logo header ms

MAJLIS PERASMIAN DASAR KETERANGKUMAN GENDER

UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG 
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DASAR KETERANGKUMAN GENDER

7 Mac 2019
Auditorium A, Komtar

YB Chong Eng
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam

YB Heng Lee Lee
ADUN Berapit

YB Lim Siew Khim
ADUN Sungai Pinang

YB Muhamad Yusoff Bin Mohd Noor
ADUN Sungai Dua

Dato’ Azhar Bin Haji Arshad
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Ahli-ahli Majlis MBPP dan MPSP

Wakil-wakil Bahagian PSUKPP, Jabatan dan Agensi Negeri

Dan para hadirin.

Salam sejahtera dan selamat pagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para hadirin kerana menghadiri Majlis Pelancaran Dasar Keterangkuman Gender pada pagi ini.

Selaras dengan semangat Visi Penang2030, Dasar Keterangkuman Gender ini bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamarataan gender dan meningkatkan kesedaran sivik masyarakat.

Saya juga ingin memaklumkan kepada para hadirin sekalian bahawa dasar ini merupakan dasar Kerajaan Negeri dan komitmen setiap lapis Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat diperlukan. Ini bermakna kita semua adalah pihak yang memainkan peranan yang amat penting bagi membantu untuk memastikan pelaksanaan dasar ini berjaya.

Pertama sekali, ianya menjadi tangggungjawab Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk memastikan semua Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender dalam MMK masing-masing. Ahli Majlis Mersyuarat Kerajaan Negeri juga perlu memaklumkan kepada Ketua Jabatan/Agensi dalam melaksanakan pembangunan kapasiti, pengumpulan SSD dan Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB). EXCO juga bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan dan menyediakan laporan berkenaan pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender untuk dilaporkan dalam mesyuarat EXCO kelak.

Kedua, semua jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang mesti memastikan Dasar Keterangkuman Gender dilaksanakan dalam jabatan dan agensi masing-masing berdasarkan garis panduan yang disediakan. Ia merupakan tanggungjawab Ketua Jabatan dan Agensi untuk memberi kesedaran mengenai keterangkuman gender dalam jabatan mereka masing-masing dengan menjalankan program-program kesedaran serta pembangunan kapasiti.

Seterusnya, Ketua Jabatan dan Agensi hendaklah mengumpul (SDD) Sex Disaggregated Data dan mengimplementasikan GRPB dalam jabatan dan agensi-agensi masing-masing. Justeru itu, Gender Budgeting juga perlu dimasukkan dalam pekeliling belanjawan tahunan. Ketua Jabatan dan Agensi juga perlu menggunakan senarai semak gender (Gender Checklist) untuk memastikan perspektif gender dipertimbangkan dalam setiap perancangan projek, program dan dasar yang dilaksanakan.

Kerajaan Tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), harus dijadikan teladan dalam menyediakan belanjawan bersifat gender responsif dan program yang menggalakkan penyertaan rakyat.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Tempatan kerana berjaya mengguna pakai GRPB dan senarai semak gender dalam pelaksanaan projek dan program mereka. Teruskan usaha baik ini dan saya menyeru agar pihak lain harus mengikut contoh ini dan meluaskan amalan ini ke seluruh Kerajaan Negeri.

Seterusnya, ahli-ahli majlis harus memperjuangkan keterangkuman gender di peringkat akar umbi dan memahami keperluan rakyat serta mengetahui cara terbaik untuk memberi manfaat kepada mereka. Mekanisme keterangkuman gender termasuk GRPB harus diguna pakai untuk memudahkan perancangan dan pembangunan di kawasan tempatan. Oleh itu, ahli-ahli majlis perlu melibatkan pemimpin masyarakat, seperti MPKK, JPWK dan RA, sebagai perantara dalam perancangan projek dan program yang akan dijalankan.

Akhirnya, untuk menjayakan dasar ini, pihak ADUN turut memainkan peranan yang penting dengan bertindak sebagai jurucakap bagi Dasar Keterangkuman Gender ini. ADUN bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan kesaksamaan gender dengan memberikan mesej asas tentang anti-diskriminasi dalam KADUN masing-masing.

Seterusnya, ADUN-ADUN juga harus menggunakan Dasar Keterangkuman Gender sebagai salah satu cara untuk memastikan semua program harus dirancang dan dilaksanakan dengan mengambil kira perspektif gender. Saya menggesa semua ADUN supaya mengambil kesempatan ini di KADUN masing-masing untuk menyokong pelaksanaan GRPB dalam MPKK, JPWK, Persatuan Penduduk, dan organisasi tempatan.

Saya ingin menegaskan, bahawa kerjasama daripada setiap pemimpin dan individu dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat diperlukan untuk menjayakan pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender ini.

Dalam masa terdekat ini, sesi pembangunan kapasiti akan diadakan dan pemimpin-pemimpin dan pihak-pihak pelaksana diwajibkan untuk menyertai sesi tersebut. Tujuan utama sesi pembangunan kapasiti adalah supaya anda akan lebih memahami peranan anda dengan lebih terperinci dan dapat merangka pelan tindakan dengan lebih jelas.

Akhir kata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbangga kerana dapat menjadi teladan dan inspirasi dalam usaha untuk mengurangkan jurang gender di Malaysia. Sesungguhnya, saya juga amat berharap sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan akan mengikut langkah jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri dalam mengamalkan pendekatan yang sama.

Sekian, terima kasih.

 

 

  • "Adakah anda mengetahui bahawa aduan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih ePintas?"

UNDIAN