logo header ms

PROGRAM KOMUNITI SENAMROBIK SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA 2019

 UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM KOMUNITI SENAMROBIK SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA SEDUNIA 2019

10 MAC 2019

 

YB Tuan Daniel Gooi Zi Sen
ADUN Pengkalan Kota

Puan Bibi Zainab
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) KADUN Padang Kota

Puan Yeoh Phaik Suan
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur

Puan Rashidah Jalaludin
Pengarah Khidmat Kemasyarakatan MBPP

Ahli-ahli Jawatankuasa JPWK

Rakan-Rakan media

Para peserta

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam Harapan.

Sebelum saya memulakan ucapan saya pada hari ini, saya rasa masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia’ kepada insan-insan bergelar wanita khususnya di Pulau Pinang.

Tema sambutan Hari Wanita Sedunia bagi Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini adalah #seimbanguntuksejahtera atau #balanceforbetter.

Hadirin sekalian,

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan sekalung penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) KADUN Padang Kota di atas kesudian menjemput saya merasmikan Program Komuniti Senamrobik Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 yang jatuh pada 8 Mac iaitu Jumaat lalu.

Boleh dikatakan bahawa ini merupakan program pertama yang saya hadiri atas anjuran JPWK selepas majlis penyerahan watikah lantikan yang berlangsung pada 16 Februari lalu. Pada majlis berkaitan, saya telah menyerahkan kira-kira 600 watikah membabitkan 40 KADUN kepada pemimpin-pemimpin wanita berkebolehan yang bakal menyumbang tenaga untuk melaksanakan program-program pembangunan demi penduduk Negeri Pulau Pinang.

Sinonim dengan ungkapan Penang Leads, Pulau Pinang turut mendahului serta menjadi satu-satunya negeri dalam negara yang mewujudkan JPWK yang berperanan utama menyelaras program-program di bawah MMK Pembangunan Wanita dan Keluarga sebagai memastikan visi Penang2030 yang memfokuskan terhadap institusi kekeluargaan, negeri pintar serta hijau dapat direalisasikan. Malah, pada 9 Mac lalu, Dasar Keterangkuman Gender turut dilancarkan di negeri ini mendahului negeri-negeri lain di Malaysia. Ini tidak termasuk Program-program Emas khas kepada golongan wanita sedia ada antaranya, Program Ibu Emas (suri rumah), Ibu Tunggal dan pemeriksaan mammogram percuma.

Demi membawa perubahan strategik untuk mentransformasi serta memberi fokus kepada pembangunan wanita serta keluarga, adalah menjadi harapan saya agar pendekatan-pendekatan ini turut dibawa serta dilaksanakan di seluruh negara kelak.

Saudara dan saudari sekalian,

Di dalam pembentangan Bajet 2019 Negeri oleh saya pada November tahun lalu, saya menekankan bahawa ‘Wanita Sebagai Tunggak Negeri’ yang mana Pulau Pinang telah memulakan langkah awal dengan mewujudkan satu portfolio baharu iaitu Keterangkuman Gender pada tahun 2018.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab merangka kerja, dasar dan pelan tindakan ke arah itu. Antara projek awal yang telah dilaksanakan adalah Gender Responsive and Participatory Budget yang merupakan pendekatan di peringkat negeri untuk memastikan kesaksamaan gender tanpa mengira etnik, agama dan status sosio-ekonomi, malah sejumlah RM200,000 telah diperuntukan bagi portfolio Keterangkuman Gender bagi melaksanakan pelbagai program pada tahun ini.

Menyedari betapa pentingnya pembangunan keluarga dalam membantu perkembangan modal insan negeri, buat julung kalinya sambutan Hari Keluarga Peringkat Negeri yang juga akan menjadi agenda tahunan negeri bakal berlangsung pada tahun ini dengan jumlah peruntukan yang diberikan adalah berjumlah RM800,000.

Serentak itu, sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap peranan wanita dalam memajukan masyarakat serta negara, Pulau Pinang turut melaksanakan dasar minimum 30 peratus perwakilan wanita dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Komuniti (JKKK). Dasar ini mensasarkan sekurang-kurangnya lima (5) wanita dilantik dalam MPKK menjelang tahun 2021. Malah ia akan dipanjangkan kepada pelantikan Ahli-ahli Majlis di kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dan kini, Pulau Pinang dilengkapi pula dengan penubuhan JPWK, yang mana saya lihat golongan wanita di negeri ini akan terus diperkasakan dalam apa jua bidang serta keadaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Pengisian penganjuran program pada hari ini juga cukup bermakna terutamanya dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan positif dengan pengisian beberapa aktiviti seperti senamrobik, pemeriksaan kesihatan, pameran, taklimat dan sebagainya. Pada masa sama, ia juga adalah bagi mengeratkan ikatan silaturahim serta sebagai sesi suai kenal di antara ahli-ahli jawatankuasa JPWK dengan komuniti setempat.

Akhir kata, saya berharap agar program hari ini akan berjalan dengan jayanya. Diharapkan pihak JPWK KADUN Padang Kota akan terus aktif menganjurkan pelbagai program demi kepentingan serta faedah komuniti di sini

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Komuniti Senamrobik Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 JPWK KADUN Padang Kota. Tahniah!

Sekian, terima kasih.

 

  • "Adakah anda mengetahui bahawa aduan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih ePintas?"

UNDIAN