Slider
previous arrow
next arrow
PlayPause
Slider

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENGIKTIRAFAN AL-HAFIZ DAN IJTIMAK AL-HUFFAZ

NEGERI PULAU PINANG

PADA 13 OKTOBER 2012

DI DEWAN SRI PINANG PULAU PINANG


Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas,

Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Halim bin Hussain, Speaker Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Dato' Mansor bin Othman, Timbalan Ketua Menteri I

Y.B. Dato’ Haji Abdul Malik bin Abul Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Ijtimak Al-Huffaz Peringkat Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Adun-adun Negeri Pulau Pinang

Yang Bahagia Dato'-dato', Ketua-ketua Jabatan,

Rakan-rakan media, tuan-tuan dan puan-puan sekalian

Salam sejahtera dan selamat pagi.

Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur kepada Tuhan di atas kesejahteraan kita berada di majlis ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Saya amat menghargai kehadiran para tetamu sekalian bersama-sama dalam Majlis Ijtimak Al-Huffaz dan Sumbangan Kepada Para Huffaz Negeri Pulau Pinang. Perjumpaan majlis seumpama ini adalah perjumpaan saya buat kali kelima dengan para huffaz sekalian.

Saya amat berterima kasih dan tahniah kepada Y.B. Dato’ Haji Abdul Malik bin Abul Kassim selaku Exco Hal Ehwal Agama yang telah berusaha menganjurkan program ini setiap tahun untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penghafal al-Quran yang telah dimulakan sejak tahun 2008.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Kita sedia maklum bahawa pada masa kini, negara kita tidak terkecuali menghadapi krisis nilai dan moral yang amat membimbangkan khususnya di kalangan remaja dan belia. Antara usaha-usaha untuk membendung krisis tersebut ialah dengan kembali kepada hidup beragama yang akan membawa kepada kesejahteraan semua pihak.

Saya menyeru agar keharmonian amalan beragama oleh pelbagai kaum di negeri ini hendaklah dijaga dan dihormati tanpa sebarang gangguan antara satu sama lain seperti yang telah ditetapkan. Justeru itu, majlis meraikan mereka yang menghafaz Al-Quran ini diharapkan dapat melahirkan para insan yang berhati mulia dan mempunyai akhlak yang tinggi sekaligus melahirkan masyarakat yang bebas dari gejala sosial. Saya menyarankan majlis yang mulia ini hendaklah diterus dan dikembangkan ke daerah-daerah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kerajaan Negeri sememangnya menaruh harapan yang tinggi kepada para huffaz sekalian selaku generasi pewaris kepimpinan negara. Para huffaz bukan sekadar untuk ditempatkan di masjid-masjid menjadi Imam atau mengajar agama atau membaca Al-Quran semata-mata tetapi adalah contoh terbaik dari aspek kuat disiplin. Sebagai penghafal Al-Quran, saya difahamkan seorang hafiz yang tidak menjaga adab dan disiplin hafalan yang ditetapkan boleh menyebabkan hafalannya hilang. Sehubungan itu, penghormatan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan masyarakat kepada para huffaz hendaklah dijaga sebaik mungkin.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Selain daripada menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri, para huffaz yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang akan diberikan anugerah masing-masing.

Sumbangan, pengiktirafan dan anugerah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini mungkin sekadar sumbangan yang kecil sahaja berbanding dengan sumbangan para huffaz kepada masyarakat Islam dan agama itu sendiri. Pengiktirafan di atas sumbangan ini akan mendorong lebih ramai lagi ahli-ahli huffaz dan orang-orang yang soleh dapat dilahirkan di negeri ini.

Selama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang memerintah, pelbagai fitnah telah dilemparkan kepada pucuk pimpinan kita. Tapi kita tetap sabar dan terus berusaha memastikan rakyat Pulau Pinang terus terjaga dan terbela. Orang baik memang selalu difitnah kerana apabila orang itu jahat tiada apa lagi yang perlu untuk kita fitnahkan.

Rakan-rakan Islam selalu mengatakan kepada saya, ada 3 doa yang akan dimakbulkan oleh Tuhan. Yang pertama ialah orang yang berpuasa. Kedua ialah pemimpin yang adil. Dan yang ketiga ialah orang yang teraniaya. Kita percaya dengan pentadbiran bersih yang dijalankan berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabilti dan Telus), Tuhan akan bersama-sama dengan kita.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya menyanjung dan mengangkat tinggi golongan huffaz dan cendekiawan. Seperti yang orang selalu sebut, kalau kita menjalinkan hubungan dengan golongan yang berilmu, kita juga akan terkena tempias ilmu tersebut. Dan Kerajaan Negeri percaya dengan jalinan hubungan dengan golongan cerdik pandai ini, Kerajaan Negeri juga turut pandai.

Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada para penerima anugerah Huffaz dan juga semua huffaz yang hadir pada hari ini. Saya juga berharap agar peluang berhimpun dan bertemu antara satu sama lain dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform perbincangan bagi memperkasakan dan memartabatkan lagi program ini.

Sekian, terima kasih.