Pilihan Warna : default red contrast
A- A A+
Log Masuk Daftar

Log masuk ke akaun anda

Cipta akaun

Ruangan yang bertanda (*) wajib diisi.
Emel *
  • BACKGROUND 4.jpg
  • botani.gif
  • penang hill.gif

UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENAMAJLIS PENGANUGERAHAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT KEHORMATAN NEGERI PULAU PINANG PADA 9 JULAI 2011 DI DEWAN SRI PINANG

________________________________________________________________________________________________________________________________

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas,

Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Hajah Majimor binti Shariff

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Halim bin Hussain

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Wan Zuraida Binti Amiruddin

Yang Berhormat Dato’ Haji Mansor bin Othman

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Aishah Binti Haji Zainul

Yang Berhormat Tuan Professor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Puan Kalaiarasi a/p Kolandnavelu

Yang Amat Arif Dato’ Zakaria bin Sam

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Noor Nazrin Binti Noor Khamar

Yang Berhormat Dato’ Haji Farizan bin Darus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan

Yang Berbahagia Datin Hajah Hamidah Binti Mat Daud

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat

Yang Berbahagia Konsul-Konsul Jeneral

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri

Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’Seri dan Datin Seri-Datin Seri

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekelian

Selamat pagi dan salam sejahtera

Pulau Pinang Negeri Berkebajikan

1. Bersempena dengan Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2011 ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang dengan penuh takzim ingin melafazkan kesyukuran dan mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-73 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Saya dan seluruh rakyat sekelian mendoakan, semoga Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan sentiasa berada dalam sihat serta mendapat rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa untuk terus berperanan sebagai ketua pemerintah Negeri Pulau Pinang. Semoga Negeri dan rakyat yang berada di bawah payung kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun, dilimpahi rahmat oleh Yang Maha Esa dengan segala keberkatan dan kesejahteraan, jua hendaknya.

2. Tuan Yang Terutama Tun, di Majlis yang mulia pagi ini, saya sekali lagi bersama-sama dengan anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, dengan ini memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dan negara Malaysia.

3. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk terus mentadbir negeri ini dengan lancar dan berkesan. Sesungguhnya, amanah yang diberikan ini akan saya pikul dan laksanakan bersama-sama barisan pimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi. Adalah menjadi tanggung jawab saya dan barisan pimpinan yang lain untuk melaksanakan tugas secara amanah dengan mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi kebaikan negeri serta kesejahteraan rakyat jua.

4. Di kesempatan ini, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima darjah-darjah kebesaran, bintang dan pingat pada tahun ini. Semoga pengurniaan ini dapat menyemarakkan lagi azam, semangat dan iltizam para penerima anugerah sekelian dalam memberikan sumbangan dan jasa bakti demi pembangunan dan kemajuan negeri dan negara serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Tuan Yang Terutama Tun,

5. Walaupun pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat masih berusia muda dan pengalaman kami tidak seberapa, pembangunan dan kemajuan yang ketara sudah pun dicapai. Namun, kami tidak akan memperlahankan rentak. Kerajaan Negeri kini bertekad untuk menegakkan sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang bercirikan kebajikan masyarakat, demi memastikan keselesaan hidup rakyat Pulau Pinang pada masa yang genting ini, di mana ekonomi kian goyah dan inflasi kian melambung.

6. Konsep kerajaan berjiwa rakyat yang berciri kebajikan ini bukanlah sebuah konsep baru. Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah pun menggunakan wang lebihan yang dikumpul daripada kejayaan menangani rasuah dan pembaziran dalam belanjawan negeri untuk projek-projek dan inisiatif yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat.

7. Teras-teras utama bagi negeri berkebajikan meliputi tiga aspek, iaitu: kekeluargaan, pendidikan dan perubatan.

8. Langkah pertama yang telah diambil Kerajaan Negeri adalah untuk memantapkan institusi kekeluargaan yang merupakan lunas yang paling penting bagi mana-mana masyarakat. Kerajaan Negeri mempercayai bahawa tiada sesiapa patut hidup dalam kemiskinan tegar. Oleh itu, mana-mana isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM500 sebulan, iaitu garis panduan Kerajaan Persekutuan bagi kemiskinan tegar, akan mendapat tambahan wang untuk membantu menampung kos sara hidup. Dengan sistem itu, kemiskinan tegar sudah pun dibasmi di Pulau Pinang.

9. Di samping itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga terkenal dengan Program Warga Emas, di mana rakyat Pulau Pinang berusia 60 tahun ke atas dihargai dengan sumbangan sebanyak RM100 setiap tahun. Begitu juga dengan golongan OKU dan ibu tunggal. Waris-waris warga emas yang meninggal dunia pula akan diberi sumbangan wang ehsan sebanyak RM1,000 untuk meringankan beban mereka. Kedua- dua program ini memakan perbelanjaan RM20 juta.

10. Dalam teras pendidikan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM12 juta setahun untuk sekolah-sekolah Agama Rakyat, Mubaligh, Cina, Tamil dan Sikh. Peruntukan tahunan sebegini tidak pernah dilakukan sebelum ini. Tambahan pula, guru-guru KAFA di Pulau Pinang sekarang mendapat elaun tambahan berjumlah RM100,000 setiap tahun. Bantuan pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi ijazah dan diploma tahun pertama telahpun dinaikkan 100% daripada RM500 kepada RM1000 one- off untuk pendapatan isi rumah kurang daripada RM4000 sebulan berbanding dengan syarat pendapatan isi rumah RM2000 sebulan sebelum ini. Pembayaran RM1000 one- off ini hanya untuk pelajar Pulau Pinang sahaja. Semua pelajar tahun pertama IPTA diminta untuk mendaftarkan diri sebelum tarikh luput 31 Julai tahun ini untuk mendapatkan bayaran one- off RM1000 itu.

11. Dalam perubatan pula, baru-baru ini Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pusat Dialysis CAT yang pertama bertujuan untuk memberi rawatan kepada pesakit dengan harga hanya RM30 setiap rawatan. Dua buah Pusat Dialysis akan didirikan, satu di kepulauan dan satu lagi di Seberang Perai. Dijangkakan kos untuk menanggung rawatan bagi 100 orang adalah RM4 juta yang akan ditanggung bersama oleh sektor swasta menerusi Public Private Partnership (PPP).

12. Inisiatif-inisiatif kebajikan yang telah diambil ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan satu masyarakat yang utuh dari segi kekeluargaan, mempunyai mutu pendidikan yang lebih tinggi dan mendapat bantuan dalam kos perubatan.

13. Bagi pembangunan infrastruktur, peruntukan berjumlah RM33.76 juta telah diagih-agihkan untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri ini. Kerajaan Negeri turut berusaha dan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan di dalam melaksanakan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang, RM1.2 billion, Projek Menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang, RM250 juta, Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar, RM12.485 billion dan Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, RM4.5 billion yang diharap boleh disiapkan sebelum 2014.

14. Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif di dalam mencari satu pendekatan yang holistik dan menyeluruh untuk menyelesaikan masalah pengangkutan dan pengurusan lalu lintas di Negeri Pulau Pinang. Bagi tujuan tersebut, satu Kajian Pelan Induk Pengangkutan dan Pengurusan Lalulintas Negeri Pulau Pinang sedang dijalankan melibatkan kos RM1.3 juta. Kajian yang telah dimulakan pada April 2011 ini dijangka siap pada Mac 2012. Di samping itu projek pelebaran jalan secara jangka masa tengah yang melibatkan perbelanjaan lebih RM100 juta telahpun dicadangkan untuk 3 tahun yang akan datang. Projek jangka masa panjang berbilion- bilion ringgit sedang dirangka untuk mengatasi kesesakan trafik menjelang 2020. Sehubungan dengan usaha ini, MPPP dan MPSP telahpun mulai menguatkuasakan peruntukan untuk memastikan aliran trafik menerusi kunci tayar kereta dan menarik kereta. Penyediaan 3 bas percuma di kawasan warisan George Town serta perkhidmatan BEST melibatkan 16 buah bas percuma untuk menyeberang Jambatan Pulau Pinang ke Bayan Lepas. Kedua- dua perkhidmatan ini memakan perbelanjaan lebih RM1.5 juta setahun.

Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Walaupun Pulau Pinang telah menjadi jaguh pelaburan Malaysia pada tahun 2010 dengan RM12.2 bilion, namun usaha-usaha gigih perlu dilipatgandakan. Penganjuran misi pelaburan ke negara-negara berpotensi seperti Taiwan, Amerika Syarikat, Jerman, India, Japan dan Singapura diteruskan bagi menggalakkan pelaburan-pelaburan tersebut ke Pulau Pinang. Selain mempromosikan sektor-sektor baru seperti industri elektronik, peralatan perubatan, kejuruteraan penerbangan, tenaga solar, LED Lighting dan bioteknologi, tumpuan juga diberikan kepada usaha-usaha pelaburan semula melalui pengembangan projek pelabur-pelabur yang sedia ada di dalam negeri ini. Sehingga akhir April 2011, Negeri Pulau Pinang menduduki tempat kedua selepas Negeri Johor dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM3.24 bilion.

16. Memajukan sektor pelancongan menjadi salah satu agenda penting Kerajaan Negeri. Persembahan seni budaya, warisan atau kegemaran seperti George Town Festival, Literary Festival dan Music Festival mampu menarik 1 juta orang pelancong ke Pulau Pinang. Kini kempen “My Penang, My Experience” atau “Pulau Pinang, Kenangan Indahku” diyakini mempunyai potensi tinggi untuk sektor pelancongan Pulau Pinang memandangkan pada masa ini terdapat lebih 100 penerbangan terus dari Negara Indonesia, Thailand dan Singapura ke Pulau Pinang pada setiap minggu.

17. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk menjenamakan Pulau Pinang sebagai “Halal Global Centre” dengan mempromosikan Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang secara penjenamaan (branding) dan pendekatan holistik (holistic approach). Usaha tersebut dizahirkan melalui penubuhan Halal Penang pada tahun 2008 yang berperanan membina jaringan pasaran dan kerjasama dalam membangunkan industri Halal melalui misi dan pameran perdagangan tempatan dan antarabangsa. Ternyata usaha-usaha tersebut membuahkan hasil, apabila telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM345 juta oleh enam buah syarikat tempatan dan antarabangsa di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP). TPHPP juga telah berjaya mendapat pengiktirafan status Halal Malaysia (HALMAS) oleh Halal Development Corporation (HDC) yang merupakan pengiktirafan ke-7 di Malaysia.

18. Kerajaan Negeri juga terus berusaha menghijaukan Pulau Pinang melalui inisiatif Cleaner, Greener, Safer Penang ke arah menjadi Pulau Pinang sebagai bandaraya terbersih di Malaysia. Pelbagai program dan kempen kebersihan telah dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2011 iaitu Ops Sinar yang dahulunya hanya dibuat sekali seminggu, kini ditambah kekerapan iaitu tiga kali seminggu terhadap 260 tempat perniagaan. Melalui inisiatif ini, program-program gotong-royong dan pendidikan melibatkan ceramah dan pameran Kitar Semula, Kuiz Kitar Semula, Kempen Pengurangan Beg Plastik, Kitar Semula Bateri Terpakai dan Kitar Semula Komputer Terpakai turut diadakan. Di samping itu, dengan kerjasama polis, indeks jenayah telah diturunkan dengan kadar paling tinggi sebanyak 27% pada tahun lepas. Penurunan indeks jenayah diteruskan dengan mencatat penurunan sebanyak 25% untuk 5 bulan pertama tahun ini.

19. Dalam usaha memperkasakan pembangunan ummah di Pulau Pinang, kira-kira 800 bilal dan siak di negeri ini telah menerima kenaikan elaun sebanyak 80 peratus mulai 1 Jun tahun ini. Kira-kira 400 bilal yang menerima elaun sebanyak RM180 sebulan akan menerima RM324 sebulan, manakala elaun bagi kira-kira 400 siak akan dinaikkan kepada RM360 sebulan daripada RM200 sebulan. Kerajaan Negeri akan menanggung 70% daripada perbelanjaan berkenaan yang berjumlah kira- kira RM2.3 juta manakala MAIPP pula menanggung 30% kos terbabit, berjumlah hampir RM985, 000.

20. Berhubungan dengan pembangunan wanita, Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan sebuah syarikat Penang Women Management Council di negeri Pulau Pinang demi memberikan sokongan jentera dan sumber manusia yang telah ditiadakan selepas 8 Mac 2008.

21. Perbelanjaan berhemah dan urustadbir CAT telah membolehkan kerajaan negeri Pulau Pinang terus menjadi negeri yang paling hebat dalam pengurusan kewangan negeri. Hakikat ini diakui sendiri oleh Laporan Ketua Audit Negara bahawa belanjawan Pulau Pinang mencatat lebihan setiap tahun selepas Pakatan Rakyat memerintah negeri ini dengan lebihan sebanyak RM88 juta pada 2008, RM77 juta pada 2009 dan RM33 juta pada 2010. Dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa negeri Pulau Pinang menghadapi krisis belanjawan defisit adalah tidak benar sama sekali seperti dakwaan palsu bahawa kerajaan negeri bersikap anti- Islam atau anti- bukan Islam.

Tuan Yang Terutama Tun,

22. Kerajaan Negeri yakin, walau apa pun pembangunan yang ingin dilaksanakan, suara dan pandangan rakyat, haruslah diberikan keutamaan. Saya yakin dan percaya, dengan sifat toleransi, bersatu-padu, hormat-menghormati dan bekerjasama di setiap lapisan masyarakat, segala perancangan dan usaha dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan. Justeru, saya sentiasa mengharapkan agar rakyat sekelian akan melipatgandakan usaha untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri yang kita cintai ini.

23. Akhir kata, saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat negeri ini, sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas jasa bakti dan keperihatinan Tuan Yang Terutama Tun dalam menerajui pemerintahan negeri ini dan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Jadi Yang Ke-73. Kami berdoa agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Berbahagia Toh Puan serta keluarga sentiasa dilimpahi oleh Yang Maha Esa dengan segala keberkatan di dalam menjalani kehidupan seharian serta hidup aman bahagia dan sejahtera selalu hendaknya.

 

Sekian, terima kasih.

 

LIM GUAN ENG

Ketua Menteri Pulau Pinang

9 Julai 2011

UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI PULAU PINANG