Pilihan Warna : default red contrast
A- A A+
Log Masuk Daftar

Log masuk ke akaun anda

Cipta akaun

Ruangan yang bertanda (*) wajib diisi.
Emel *
  • BACKGROUND 4.jpg
  • botani.gif
  • penang hill.gif

"Bukan Inggeris buka Pulau Pinang"

Kajian sejarah membuktikan orang Melayu adalah golongan paling awal membuka Pulau Pinang sekitar 1700-an, jauh lebih awal daripada pendaratan pedagang Inggeris yang diketuai Francis Light pada 1786.

Namun, disebabkan faktor politik penjajahan, nama tokoh Melayu yang bertanggungjawab membuka Pulau Pinang itu sengaja dipadamkan daripada catatan sejarah bagi menonjolkkan imej Inggeris sebagai pembuka negeri ini.

Daripada catatan seorang pengembara Inggeris, James Lancaster, Pulau Pinang sebelum 1591 didapati tidak berpenghuni, dipenuhi pokok pinang dan hanya sesekali saja dikunjungi anak raja dari Kedah untuk berkelah dan bermain.

Disebabkan penuh dengan pokok pinang, Lancaster yang singgah di Pulau Rimau pada 1591 dalam pelayarannya ke Selat Melaka, lalu menamakan negeri ini sebagai Poola Pinang'.

Bagaimanapun pada awal abad ke-18, Pulau Pinang sudah diduduki orang Melayu, sama ada dari Kuala Muda, Kedah atau kumpulan pelbagai etnik Melayu seperti Minangkabau, Rawa dan Bugis yang datang dari Kepulauan Melayu, termasuk dari Sumatera dan Aceh.

Pengkaji sejarah Pulau Pinang, Profesor Madya Dr Ahmad Murad Merican yang memulakan kajiannya sejak 1981 menemui banyak fakta mengenai keadaan di Pulau Pinang pada 1700, lama sebelum Inggeris mendarat di Tanjung Penaga (sekarang Kota Cornwallis) pada 11 Ogos 1786.

Ahmad Murad yang juga pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Kajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta ketua Pusat Sejarah Intelektual dan Pemikiran Melayu (Centis), berkata seawal abad ke-18 beberapa kawasan di Pulau Pinang, termasuk Batu Uban dan Gelugor sudah diduduki orang Melayu.

Katanya, pada awal 1700, Batu Uban dibuka sekumpulan orang Melayu berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera diketuai Mohamad Salleh atau dikenali Nakhoda Intan, manakala di Gelugor pula kawasan seluas kira-kira 40 hektar diterokai Datuk Janatun serta pengikutnya yang juga berasal dari Pagar Ruyong.

Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 40 hektar yang diterokai Janatun di Gelugor itu adalah pemberian Sultan Kedah ketika itu, Sultan Mahmud Jiwa Zainal Abidin Shah ll.

"Bagi menghargai kurnia Sultan Kedah itu, Janatun menghadiahkan pula kepada baginda 10 naskah al-Quran bertulisan tangan yang dibawa dari Pagar Ruyong," katanya.

Dalam Journal Malayan Branch Royal Asiatic Society (Jambras) jilid 7 keluaran 1929, ada catatan mengenai orang Melayu yang sudah membuka ribuan hektar tanah di Jelutong, Batu Lancang, Sungai Gelugor, Batu Uban, Sungai Dua dan Sungai Nibong sebagai tempat kediaman serta kawasan pertanian lama sebelum Light tiba.

Daripada hasil kajiannya, orang Melayu yang tinggal di Pulau Pinang sebelum 1786 sudah membentuk institusi sosial yang lengkap dan mempunyai ketua serta golongan ulama yang bertindak sebagai pemimpin agama serta kerohanian yang berpusat di masjid.

Sementara itu, pensyarah Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang yang juga pengkaji sejarah, Mohd Salleh Yahaya, berkata kawasan perkuburan lama yang menempatkan pusara tokoh Melayu berkenaan, termasuk pusara Janatun dan adiknya, Setia di Persiaran Minden l, dekat sini, perlu dipulihara dengan baik.

"Lebih elok jika ada usaha untuk membina kompleks sejarah di kawasan perkuburan berkenaan bagi mengenang jasa tokoh Melayu terbabit, katanya.