juta, lebihan sebanyak RM77.34 juta dicatat pada 2009 serta telah menambahkan Akaun Hasil Disatukan kepada RM539 juta. Kedudukan aset meningkat ke tahap tertinggi dalam sejarah kepada RM1,102 juta.

112. Kerajaan Negeri amat menitikberatkan pengamalan budaya kualiti di dalam organisasi dan kerja seharian bagi menghasilkan perkhidmatan yang lebih berkualiti. Beberapa pendekatan dan program yang menggalakkan usaha inovasi dan kreativiti telah dan akan dilaksanakan dalam memenuhi kehendak dan ekspektasi stakeholders. Di antara pendekatan tersebut termasuklah Pelaksanaan MS ISO 9001:2008 di mana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) telah diiktiraf persijilan MS ISO 9001:2008 oleh SIRIM pada Jun 2010. Enam bahagian/unit terlibat dalam persijilan MS ISO 9001:2008 dan semua proses utama di PSUKPP dijangka akan dipersijilkan pada tahun 2011.

113. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diiktirafkan empat bintang oleh pihak MAMPU bagi penilaian Sistem Star Rating Pejabat-Pejabat Setiausaha Kerajaan Tahun 2009.

114. Dari segi pentadbiran kewangan, Kerajaan Negeri bukan sahaja telah mendapat pandangan yang positif dari Ketua Audit Negara melalui Penyata Kewangan 2009 malah juga berdasarkan kepada penilaian Indeks Akauntabiliti kewangan, 3 jabatan telah diberi pengiktirafan tertinggi dengan anugerah 4 bintang dengan memperolehi markah melebihi 90%. Jabatan berkenaan ialah Jabatan Kewangan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya. Malah kejayaan Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya mendapat 4 bintang buat kali pertamanya pada tahun 2009 membuktikan pertambahan daripada dua jabatan/agensi yang mendapat anugerah 4 bintang pada tahun 2008 kepada 3 Jabatan/agensi Kerajaan Negeri.

115. Kerajaan Negeri dalam mengiktiraf sumbangan tersebut telahpun memberi Bantuan Khas Kewangan ataupun "duit raya" pada bulan September 2010 berjumlah RM1.79 juta kepada seramai 3,593 anggota perkhidmatan awam negeri. Bantuan khas tersebut juga diberi kepada seramai 1,396 guru-guru KAFA yang menelan perbelanjaan RM349,000.00.

ix. Pembayaran Saguhati Persekolahan

116. Kerajaan Negeri suka mengumumkan bahawa pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah bersetuju membayar RM750.00 kepada semua anggota perkhidmatan awam yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM2.7 juta. Berdasarkan kemampuan Kerajaan Negeri pada tahun ini sukalah saya mengumumkan pembayaran RM800.00 sebagai bayaran saguhati persekolahan kepada semua anggota perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang yang akan dibayar pada akhir tahun ini. Bayaran ini termasuk kepada semua pegawai tetap/kontrak/sementara yang berkhidmat dengan Kerajaan Negeri. Kos yang akan ditanggung Kerajaan Negeri bagi bayaran ini adalah RM3 juta.

Y.B. Dato' Speaker,

PERUNTUKAN BAJET 2011

117. Bagi tahun 2011, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang dikutip berjumlah RM385,326,170 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Lapan Puluh Lima Juta, Tiga Ratus Dua Puluh Enam Ribu, Seratus Tujuh Puluh) iaitu peningkatan RM60.29 juta atau 18.55% berbanding anggaran tahun semasa 2010 (RM325.04 juta). Anggaran kutipan hasil ini boleh dicapai memandangkan sehingga 14 Oktober 2010 sejumlah RM345.92 juta telahpun dikutip. Jika dibandingkan dengan tahun 2009, kutipan hasil sebenar ialah sebanyak RM376.51 juta.

118. Komposisi hasil tahun 2011 terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM117.36 juta atau 30.45%, hasil bukan cukai RM134.35 juta atau 34.87% dan terimaan bukan hasil sebanyak RM133.61 juta atau 34.68%. Pada keseluruhannya jangkaan peningkatan hasil sebanyak RM60.29 juta pada tahun ini ialah daripada kutipan cukai tanah dan tunggakan, premium tanah dan tukar syarat, duti hiburan, pemindahan daripada kumpulanwang amanah, keuntungan serta perolehan daripada pelaburan, dan Pemberian Hitung Kepala dari Kerajaan Persekutuan.

119. Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM493,102,840 (Ringgit Malaysia: Empat Ratus Sembilan Puluh Tiga Juta, Seratus Dua Ribu, Lapan Ratus Empat Puluh) bagi Perbelanjaan Mengurus tahun 2011. Perbelanjaan Mengurus ini merangkumi sebanyak RM474,941,010 (Ringgit Malaysia: Empat Ratus Tujuh Puluh Empat Juta, Sembilan Ratus Empat Puluh Satu Ribu, Sepuluh) untuk Perbelanjaan Bekalan dan RM18,161,830 (Ringgit Malaysia: Lapan Belas Juta, Seratus Enam Puluh Satu Ribu, Lapan Ratus Tiga Puluh) yang diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan.

120. Anggaran Bajet Pembangunan bagi tahun 2011 yang dicadangkan berjumlah RM557,251,370 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Lima Puluh Tujuh Juta, Dua Ratus Lima Puluh Satu Ribu, Tiga Ratus Tujuh Puluh). Sebagai satu gambaran menyeluruh, sejumlah RM900,354,210 (Ringgit Malaysia: Sembilan Ratus Juta, Tiga Ratus Lima Puluh Empat Ribu, Dua Ratus Sepuluh) yang mencakupi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan dicadangkan untuk dibelanjakan bagi tahun 2011. Jumlah besar ini telahpun mengambil kira RM150 juta untuk caruman kepada Kumpulanwang Pembangunan Negeri. Selaras dengan itu, ucapan saya akan merujuk kepada dua (2) risalah yang berkaitan, iaitu Risalah Bil. No. 2 Tahun 2010 bagi Bajet Mengurus Tahun 2011 dan Risalah Bil. No. 3 Tahun 2010 bagi Bajet Pembangunan Tahun 2011 bersekali.

Y.B. Dato’ Speaker,

121. Bajet keseluruhan yang dicadangkan bagi

  • 1
  • 2
  • 3
  • 4
  • 5
  • 6
Prev Next

PERKHIDMATAN MYSMS GOVPG 15888 BARU : SE…

Semakan Status Aduan ePINTAS boleh dibuat dengan perkhidmatan sms bagi aduan yang dibuat mulai September 2014.Untuk semakan, sila taip :GOVPG SEMAKADU <NO ADUAN> & SMS KE 15888cth.: GOVPG SE... Read more

Permohonan Bantuan Pendaftaran Pelajar k…

Permohonan Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPTA bagi Sesi Akademik Pertama 2014/2015 peringkat Ijazah Sarjana Muda Lepasan STPM / Matrikulasi / Diploma / Setaraf Dibuka Mulai 1 September 2014 sehingga ... Read more

KEPUTUSAN PERMOHONAN PINJAMAN PENUNTUT N…

Keputusan permohonan Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang Sesi 2014/2015 telah dibuka. Semakan status permohonan boleh dibuat melalui Laman  https://epp.penang.gov.my/ Read more

TAWARAN PENGECUALIAN FAEDAH BAGI SEMUA P…

    Mulai dari 1 September 2014 hingga 31 Disember 2014, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan Pengecualian Faedah bagi peminjam-peminjam yang bersetuju menyelesaikan keseluruhan baki ... Read more

Pengharaman Hidangan Sup Sirip Ikan Yu D…

Pengharaman Hidangan Sup Sirip Ikan Yu Dalam Jamuan Rasmi Kerajaan Muat Turun Untuk Maklumat lebih lanjut Read more

RFP-ROADS AND PUBLIC TRANSPORT PROJECTS …

  PENANG STATE GOVERNMENTLocal Government Division (LGD) REQUEST FOR PROPOSAL NOTICE (KOD : LGD / RFP-PDP / 1 / 2014) The offer is made to local and international companies to participate in ... Read more

aduan en

maklumbalas en

Poll

Banning foreigners from cooking our favourite hawkers' food will ensure that the authentic and unique Penang flavour is retained